Banduan Cemerlang SPM 6A Gigih Demi Pengampunan

 

banduan-cemerlang-spm-6A
Banduan Cemerlang SPM 6A

Banduan Cemerlang SPM 6A Gigih Demi Pengampunan. Bukan mudah untuk mendapat keputusan cemerlang, apatah lagi jika berada di penjara. Ini kisah banduan-banduan yang merupakan antara 389,498 calon SPM 2019.

Namun seorang banduan di Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Penjara Marang telah membuktikan ianya tidak mustahil dengan usaha yang gigih. Hassan (bukan nama sebenar) telah mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dengan mendapat 6A.

TAHANAN LIMPAH YANG DI-PERTUAN AGONG/ SULTAN/ YANG DI PERTUA NEGERI
Banduan yang melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh djatuhkan hukuman mati tetapi tidak dijatuhkan hukuman mati kerana semasa kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun atau didapati tidak siuman. Mereka ini tidak mempunyai tarikh bebas telah mendapat pengampunan atau peringanan hukuman Yang di Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di Pertua Negeri di mana kesalahan tersebut dilakukan. Sumber: Jabatan Penjara Malaysia
banduan-6A
Imej:BERNAMA

 

Keputusan Yang Amat Berharga

“Enam A yang amat berharga untuk pengampunan walaupun masa depan masih tidak mampu diduga,” begitulah luah Hassan selepas mengetahui dirinya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

hasan-banduan-cemerlang
Imej: BERNAMA

Hassan Banduan Cemerlang SPM

Hassan, 21 (bukan nama sebenar) yang ditemu ramah BERNAMA berkata dirinya mungkin akan kekal di situ, jika dirinya sendiri tidak berusaha melakukan perkara yang terbaik untuk mendapatkan pengampunan.

Kisah Hassan yang memohon supaya orang ramai mendoakannya selepas menduduki peperiksaan SPM tahun lalu pernah tular di media sosial dan menurutnya doa itu juga memungkinkan dia berjaya malah tidak mustahil untuknya ‘bebas’ dari penjara selepas disabit pada 2016 atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

 

Tidak Dapat Lelapkan Mata Tunggu Keputusan

“Malam tadi saya tak dapat lelap mata. Macam-macam bermain di fikiran. Saya sangat berharap keputusan cemerlang untuk buka mata banyak pihak.

“Orang lain mungkin akan sibuk mengisi kemasukan ke universiti. Saya juga ada keinginan, walaupun belajar secara online tetapi ia perlukan perbelanjaan sendiri, bimbang juga keluarga tidak mampu,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.

Pasti Ibu Bangga Keputusannya Cemerlang

Menurut Hassan, sebelum ini ibunya pernah hadir ke penjara dan terkejut hingga mengalirkan air mata apabila melihat keputusan peperiksaan percubaan (4A 2B 1C) dan kali ini beliau pasti ibunya akan berbangga dengan rekod yang lebih baik.

“Semasa di luar (bebas), saya tak dapat gembirakan mak. Hanya sekarang baru berpeluang. Saya memang nak keluar, jadi orang awam. Semua nak buat untuk mak,” katanya yang mengakui kesalahan yang dilakukan sebelum ini akibat pengaruh kawan dan kemiskinan.

 

Keputusan Cemerlang di Penjara Marang

Sekolah Integriti Penjara Marang merekodkan keputusan cemerlang tahun ini apabila kesemua 16 pelajar yang mengambil SPM mencapai rekod lulus iaitu seorang pelajar memperoleh enam A (Hassan), manakala empat lagi pelajar masing-masing memperoleh lima A, empat A, tiga A, dua A dan 11 pelajar mendapat satu A.

Paling membanggakan apabila semua pelajar memperoleh A bagi subjek Sains.

banduan-cemerlang-spm
Imej: BERNAMA

Kali Terakhir Belajar Darjah 6

Sementara itu seorang lagi banduan, Alif, 22, (bukan nama sebenar) turut mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh keputusan yang baik meskipun kali terakhir belajar, ketika Darjah Enam.

Beliau yang menjalani hukuman penjara sejak 2018 hanya berpeluang belajar selama enam bulan sahaja selepas dia membuat keputusan untuk menduduki SPM tahun 2019.

Katanya, peperiksaan itu untuk membuktikan kepada ibunya bahawa dia boleh berubah dan mahu dirinya diterima semula dalam keluarga setelah dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan akibat melakukan rompakan.

 

Kejayaan Cemerlang Bersama

Beliau mengakui kejayaan yang diperoleh itu hasil dorongan rakan di penjara dan teknik guru mengajar yang lebih berbentuk kuiz dan latihan secara berkumpulan.

“Saya sendiri tidak sangka daripada tak pernah ke sekolah menengah akhirnya ambil SPM. Dapat pulak A dalam Sains… sungguh tak sangka. Tekad saya nak sambung belajar. Saya akan bebas nanti,” katanya.

Menurut Alif, selepas Darjah Enam beliau dijaga oleh datuknya ekoran kedua ibu bapanya berpisah dan tekad bekerja sebagai nelayan demi kelangsungan hidup.

Namun episod hitam menimpa dirinya apabila adiknya (dijaga ibunya) menerima pelbagai ugutan kerana berhutang sebanyak RM200 hingga memaksanya yang terdesak merompak sebuah kedai serbaneka.

Kesalahan itu adalah kali pertama dilakukannya, namun anak sulung daripada tiga beradik itu bersyukur kerana ia memberi peluang untuknya mendapat pendidikan yang lebih baik.

 

Keputusan Cemerlang Membanggakan Semua Pihak

Sementara itu, penyelia sekolah, Nor Amalia Kasim berkata keputusan kali ini sangat membanggakan dan ia dicapai hasil kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan yang turut menyalurkan dana bagi membeli buku sekolah dan buku rujukan.

“Ia juga sokongan daripada pihak penjara, pegawai yang menjaga kebajikan pelajar dan guru yang mengajar tanpa berbelah bahagi. Belajar di penjara pastinya tidak seindah di luar sana.

“Harapan saya pelajar ini akan melangkah lebih jauh. Semoga masyarakat juga akan menerima bekas banduan. Bukan semua daripada mereka akan melakukan kesalahan yang sama,” katanya.

Bagi banduan ini merupakan suatu kisah yang bahagia. Bagi kita pula yang membaca, jadikanlah tauladan. Walaupun mereka pernah melakukan kesilapan, mereka berusaha gigih untuk menbusnya.

Begitulah kisah Banduan Cemerlang SPM 6A Gigih Demi Pengampunan. Semoga ianya memberi dorongan kepada semua pembaca Sistem Guru Online agar berusaha dengan gigih walau apajua ujian yang menimpa.

Sumber: BERNAMA