16 Perkara Penting Berkaitan Penerimaan Kemasukan Murid Bukan Warganegara ke Sekolah Kerajaan atau Sekolah Bantuan Kerajaan Mulai 2019

 

CIKGU SUHAIMIN 5

16 Perkara Penting Berkaitan Penerimaan Kemasukan Murid Bukan Warganegara ke Sekolah Kerajaan atau Sekolah Bantuan Kerajaan Mulai 2019 ini merupakan info daripada Sektor Pengurusan Sekolah.

181016 birth cert FI 700x366

Ini berikutan dasar yang membolehkan murid bukan warganegara Malaysia boleh bersekolah. Berikut dikongsikan 16 perkara penting yang perlu anda tahu berkaitan urusan ini.

  1. Adakah murid bukan warganegara boleh bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan berdasarkan peruntukan perundangan?

Berdasarkan peruntukan perundangan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) sedia ada, mensyaratkan bahawa setiap murid yang hendak masuk ke sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan hendaklah berstatus warganegara.

Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian kepada syarat tersebut di mana murid bukan warganegara boleh diterima masuk ke sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan sekiranya memenuhi kategori-kategori yang ditetapkan dalam akta tersebut.

  1. Apakah kategori murid bukan warganegara yang boleh bersekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan ?

Kategori-kategori murid bukan warganegara itu ialah ;

  • anak kakitangan Kedutaan Asing;
  • anak yang ibu bapanya adalah juga bukan warganegara, yang bekerja dalam perkhidmatan atau agensi kerajaan, badan berkanun atau mana-mana tempat lain dengan permit kerja yang sah;
  • anak yang ibu bapanya adalah pemastautin tetap Malaysia;
  • atau murid yang dipilih oleh Kerajaan murid itu untuk melanjutkan pelajarannya di Malaysia menurut mana-mana Memorandum Persefahaman atau Perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negara murid itu.
  1. Apakah dokumen yang diperlukan sebelum murid bukan warganegara ini diterima masuk ke sekolah ?

Dokumen yang diperlukan bersama borang permohonan Jadual Pertama P.U.A (275) sebelum murid ini diterima masuk ke sekolah ialah;

  • sijil lahir murid atau kad pengenalan murid,
  • pasport murid dan
  • pasport ibu bapa
  • pas penggajian ibu bapa,
  • pas tanggungan,
  • surat majikan di negara ini yang telah ditentu sahkan,
  • mengemukakan pas pelajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri berkenaan.
  1. Jika ibu bapa bukan warganegara kepada murid bukan warganegara ini tidak bekerja dalam perkhidmatan atau agensi kerajaan atau badan berkanun, adakah anak mereka boleh bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuaan kerajaan ?

Anak mereka boleh bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan, jika ibu bapa bukan warganegara kepada murid bukan warganegara ini dapat mengemukakan permit kerja yang sah, iaitu;

  • pas penggajian (employment pass) kategori I dengan gaji RM10,000 sebulan dan ke atas dengan kontrak minima dua tahun, atau
  • pas penggajian (employment pass) kategori ll dengan gaji RM9,999.00 hingga RM5,000 sebulan dengan kontrak kurang dari 2 tahun.

Kategori-kategori ini adalah yang membenarkan mereka membawa tanggungan (dependents) sepanjang tempoh bekerja di negara ini.

  1. Apakah kategori lain murid bukan warganegara yang diterima masuk bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan ?

Dua (2) kategori lain murid bukan warganegara yang boleh diterima masuk bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan iaitu;

  • Murid bukan warganegara yang telah diambil oleh warganegara Malaysia sebagai anak angkat,
  • Murid bukan warganegara hasil perkahwinan tidak mengikut undang-undang Malaysia di mana sekiranya bapa adalah warganegara dan ibunya bukan warganegara (nama bapa tidak tercatat di dalam sijil lahir anak).
  1. Apakah dokumen yang diperlukan oleh murid bukan warganegara yang telah dijadikan anak angkat yang sah oleh warganegara Malaysia untuk bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan ?

Dokumen-dokumen yang diperlukan bagi murid bukan warganegara yang telah diambil oleh warganegara Malaysia sebagai anak angkat yang sah adalah seperti berikut:

  • Sijil Pengangkatan yang sah dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), atau
  • Perintah mahkamah tentang hak penjagaan murid; atau
  • Surat Akuan Penjagaan Murid daripada Jabatan Kebajikan Masyarakatan dan
  • Mengemukakan pasport dan pas pelajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen atau salinan permohonan taraf kewarganegaraan dari Jabatan Pendaftaran Negara.
  1. Apakah dokumen yang diperlukan oleh murid bukan warganegara hasil perkahwinan tidak mengikut undang-undang Malaysia ( perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan di Malaysia ) di mana sekiranya bapa adalah warganegara dan ibunya bukan warganegara ini untuk bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan ?

