Garis Panduan bagi Program Penajaan Kumpulan Pelaksana KPM secara Separuh Masa dan Sepenuh Masa ini merupakan hebahan terkini daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh November 2019.
Garis Panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada semua Ketua Jabatan, Penyelaras Latihan Bahagian/Jabatan dan pegawai di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam melaksanakan urusan permohonan serta pencalonan bagi Program Penajaan Kumpulan Pelaksana (PPKP) secara separuh masa dan sepenuh masa yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Latar Belakang
Kerajaan melalui pengumuman Bajet Tahun 2017 telah bersetuju untuk menyediakan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa Kumpulan Pelaksana (CBBPDBKP) kepada pegawai yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian secara sepenuh masa bagi sesi 2018. Kemudahan ini bertujuan memberi peluang kepada pegawai untuk meningkatkan pengetahuan melalui perolehan sijil-sijil akademik dan latihan kemahiran yang diiktiraf sesuai dengan keperluan jawatan dan perkhidmatan. Ia turut menggalakkan usaha pembelajaran sepanjang hayat bagi anggota Perkhidmatan Awam di peringkat Kumpulan Pelaksana.
Bermula tahun 2019, kemudahan ini telah ditambah baik dengan penawaran pengajian secara separuh masa dan sepenuh masa serta dijenamakan semula sebagai PPKP.
Sehubungan dengan itu, Garis Panduan ini dirangka sebagai rujukan kepada Ketua Jabatan, Pegawai Penyelaras Bahagian/Jabatan dan pegawai di KPM yang terlibat dalam pengurusan permohonan kemudahan PPKP supaya dapat dilaksanakan dengan teratur dan menepati dasar-dasar yang berkuatkuasa.
Takrifan
- “Pegawai” merujuk kepada Kumpulan Pelaksana lantikan persekutuan (Gred 11 hingga 40) yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Ia merangkumi Pegawai Perkhidmatan Bukan Guru (PBG) termasuk Jawatan Kader, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM);
- “Perkhidmatan Bukan Guru” merujuk kepada pegawai dalam semua skim perkhidmatan di KPM, selain PPP dan PPPT;
- “Jawatan Kader” bermaksud satu jawatan yang diwujudkan di sesebuah Kementerian/Jabatan dengan pengisiannya dilakukan oleh Ketua Perkhidmatan jawatan berkenaan yang bukan dari KPM;
- “Pegawai Perkhidmatan Pendidikan” merujuk kepada pegawai yang dilantik ke dalam Skim Perkhidmatan Pendidikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP);
- “Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi” merujuk kepada pegawai yang dilantik ke dalam Skim Pendidikan Pengajian Tinggi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP);
- “Kemudahan” merujuk penajaan bagi mengikuti pengajian daripada Kerajaan yang merangkumi bayaran yuran pengajian, elaun-elaun dan lain-lain kelayakan sepanjang tempoh pengajian bagi sepenuh masa manakala Elaun Buku dan Tesis serta Cuti Kursus Sambilan tidak melebihi 30 hari dalam setahun pengajian bagi separuh masa;
- “Cuti Belajar Bergaji Penuh” bermaksud cuti yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Melulus kepada seseorang pegawai untuk mengikuti kursus atau pengajian;
- “Ketua Jabatan” merujuk kepada pegawai yang mengetuai sesuatu Bahagian/Jabatan termasuk ketua di negeri sehingga ke peringkat Pengetua/Guru Besar (rujuk Lampiran 1);
- “Ketua Perkhidmatan” bermaksud pegawai yang mengetuai sesuatu perkhidmatan;
- “Pegawai Penyelaras” merujuk kepada pegawai yang dilantik untuk menguruskan permohonan dan pencalonan di Bahagian/Jabatan/cawangan/kampus negeri/politeknik/kolej komuniti/Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)/kolej/sekolah;
- “Bahagian” merujuk kepada Bahagian di Ibu Pejabat KPM, tidak termasuk Bahagian-Bahagian di bawah Jabatan. Bahagian juga bertanggungjawab terhadap pegawai di cawangan/kampus negeri/kolej/sekolah di bawah bidang kuasa masing-masing; dan
- “Jabatan” merujuk kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang turut bertanggungjawab terhadap pegawai sehingga ke peringkat politeknik/kolej komuniti/PPD/sekolah di bawah bidang kuasa masing-masing.
Pemilihan dan Saringan
Pegawai yang berminat untuk memohon kemudahan penajaan PPKP perlu mendapatkan kelulusan Ketua Jabatan dan melengkapkan semua dokumen yang diarahkan oleh JPA.
