DSKP Bahasa Melayu Tahun 1

 

DSKP

DSKP Bahasa Melayu Tahun 1 ini merupakan himpunan semua Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang dikemas kini dari tahun ke tahun mengikut pelaksanaan kurikulum di sekolah rendah.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011 telah disemak semula bagi memenuhi dasar baharu di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 agar kualiti kurikulum yang dilaksanakan di sekolah rendah setanding dengan standard antarabangsa.

Kurikulum berasaskan standard yang menjadi amalan antarabangsa telah dijelmakan dalam KSSR menerusi penggubalan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) untuk semua mata pelajaran yang mengandungi Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi.

Usaha memasukkan standard pentaksiran di dalam dokumen kurikulum telah mengubah landskap sejarah sejak Kurikulum Kebangsaan dilaksanakan di bawah Sistem Pendidikan Kebangsaan. Menerusinya, murid dapat ditaksir secara berterusan untuk mengenal pasti tahap penguasaannya dalam sesuatu mata pelajaran, serta membolehkan guru membuat tindakan susulan bagi mempertingkatkan pencapaian murid.

DSKP yang dihasilkan telah menyepadukan enam tunjang Kerangka KSSR, mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai, serta memasukkan secara eksplisit Kemahiran Abad Ke-21 dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Penyepaduan tersebut dilakukan untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sebagaimana tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Bagi menjayakan pelaksanaan KSSR, pengajaran dan pembelajaran guru perlu memberi penekanan kepada KBAT dengan memberi fokus kepada pendekatan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri dan Pembelajaran Berasaskan Projek supaya murid dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21.

DSKP

Dunia pendidikan yang sangat dinamik dalam arus globalisasi menuntut perubahan dalam kurikulum. Seiringan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil inisiatif menyemak dan melakukan penambahbaikan dalam kurikulum termasuklah Kurikulum Standard Bahasa Melayu yang turut melalui proses semakan dan penambahbaikan dalam penggubalannya.

Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang mengandungi Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi yang didokumenkan sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Bahasa Melayu. Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi ini merupakan pernyataan yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang mesti dipelajari dan dikuasai oleh murid di sekolah rendah.

DSKP Bahasa Melayu Sekolah Rendah mengambil kira pendekatan pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Sekolah Kebangsaan dan di Sekolah Jenis Kebangsaan bagi menjunjung peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan negara, bahasa ilmu dan bahasa pengantar di sekolah.

Mata pelajaran Bahasa Melayu ini dijadikan pemangkin untuk memahami akal budi, pemikiran dan sosiobudaya penuturnya ke arah melahirkan semangat cinta akan bahasa dan tanah air yang dikongsi bersama dalam satu wawasan demi memartabatkan bahasa Melayu.

Pada asasnya, pembinaan kerangka standard ini berdasarkan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Kurikulum ini mengetengahkan pendekatan berbentuk modular dan pembelajaran secara didik hibur serta pentaksiran secara holistik bagi mencungkil potensi murid dalam penerokaan pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Seterusnya, kurikulum ini membolehkan murid memperkembangkan dan menilai keupayaan serta penguasaan kemahiran bahasa mereka, serta mampu berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu secara berkesan dan bertatasusila dalam semua urusan.

MATLAMAT

Standard Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.

OBJEKTIF UMUM

Kurikulum Standard Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

  1. Memberikan respons berdasarkan arahan, pesanan, dan pertanyaan dengan betul;
  2. Bercerita, berbincang dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila;
  3. Membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul, memahami, dan menaakul maklumat tersurat dan tersirat daripada pelbagai sumber untuk memberikan respons dengan betul;
  4. Membaca pelbagai bahan bagi memperkaya kosa kata dan maklumat untuk memupuk minat membaca;
  5. Mencatat, menulis, dan mengimlak untuk mengaplikasikan maklumat dengan menggunakan bahasa yang santun;
  6. Menghasilkan pelbagai penulisan, mengedit, dan menulis ulasan;
  7. Menghayati serta menghargai keindahan dan kesantunan bahasa dalam bahan sastera;
  8. Menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan, dan penulisan; dan
  9. Menghargai dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik, dan kewarganegaraan melalui aktiviti berbahasa.

