Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima kes terbaharu yang direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis ,menjadikan jumlah kumulatif positif wabak berkenaan ialah 55 kes.
Secara tidak langsung, masyarakat seluruh negara termasuk negara kita sedang berhadapan dengan gelombang kedua COVID-19 bermula akhir Februari lalu.
22 kes sudah pulih
Daripada 55 kes berkenaan, beliau berkata, seramai 22 orang daripada mereka yang dikenal pasti positif itu sudah pulih sepenuhnya dan telah discaj dari wad.
“Kesemua kes baharu ini berhubung kait dengan satu (1) kluster COVID-19 yang telah dikenal pasti sebelum ini yang melibatkan kes positif ke-26.
“Kes-kes ini merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 dalam kluster tersebut. Justeru, sehingga kini, jumlah kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 26 kes.
“Siasatan dan pengesanan kontak bagi kluster tersebut masih diteruskan,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media pada Khamis
Bagaimana pun, pihak KKM meminta rakyat Malaysia jangan panik kerana setakat ini kesemua kes, puncanya berjaya dikesan dan beberapa kontak rapat pesakit kini dalam pantauan.
Setakat ini, pihak Kementerian Kesihatan juga telah membuat satu langkah proaktif berhubung wabak COVID-19 yang telah memasuki gelombang kedua dengan mengenakan sekatan pelawat serta merta tanpa mengira warganegara dari negara Itali, Jepun, dan Iran.
Cuti sekolah, jangan bawa anak pergi melancong
Melihat jumlah jangkitan yang makin bertambah, menerusi Facebook Public Health Malaysia memberi nasihat kepada ibu bapa agar tidak membawa anak-anak melancong ke tempat-tempat berisiko pada cuti sekolah akan datang ini.
Dalam keadaan sekarang, masyarakat perlu lebih peka dalam merancang tempat percutian kerana waktu yang tidak sesuai untuk pergi melancong, diharapkan musim cuti sekolah yang akan datang ini ibu bapa tahan dulu untuk membawa anak-anak pergi berjalan ke luar negara.