Bagi memastikan pencalonan pegawai tidak menjejaskan fungsi Bahagian/Jabatan, Ketua Jabatan bertanggungjawab membuat saringan sebelum memperaku pencalonan kepada Bahagian/Jabatan seperti di bawah:
- Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KPM untuk PBG;
- Bahagian Profesionalisme Guru (PBG) KPM untuk PPP;
- Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) JPT untuk pegawai-pegawai di bawah JPT; dan
- BKP JPPKK untuk pegawai-pegawai di bawah JPPKK.
Permohonan yang lengkap dan diperakukan oleh Ketua Jabatan sahaja akan diteliti diangkat oleh BPSM untuk pertimbangan Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) Latihan. Hanya senarai nama yang diperakukan oleh PPSM (Latihan) KPM akan dikemukakan kepada JPA untuk pertimbangan. Bagi permohonan Pegawai Kader, ianya akan dikemukakan kepada Ketua Perkhidmatan masing-masing (Kementerian/Jabatan berkaitan) untuk pertimbangan selanjutnya.
Tugas dan Tanggungjawab
Ketua Jabatan
Ketua Jabatan perlu membuat semakan dengan teliti, memastikan semua maklumat adalah tepat dan bidang yang dimohon bersesuaian dengan fungsi tugas pegawai.
Ketua Jabatan bertanggungjawab membuat perancangan sumber manusia di Bahagian/Jabatan masing-masing serta memperakukan calon-calon yang boleh dilepaskan sahaja bagi memastikan fungsi Bahagian/Jabatan masing-masing tidak terjejas. Sekiranya kesemua pegawai yang diperaku oleh Ketua Jabatan ditawarkan PPKP oleh JPA, Ketua Jabatan perlu membenarkan pegawai untuk mengikuti pengajian.
Ketua Jabatan perlu memberi perhatian bahawa perubahan sementara jawatan kepada tambah sentara boleh dilakukan dengan kelulusan JPA. Fungsi jawatan boleh dilaksanakan oleh pegawai lain secara menjalankan tugas/tanggung kerja bagi memastikan kelancaran operasi seharian. Secara dasarnya, pegawai akan kembali bertugas di tempat asal setelah menamatkan pengajian.
Dalam mempertimbangkan permohonan, Ketua Jabatan perlu memberi perhatian kepada pelbagai perkara termasuk:
- Mengenal pasti bidang keutamaan pengajian berdasarkan keperluan tugas;
- Memperakukan pegawai yang layak dan sesuai dari semua aspek termasuk kesihatan, sahsiah dan keupayaan mengikuti pengajian dengan jayanya; dan
- Merancang tugasan bagi mengekalkan prestasi Bahagian/Jabatan.
Ketua Jabatan boleh menggunakan budi bicara masing-masing dalam mempertimbangkan calon-calon dan jumlah calon yang akan diperakukan.
Bahagian atau Jabatan
Setiap Pegawai Penyelaras di Bahagian/Jabatan bertanggungjawab dalam menguruskan permohonan daripada pegawai di Bahagian/Jabatan masing-masing sebelum mengemukakannya kepada BPSM untuk PBG, BPG untuk PPP dan JPT serta JPPKK untuk PPPT. Perincian mengenai tugas dan tanggungjawab CLK, BPSM dan Pegawai Penyelaras adalah seperti di Jadual 1.
Pemohon
Pegawai perlu memberi perhatian dan melaksanakan perkara-perkara berikut:
- membaca dan memahami syarat serta tatacara permohonan kemudahan penajaan sepertimana surat edaran yang dikeluarkan oleh JPA pada tahun semasa;
- mengisi borang permohonan secara dalam talian di portal eSILA (http://esilav2.jpa.gov.my) dan memastikan maklumat yang diisi adalah tepat;
- memuat turun dan mencetak borang yang telah lengkap diisi berserta dengan dokumen-dokumen yang ditetapkan sebanyak tiga (3) salinan untuk dihantar kepada Ketua Jabatan bagi tujuan perakuan
- memastikan semua dokumen yang dihantar adalah tulen dan mengambil maklum bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika mengemukakan maklumat/dokumen palsu. Pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan yang berkuat kuasa; dan
- mematuhi tarikh-tarikh yang telah ditetapkan dalam iklan/hebahan atau tarikh yang ditetapkan oleh Bahagian/Jabatan (mana yang lebih awal) dan tarikh akhir oleh BPSM.
Untuk permohonan kemudahan PPKP secara separuh masa, pegawai dimohon untuk mematuhi perkara-perkara berikut:
- telah menerima tawaran dan memulakan pengajian (belum mempunyai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK)) di peringkat Ijazah Pertama secara separuh masa pada tarikh tutup permohonan; atau
- sedang dalam pengajian di peringkat Ijazah Pertama secara separuh masa (dengan PNGK minimum 3.00) dan mempunyai sekurang-kurangnya baki tiga (3) semester pada tarikh tutup permohonan; dan
- telah mendapat kelulusan melanjutkan pengajian secara separuh masa daripada Ketua Jabatan.