Objektif Standard Kurikulum Bahasa Melayu Tahun 1

Kurikulum Standard Sekolah Rendah mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 1 bertujuan membolehkan murid mencapai objektif berikut:

  1. Mengajuk dan menyebut perkataan, frasa dan ayat yang mengandungi pelbagai bunyi vokal, konsonan, diftong, vokal berganding, digraf, dan konsonan bergabung dengan sebutan yang betul;
  2. Mendengar, memahami, dan memberikan respons terhadap soalan, suruhan, dan pesanan dengan betul;
  3. Bertutur secara bertatasusila dengan sebutan yang betul dan intonasi yang sesuai untuk menyampaikan maklumat dan idea yang kritis dan kreatif;
  4. Membaca dengan sebutan yang betul, intonasi yang sesuai, dan memahami perkataan, frasa, dan ayat;
  5. Membaca, memahami dan menaakul bahan untuk mendapatkan kosa kata, idea tersurat, dan idea tersirat;
  6. Membaca dan mengenal pasti kandungan teks bahan sastera dan bahan bukan sastera;
  7. Membaca, memahami, dan mempersembahkan karya sastera;
  8. Menulis huruf, suku kata, perkataan, frasa, dan ayat secara mekanis dengan betul dan kemas;
  9. Membina dan menulis jawapan pemahaman berdasarkan soalan bertumpu dan bercapah dengan betul;
  10. Mencatat maklumat tentang sesuatu perkara;
  11. Menulis perkataan, frasa, dan ayat secara imlak;
  12. Menghasilkan penulisan naratif dan bukan naratif secara terkawal dengan betul;
  13. Mengedit dan memurnikan hasil penulisan daripada aspek ejaan dan tanda baca dengan betul;
  14. Bercerita dan menuturkan cerita haiwan, cerita jenaka, dan simpulan bahasa menggunakan bahasa kiasan yang sesuai;
  15. Melafazkan pantun nasihat dua kerat dan empat kerat dengan sebutan dan intonasi yang betul;
  16. Menyanyikan lagu kanak-kanak dan lagu rakyat dengan irama yang betul;
  17. Melagukan syair dengan sebutan dan intonasi yang betul;
  18. Mencipta dan mempersembahkan pantun dua kerat, empat kerat dan syair irama selendang delima secara kreatif;
  19. Mengenal pasti dan menggunakan kata nama am, kata nama khas, kata ganti nama, penjodoh bilangan, dan kata kerja mengikut konteks dengan betul;
  20. Mengenal pasti dan menggunakan kata adjektif, kata tugas, kata tanya, dan kata perintah mengikut konteks dengan betul;
  21. Mengenal pasti dan menggunakan kata berimbuhan awalan dan akhiran mengikut konteks dengan betul;
  22. Mengenal pasti dan menggunakan kata majmuk rangkai kata bebas mengikut konteks dengan betul;
  23. Mengenal pasti dan menggunakan kata ganda penuh mengikut konteks dengan betul; dan
  24. Mengenal pasti jenis ayat penyata, ayat tanya dengan kata tanya, ayat perintah dan ayat seruan, serta menggunakan ayat tunggal dan ayat majmuk mengikut konteks dengan betul.

Dapatkan “DSKP Bahasa Melayu Tahun 1” disini


Disini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.

Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’

Download : DSKP Bahasa Melayu Tahun 1

BIL.

DSKP BM TAHUN 1

1

KEGUNAAN 2020

2

KEGUNAAN 2019

3

KEGUNAAN 2018

4

KEGUNAAN 2017

5

KEGUNAAN 2016

 

Organisasi DSKP

STANDARD KANDUNGAN

Penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

STANDARD PEMBELAJARAN

Suatu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

STANDARD PRESTASI

Suatu set kriteria umum yang menunjukkan tahap-tahap prestasi yang perlu murid pamerkan sebagai tanda bahawa sesuatu perkara itu telah dikuasai murid (indicator of success)

Penutup

Sekian, semoga perkongsian pada kali ini iaitu DSKP Bahasa Melayu Tahun 1 memberikan informasi terkini kepada anda semua dan semoga segala urusan kita dalam dunia pendidikan ini sentiasa dipermudahan. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.