SEPERTI yang kita sedia maklum, pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah telah melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Interim bagi menerajui negara buat sementara waktu.
Namun, tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan ‘Perdana Menteri Interim’?
Ini yang anda perlu tahu berkenaan apa itu Perdana Menteri Interim setakat ini:
Kabinet kerajaan pusat bubar secara automatik
Menurut pakar undang-undang, kabinet kerajaaan pusat secara automatiknya bubar sebaik sahaja Perdana Menteri meletak jawatan.
Bagaimanapun, peguam terkenal, Datuk N. Sivananthan berkata baginda boleh melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu atau menunggu keputusan pilihan raya umum jika diadakan.
Pelantikan Perdana Menteri Interim
Pada Isnin, Baginda telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Malah selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan juga, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen, yang baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan rakyat.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Interim akan dibantu oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Zuki Ali bagi menjalankan pentadbiran negara, kata Presiden Majlis Peguam Negara, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor.
Ketua Setiausaha setiap kementerian pula, kata Abdul Fareed, berperanan menjalankan tanggungjawab dalam pentadbiran mengikut polisi sedia ada.
“Pelantikan Perdana Menteri Interim adalah tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, jadi tempoh masanya tidak ada dan ia terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan tempoh masa pelantikan Dr Mahathir sebagai PM Interim,” kata beliau menerusi telefon dalam program Buletin AWANI Khas pada pagi Selasa.