Kerajaan SABAH Mungkin Panjangkan Cuti Sekolah Bimbang Penularan Covid-19

KOTA KINABALU 18 JULAI 2018. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media selepas mesyuarat kabinet di Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di Kota Kinabalu. NSTP/EDMUND SAMUNTING.

KERAJAAN Sabah mempertimbangkan untuk melanjutkan cuti sekolah sebagai langkah pencegahan bagi menangani penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu mungkin diambil bagi membendung jangkitan wabak berkenaan.

“Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan kemungkinan melanjutkan cuti sekolah pada masa kini untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 di kawasan berisiko tinggi.

“Saya merayu kepada rakyat untuk meminimumkan pergerakan mereka, manakala sektor swasta membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah sekiranya boleh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie berkata, minggu lalu, kes positif Covid-19 pertama di Sabah dikesan pada lelaki berusia 58 tahun di Tawau yang juga antara jemaah tabligh menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, pada 29 Februari hingga 1 Mac.

“Sejak itu, semua pegawai kesihatan di negeri ini mengesan lebih banyak kes dalam kalangan individu yang menghadiri perhimpunan berkenaan dan pelbagai langkah diambil untuk menjejaki mereka sejak 10 hari lalu.

“Jabatan Kesihatan dan pihak berkaitan juga berusaha menjejaki dan mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan tercemar. Mereka mengambil langkah pantas dengan menutup sementara masjid dan surau yang dikenal pasti dengan kes Covid-19,” katanya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Sabah mengenal pasti 49 kes positif Covid-19 di negeri ini.

Sejak 30 Januari lalu, kerajaan negeri turut mengambil tindakan tegas menghalang ketibaan pelancong dari negara yang terjejas dengan Covid-19.