KPM Cadang Silat jadi Aktiviti Kokurikulum di Sekolah ini adalah bersumberkan berita daripada BERNAMA dan Sinar Harian bertarikh 30 November 2019.
Kementerian Pendidikan merancang untuk menjadikan seni silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah, selain subjek pilihan berkredit di universiti bagi memartabatkan warisan tradisi berkenaan.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya juga merancang agar silat dijadikan salah satu kursus dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), agar pelajarnya boleh diberikan sijil yang dapat digunakan untuk menceburi kerjaya dalam bidang keselamatan.
Katanya, dalam masa yang sama, aktiviti mempromosikan seni silat ini juga akan dilakukan di luar negara melalui Bahagian Education Malaysia.
“Pihak kementerian juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) bagi mengusahakan silat diwartakan sebagai warisan sejarah dunia.
“Bagi memupuk minat dalam kalangan pelajar, kita juga menggalakkan pihak sekolah untuk mewujudkan kelab silat dengan sasaran sebanyak 5,000 kelab pada tahun depan,” katanya kepada media di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, pihak kami, Sistem Guru Online ingin mendapatkan maklum balas daripada anda semua berkaitan pelaksanaan perkara ini.
Penutup
Sekian, semoga perkongsian pada kali ini iaitu KPM Cadang Silat jadi Aktiviti Kokurikulum di Sekolah memberikan informasi terkini kepada anda semua berkaitan dunia pendidikan di Malaysia. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.