Bagi permohonan kemudahan PPKP secara sepenuh masa, Ketua Jabatan perlu memastikan pegawai telah menerima tawaran melanjutkan pengajian secara sepenuh masa dan belum memulakan pengajian di pusat-pusat bertauliah awam yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)/ kolej komuniti/ politeknik/ politeknik premier/ universiti awam yang dipersetujui JPA. Pemohon perlu mengemukakan permohonan 45 hari sebelum pegawai memulakan pengajian.
Sekiranya pegawai berjaya menerima tawaran PPKP, pegawai bertanggungjawab mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak JPA dari semasa ke semasa. Pegawai juga hendaklah mengambil tindakan sebelum memulakan pengajian, semasa mengikuti pengajian dan setelah tamat pengajian sebagaimana yang digariskan oleh JPA.
Tempoh Permohonan
Tempoh permohonan adalah seperti yang diiklankan oleh BPSM pada tahun semasa. Pencalonan yang lengkap hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada tarikh yang ditetapkan dalam iklan/hebahan BPSM. Permohonan yang lewat diterima tidak akan diproses. Tarikh yang ditetapkan oleh BPSM adalah lebih awal daripada JPA memandangkan terdapat keperluan bagi mendapatkan kelulusan PPSM (Latihan) sebelum dikemukakan kepada Ketua Perkhidmatan/JPA.
Bahagian/Jabatan boleh menetapkan satu tarikh yang bersesuaian kepada pegawai masing-masing bagi memastikan semua permohonan dapat dikemukakan kepada BPSM sebelum tarikh tutup yang ditetapkan di peringkat KPM.
Tatacara Permohonan
Tatacara permohonan adalah seperti yang ditetapkan melalui surat edaran JPA dan e-mel hebahan yang dikeluarkan oleh BPSM. Permohonan dengan dokumen yang tidak lengkap atau tidak dikemukakan melalui Ketua Jabatan tidak akan diproses.
BORANG
Semua pencalonan berserta dengan dokumen-dokumen berkaitan yang telah diselaraskan di peringkat Bahagian/Jabatan hendaklah dikemukakan kepada BPSM bersama-sama Borang 1.
Carta Alir
Proses keseluruhan permohonan kemudahan penajaan PPKP secara separuh dan sepenuh masa adalah seperti di Lampiran 2.
Pemakaian
Garis Panduan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan. Dengan berkuat kuasanya Garis Panduan ini, Garis Panduan Bagi Kemudahan Penajaan Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa Kumpulan Pelaksana Sektor Pendidikan Secara Sepenuh Masa yang telah diedarkan pada Jun 2018 adalah terbatal.
Garis Panduan ini hendaklah dibaca bersekali dengan dan surat edaran JPA pada tahun semasa dan dalam keadaan di mana terdapat kekeliruan atau percanggahan di antara Garis Panduan ini dengan surat edaran JPA mengenai PPKP pada tahun semasa, maka syarat dan ketetapan JPA adalah terpakai dan mengatasi Garis Panduan ini.
Lampiran
Pertanyaan
Sebarang pertanyaan berkaitan dengan Garis Panduan ini bolehlah dirujuk kepada Bahagian berikut mengikut perkhidmatan pemohon:
(i) Perkhidmatan Bukan Guru (selain PPP dan PPPT)
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 4, Blok E12, Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 PUTRAJAYA
(u.p.: Cawangan Latihan dan Kompetensi)
No. Telefon : 03-8884 7960/7899/7967/7947
03-8872 1514
Faks : 03-8884 7925
(ii) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Bahagian Profesionalisme Guru
Kementerian Pendidikan Malaysia
Aras 2-6, Blok E13, Kompleks E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 PUTRAJAYA
(u.p: Sektor Peningkatan Keilmuan)
No. Telefon : 03-8884 1387
Faks : 03-8884 1081
(iii) Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi di JPT
Bahagian Khidmat Pengurusan,
Jabatan Pendidikan Tinggi,
Aras 9. No. 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62200 PUTRAJAYA
No. Telefon : 03-8870 6408
Faks : 03-8870 6843
(iv) Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi di bawah JPPKK,
Bahagian Khidmat Pengurusan,
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,
Aras 5 Galeria PJH,
Jalan P4W, Persiaran Perdana, Presint 4
62100 PUTRAJAYA
No. Telefon : 03-8891 9105
Faks : 03-8891 9300
Dapatkan “Garis Panduan bagi Program Penajaan Kumpulan Pelaksana KPM secara Separuh Masa dan Sepenuh Masa” di sini
Di sini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.
Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’
Penutup
Sekian. Semoga perkongsian ini iaitu Garis Panduan bagi Program Penajaan Kumpulan Pelaksana KPM secara Separuh Masa dan Sepenuh Masa memberikan informasi terkini berkaitan dunia pendidikan. Teruskan bersama kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terkini dan terbaik dari semasa ke semasa.