Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal hanya melibatkan pelantikan baharu tahun 2020

Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal hanya melibatkan pelantikan baharu tahun 2020 ini merupakan hebahan terkini daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Prinsip pemberian elaun yang ditetapkan semenjak pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB) pada tahun 1992 dan diteruskan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah prinsip tidak sejagat, tidak kekal, tidak biasa dan kesaksamaan. Prinsip tidak kekal (non-permanent) menentukan bahawa elaun diberi secara sementara, boleh ditarik balik, diberhentikan bayarannya atau dimansuhkan sekiranya sesuatu elaun itu tidak lagi relevan atau tidak lagi menepati kriteria tertentu pemberian elaun tersebut. Prinsip ini juga menentukan elaun boleh diberi mengikut suatu tempoh tertentu. Sehubungan itu, kesemua elaun dalam perkhidmatan awam adalah tidak bersifat kekal dan boleh ditarik balik termasuklah BIPK.

Pemberian elaun adalah berasaskan kriteria berikut:

  1. kos sara hidup;
  2. tanggungjawab tambahan;
  3. bayaran balik perbelanjaan;
  4. risiko kerja;
  5. kesusahan (hardship);
  6. kepakaran;
  7. kemahiran atau kompetensi tambahan;
  8. keanehan atau kejelikan tugas;
  9. kepentingan pengekalan sesuatu perkhidmatan; dan
  10. galakan.

BIPK mula diperkenalkan semasa pelaksanaan SSB pada tahun 1992:

  1. bertujuan menarik dan menggalakkan penyertaan calon ke dalam skim-skim perkhidmatan tertentu di mana pada ketika itu Kerajaan menghadapi masalah kekurangan bekalan tenaga kerja dalam sektor tertentu;
  2. tahap kritikal sesuatu perkhidmatan itu akan berubah mengikut keadaan dan keperluan semasa. Ini bermakna bahawa sesuatu perkhidmatan kritikal itu boleh berubah menjadi kurang kritikal dan juga sebaliknya; dan
  3. Dalam konteks ini, aspek kritikal bukan merujuk kepada tugas yang dilaksanakan dalam skim perkhidmatan tertentu. Tetapi, ia berasaskan kepada kenyataan seperti yang dinyatakan di para 3 (a) dan 3 (b).

Setelah BIPK dilaksanakan selama 27 tahun, kajian BIPK telah dilaksanakan sebanyak tiga (3) kali iaitu pada tahun 1997, tahun 2001 dan yang terakhir ialah pada tahun 2007. Selepas semakan kali terakhir pada 2007 tersebut, kajian terbaharu dilaksanakan pada 2019 dan didapati kesemua 33 skim perkhidmatan (Lampiran A) yang diperuntukkan dengan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal BIPK kerana tidak lagi memenuhi kriteria ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan yang sukar dilakukan kerana bilangan calon yang memohon sesuatu jawatan adalah melebihi jumlah keperluan semasa jawatan berkenaan.

Lampiran A

Dalam hal ini, kajian telah dilaksanakan dan pemansuhan BIPK telah diputuskan di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2019 dan telah dimaklumkan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. Berdasarkan kajian yang dilaksanakan, unjuran semasa tanggungan kewangan kerajaan bagi tahun 2018 ialah RM899.32 juta dan tanggungan ini akan terus meningkat kepada RM1.24 bilion pada tahun 2022. Pemberian BIPK adalah berasaskan kepada peratusan gaji semasa yang diterima oleh pegawai (kecuali bagi yang menerima kadar tetap RM750).

Berdasarkan kepada asas pertimbangan di atas, pemberian BIPK sewajarnya dimansuhkan secara menyeluruh kepada kesemua penyandang dalam 33 skim perkhidmatan yang terlibat. Walau bagaimanapun, Kerajaan memutuskan bahawa pembayaran BIPK masih dikekalkan kepada penerima sedia ada mengikut kadar sedia ada. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menanggung kos pembayaran BIPK kepada penyandang sedia ada sehingga pegawai meninggalkan perkhidmatan.

Pelaksanaan pemansuhan ini hanya melibatkan pelantikan baharu sahaja yang dilantik mulai 1 Januari 2020.

Bagi pegawai yang berkhidmat secara kontrak, sekiranya tarikh tamat kontrak dan pelantikan semula melalui kontrak baharu pegawai adalah secara terus-menerus dan tidak terputus tempoh perkhidmatannya, maka pegawai masih layak untuk terus menerima BIPK dalam perkhidmatan kontraknya.

Walaupun BIPK telah dimansuhkan, elaun-elaun sedia ada yang diberi berasaskan kepada faktor risiko kerja, kesusahan, kepakaran dan kemahiran masih terus dinikmati oleh pegawai sedia ada dan pegawai lantikan baharu mengikut tugas yang dilaksanakan. Sebagai contoh, Pegawai Perubatan Gred UD41 (Houseman) menikmati Elaun Waktu Bekerja Fleksi Bagi Pegawai Perubatan Siswazah sebanyak RM600 sebulan mengambil kira kesukaran tugas dan tempoh bertugas yang panjang. Selain itu, Elaun Tugas Atas Panggilan (On-Call) Bagi Pegawai Perubatan diberikan sekiranya pegawai menjalankan tugas atas panggilan di luar waktu pejabat. Manakala bagi pegawai yang diwartakan sebagai Pakar Perubatan dan Pergigian turut menerima Bayaran Insentif Pakar di antara RM1,600 hingga RM3,100 sebulan. Senarai elaun yang dinyatakan di atas adalah seperti di Lampiran B.

Selain Klasifikasi Perubatan dan Kesihatan, Skim Perkhidmatan Juruterbang/ Pemeriksa Juruterbang turut diberikan Bayaran Insentif Juruterbang di antara RM4,500 hingga RM8,000 sebulan.

Sebanyak 27 elaun telah dimansuhkan semasa pelaksanaan SSB dan 9 elaun melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 kerana tidak menepati prinsip dan kriteria pemberian. Dalam hal ini, urusan pemansuhan elaun bukanlah sesuatu perkara baharu dan kajian pengukuhan pemberian elaun akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Kerajaan sentiasa akan menimbangkan permohonan serta membuat kajian semakan elaun keseluruhan perkhidmatan awam berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Dalam melaksanakan kajian elaun, pertimbangan dan perhatian secara berhati-hati perlu diberikan kerana ianya memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan.

Penutup

Sekian, semoga perkongsian pada kali ini iaitu Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal hanya melibatkan pelantikan baharu tahun 2020 memberikan informasi terkini kepada anda semua dan semoga segala urusan kita dalam dunia pendidikan ini sentiasa dipermudahan. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.