Cadangan jadikan Pendidikan Kewangan subjek wajib di sekolah dan IPT

 

Cadangan jadikan pendidikan kewangan subjek wajib di sekolah dan IPT ini dinyatakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir.

Kerajaan diharap menjadikan pendidikan kewangan sebagai salah satu subjek ‘mandatori’ di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi mengelak lebih ramai yang terdedah kepada masalah kewangan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir, berkata ilmu pengurusan kewangan kini menjadi satu keperluan berikutan masyarakat sentiasa terdedah dengan masalah hal ehwal kewangan.

“Trend semakin berubah. Pada tiga, empat tahun lalu kita mengeluarkan belanja jika berada di luar rumah. Namun kini, duit boleh dihabiskan meskipun berada di dalam rumah.

“Justeru, menjadi satu keperluan kepada kita untuk bijak menguruskan kewangan serta mengawal diri daripada melakukan perbelanjaan tidak berfaedah,”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan bagi Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan 11 Oktober ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fudo dan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim.

Azaddin berkata, setiap individu terutama dalam kalangan generasi muda seharusnya mempunyai perancangan persaraan lebih awal bagi mengelak berdepan simpanan tidak mencukupi selepas bersara.

“Perancangan simpanan untuk persaraan sepatutnya bermula pada hari pertama memasuki alam pekerjaan.

“Ini adalah satu langkah yang tepat kerana untuk membuat simpanan ia bukan dilakukan dalam tempoh yang cepat tetapi memerlukan masa,”

Sehingga kini, AKPK menerima kira-kira 10,000 hingga 15,000 individu sebulan dari seluruh negara yang mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi berkenaan.

Sementara itu, Fudo berkata, kajian yang dijalankan HLB dengan kerjasama iMoney mendapati 75 peratus daripada keseluruhan 505 responden meletakkan tahap pengetahuan mengenai kewangan pada paras rendah hingga sederhana, manakala 68 peratus percaya secara umumnya mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.

“Kebanyakan orang menganggap pengetahuan kewangan hanya mengetahui cara menyimpan dan mengurus pinjaman, sedangkan ia lebih daripada itu.

“Konsep itu perlu difahami dengan cepat supaya kita dapat membudayakan amalan kewangan bertanggungjawab bagi meningkatkan kebebasan kewangan pada masa depan,”

HLB DuitSmart membantu mengira dan menyediakan maklumat mengenai pengetahuan kewangan secara dalam talian, selain membolehkan rakyat Malaysia menyemak skor kredit masing-masing.

SUMBER: Nurhayati Abllah (Berita Harian)

Penutup

Sekian. Semoga perkongsian pada kali ini iaitu Cadangan jadikan pendidikan kewangan subjek wajib di sekolah dan IPT memberikan informasi terkini kepada anda semua berhubung dunia pendidikan di Malaysia. Teruskan bersama kami di t.me/sistemguruonline bagi mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terkini dan terbaik dari semasa ke semasa. Terima kasih.