Mansuh UPSR: KPM perlu dapatkan pandangan semua pihak

 

Mansuh UPSR: KPM perlu dapatkan pandangan semua pihak. Terkini berhubung isu mansuh UPSR.

Kementerian Pendidikan diminta membuat kajian secara terperinci berhubung cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berkata, peperiksaan itu penting bagi menilai pencapaian murid di peringkat sekolah rendah.

“UPSR masih penting dan diperlukan untuk menilai tahap pengukuhan akademik terutama dalam mata pelajaran sains dan teknologi serta bukan akademik termasuk kemahiran setiap murid.

“Bagi saya, ia wajar dikekalkan kerana masih relevan bagi penarafan murid untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih bersedia sebelum memasuki sekolah menengah,”

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu UPSR dimansuhkan dalam usaha transformasi sistem pendidikan berteraskan penilaian peperiksaan, selain melahirkan murid yang lebih baik.

Menurut Wan Marzuki, kementerian juga perlu melihat sama ada dasar baharu itu jauh lebih baik daripada sedia ada.

“Kita pun tidak pasti apa yang bakal digantikan dengan UPSR. Tetapi bila hendak ditransformasikan, mesti ia lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

“Jadi kajian menyeluruh dan terperinci perlu dijalankan untuk melihat kebaikan, kelemahan serta apa yang perlu untuk ditambah baik,”

Katanya, hanya sistem pendidikan yang memberi penekanan seimbang antara pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum dapat membentuk sistem pendidikan yang holistik.

“Rasional bahawa peperiksaan UPSR membawa kepada sistem pendidikan yang menjurus kepada peperiksaan tidak boleh dinafikan tetapi pemansuhan peperiksaan berkenaan bukanlah penyelesaian terbaik,”

Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan sebelum memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Tokoh Guru Kebangsaan 2019, Nawi Ismail berkata, kajian menyeluruh perlu dijalankan berikutan UPSR adalah kayu pengukur kepada tahap pencapaian sekolah rendah.

“Saya menyokong cadangan untuk mansuhkan UPSR namun harus diingatkan yang kajian menyeluruh perlu dijalankan untuk memastikan peperiksaan atau penilaian yang akan menggantikan ia nanti setanding atau lebih baik daripada peperiksaan awam itu bagi menilai pencapaian pelajar di peringkat sekolah.

“Peperiksaan yang dijalankan di sekolah perlu dipantau agar selaras dengan standard peperiksaan awam sedia ada.

“Soalan berbentuk objektif perlu dikurangkan kerana tidak dapat menilai kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis seseorang pelajar itu,”

Menurutnya, langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih fokus dan tenang.

“Sistem kita hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan. Ini memberi tekanan kepada pelajar dan mereka belajar secara membuta-tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperoleh boleh digunakan pada masa-masa akan datang,”

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Petaling, Fauzi Ahmad Marzuki berkata, peperiksaan awam itu masih relevan dan penting untuk menilai tahap pencapaian akademik murid.

“Saya tak bersetuju jika UPSR dimansuhkan kerana ia dapat menilai sejauh mana pencapaian murid sebelum ke sekolah menengah. Jika dimansuhkan, dengan apa cara lagi kita dapat menilai murid terbabit.

“Kementerian perlu memperkenalkan sistem lebih baik daripada yang sedia ada jika ia akan dilaksanakan. Saya amat berharap pihak berkenaan tidak gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak,”

Sumber: Sinar Harian dan Astro Awani

Penutup

Sekian. Semoga perkongsian pada kali ini iaitu Mansuh UPSR: KPM perlu dapatkan pandangan semua pihak memberikan informasi terkini kepada anda semua berhubung isu-isu pendidikan di Malaysia. Teruskan bersama kami di t.me/sistemguruonline bagi mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terkini dan terbaik dari semasa ke semasa. Terima kasih.