SJK: Tulisan Jawi hanya dilaksanakan jika dipersetujui oleh PIBG Sekolah

 

SJK: Tulisan Jawi hanya dilaksanakan jika dipersetujui oleh PIBG Sekolah ini adalah berdasarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 13 Tahun 2019 yang bertajuk Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi dalam Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Melayu kepada Murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan secara Berperingkat-peringkat Mulai Tahun 2020 yang bertarikh 5 Disember 2019.

Pengenalan

Garis Panduan ini dikeluarkan dengan maksud menyediakan Prosedur Pengendalian Standard (SOP) KPM bagi menjelaskan tatacara pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi kepada murid tahun 4 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mulai tahun 2020.

Pengenalan tulisan Jawi dilaksanakan sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.

Pengisian ini dilaksanakan melalui pembelajaran di dalam buku teks Bahasa Melayu dan terdapat sejumlah enam (6) muka surat aktiviti seni bahasa sebagai tulisan khat dimuatkan di dalam buku teks.

Seni tulisan khat dilaksanakan melalui semakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sejak tahun 2014 adalah untuk murid Tahap 2 dengan melibatkan tahun 4
pada tahun 2020, tahun 5 pada tahun 2021 dan tahun 6 pada tahun 2022 manakala murid Tahap 1 (Tahun 1 hingga 3)tidak terlibat dengan pengenalan tulisan khat.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2019 telah membuat keputusan supaya pengenalan tulisan Jawi diteruskan tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan.

Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan Jawi dimuatkan sebanyak tiga (3) muka surat di dalam buku teks dan tidak dinilai dalam apa-apa ujian atau peperiksaan.

Jemaah Menteri juga menetapkan supaya tulisan Jawi dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan Jawi dan bukannya khat, dan hanya diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas sahaja kepada murid Tahun 4 mulai tahun 2020, murid Tahun 5 pada tahun 2021 dan murid Tahun 6 pada tahun 2022 di SJK.

Tatacara Pelaksanaan

PIBG di SJK, hendaklah melaksanakan perkara seperti yang berikut:

  1. Mengedar borang pilihan persetujuan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi kepada semua ibu bapa murid sekolah berkenaan;
  2. Menetapkan tempoh masa selama 14 hari untuk mengembalikan borang pilihan persetujuan berkenaan kepada pihak PIBG;
  3. Membuat analisis pilihan ibu bapa berdasarkan bilangan borang yang dikembalikan. Keputusan pilhan ibu bapa ditentukan dengan mengambil kira sekiranya terdapat keputusan majorit mudah (51%) daripada ibu bapa membuat pilihan untuk bersetuju atau sebaliknya pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi kepada murid Tahun 4 bermula tahun 2020;
  4. Melaporkan kepada Guru Besar sekolah keputusan ibu bapa berdasarkan analisis borang pilihan persetujuan yang dikembalikan;
  5. Keputusan diminitkan, disahkan dan dimaklumkan ke PPD bagi tujuan kelulusan meneruskan atau tidak meneruskan pengenalan tulisan Jawi di sekolah berkenaan.

Bagi sekolah jenis kebangsaan yang tidak mempunyai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pihak sekolah hendaklah melaksanakan tatacara yang sama seperti di atas untuk mendapat keputusan pilihan ibu bapa murid SJK bagi tujuan pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi bermula dengan murid Tahun 4 di SJK bermula 2020.

Jika sekolah PIBG memilih untuk bersetuju dengan cadangan pelaksanaan tulisan Jawi bagi murid Tahun 4 di SJK bermula 2020, maka kohort murid tersebut hendaklah meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) aspek tulisan Jawi dalam kurikulum Bahasa Melayu semasa berada di Tahun 5 dan Tahun 6.

Pihak sekolah dianggap bersetuju melaksanakan pengenalan tulisan Jawi kepada murid SJK Tahun 4 bermula 2020 sekiranya PIBG sekolah tidak melaksanakan pengedaran borang untuk mendapatkan persetujuan ibu bapa, guru dan murid bagi tujuan tersebut.

Perubahan keputusan hanya dibenarkan bagi kohort murid baharu dengan melaksanakan tatacara pemilihan keputusan yang sama untuk kohort murid tahun 4 baharu bagi tahun seterusnya.

Senarai Semak Pelaksanaan Tulisan Jawi kepada Murid Tahun 4 Sekolah Rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Mulai Tahun 2020

Carta Alir Pelaksanaan Tulisan Jawi kepada Murid Tahun 4 Sekolah Rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan Mulai Tahun 2020

Dapatkan “Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 13 Tahun 2019 yang bertajuk Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi dalam Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Melayu kepada Murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan secara Berperingkat-peringkat Mulai Tahun 2020” di sini


Di sini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.

Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’

Download : Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 13 Tahun 2019 yang bertajuk Pelaksanaan Pengenalan Tulisan Jawi dalam Kurikulum Mata Pelajaran Bahasa Melayu kepada Murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan secara Berperingkat-peringkat Mulai Tahun 2020

 

Penutup

Sekian. Semoga perkongsian ini iaitu SJK: Tulisan Jawi hanya dilaksanakan jika dipersetujui oleh PIBG Sekolah memberikan informasi terkini berkaitan dunia pendidikan.. Teruskan bersama kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terkini dan terbaik dari semasa ke semasa. Terima kasih.