Dokumen-dokumen yang diperlukan bagi murid bukan warganegara hasil perkahwinan tidak mengikut undang-undang Malaysia di mana sekiranya bapa adalah warganegara dan ibunya bukan warganegara, adalah sijil lahir murid dan dokumen seperti :

  • Sijil Pengangkatan yang sah dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); atau
  • Perintah mahkamah untuk hak penjagaan yang sah; atau
  • Surat Pengesahan atau surat perakuan daripada sama ada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pegawai Daerah, Penghulu, Ketua Kampung, Ketua Kaum atau Ketua Rumah Panjang tempat murid tersebut tinggal, dan
  • Mengemukakan pasport dan pas pelajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen atau salinan permohonan taraf kewarganegaraan dari Jabatan Pendaftaran Negara.
  1. Apakah borang yang diperlu diisi sebelum murid ini diterima masuk ke sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan ?

Ibu bapa atau penjaga yang sah perlu mengemukakan borang permohonan Jadual Pertama P.U.A ( 275 ).

  1. Di manakah borang ini boleh diperolehi?

Borang ini boleh diperolehi di Pejabatan Pendidikan Daerah ( PPD ) atau Jabatan Pendidikan Negeri ( JPN ) yang berhampiran.

  1. Adakah kanak-kanak pelarian Rohingya atau kanak-kanak pelarian Filipina ( IMM13 ) yang memegang kad UNHCR diterima bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan ?

Kanak-kanak pelarian Rohingya atau murid pelarian Filipina ( IMM13 ) ini boleh belajar di Pusat Bimbingan Alternatif ( PBA ) atau Pusat Pembelajaran Komuniti ( CLC ) yang ditubuhkan oleh UNHCR atau institusi pendidikan swasta.

  1. Adakah murid bukan warganegara yang ibu atau bapanya bekerja di sektor pembinaan, sektor pekilangan, sektor pembersihan atau bekerja sebagai pembantu rumah boleh bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan ?

Tidak boleh, kerana ibu atau bapa murid ini tidak dibenarkan membawa tanggungan( dependants ) sepanjang bekerja di negara ini.

  1. Adakah murid bukan warganegara yang ibu bapanya sedang melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah boleh bersekolah di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan ?

Tidak boleh, walau bagaimanapun murid bukan warganegara yang ibubapanya sedang melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah di institusi pendidikan tinggi ( IPT ) boleh mengikuti pendidikan di sekolah ekspatriat atau sekolah antarabangsa atau institusi pendidikan swasta.

  1. Bilakah permohonan bersekolah bagi murid bukan warganegara ini dibuka ?

Permohonan bersekolah bagi murid bukan warganegara ini mula dibuka;

  • bagi kemasukan murid Tahun 1 dan Tingkatan 1, mulai 1 Oktober hingga 30 November tahun semasa
  • bagi lain-lain kategori murid bukan warganegara adalah sepanjang tahun.
  1. Di manakah ibu bapa perlu mengemukakan borang permohonan persekolahan murid ini?

Ibu bapa perlu mengemukakan borang permohonan Jadual Pertama P.U.A ( 275 ) persekolahan murid ini di Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah ( PPD ) yang berhampiran.

  1. Adakah murid bukan warganegara ini dikenakan bayaran fi pengajian sebelum diterima masuk ke sekolah ?

Ya, murid bukan warganegara ini dikenakan bayaran fi yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM120.00 untuk sekolah rendah dan RM240.00 untuk sekolah menengah setahun.

  1. Di manakah bayaran fi ini boleh dibuat ?

Bayaran fi ini boleh dibuat di Unit Kewangan, Jabatan Pendidikan Negerin berkenaan sebelum diterima masuk ke sekolah .

Penutup

Sekian, semoga perkongsian ini iaitu 16 Perkara Penting Berkaitan Penerimaan Kemasukan Murid Bukan Warganegara ke Sekolah Kerajaan atau Sekolah Bantuan Kerajaan Mulai 2019 memberikan informasi terkini kepada anda semua dan semoga segala urusan kita dalam dunia pendidikan ini sentiasa dipermudahkan. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.