Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia merangkap pemangku Menteri Pendidikan telah mengadakan sesi pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 30 Januari 2020.

Dalam ucapan pembukaan, Yang Amat Berhormat Tun telah menyatakan pandangan beliau terhadap kepentingan murid-murid mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris.

Yang Amat Berhormat Tun berpendirian bahawa pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris adalah amat penting kerana pengetahuan serta bahan rujukan bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut banyak diterbitkan dalam Bahasa Inggeris.

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
adalah bukan perkara yang baharu dalam sistem Pendidikan Kebangsaan.

Walaupun KPM telah memansuhkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2012, namun Dual Language Programme (DLP) yang diperkena]kan pada tahun 2016 tetap memberi pilihan kepada sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.

Sehingga Januari 2020, sebanyak 2,292 buah sekolah seluruh negara telah melaksanakan DLP.

KPM mengambil baik saranan Yang Amat Berhormat Tun. Kajian pelaksanaan akan dibuat dalam masa terdekat untuk dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri sebelum melaksanakannya.