Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil

SOALAN 38

Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil ini merangkumi nota bagi sinopsis, tema dan persoalan, watak dan perwatakan, teknik plot, plot, gaya bahasa, nilai dan pengajaran.

Sinopsis

Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil ( Zainal Rasyid Ahmad) telah menggunakan pendekatan sorot balik tentang kisah perjuangan Ahmad Mutawakkil dalam menzahirkan cintanya terhadap bangsa dan negara. Ahmad Mutawakkil yang parah ditembak telah memeranjatkan penduduk kampung yang ketika itu sedang berdoa seusai solat maghrib. Setelah menjelaskan keadaan Ahmad Mutawakkil yang parah, terkulai lalu pengsan, penulis mula mengimbas kembali kisah perjuangan anak muda tersebut bermula daripada perubahan sosioekonomi penduduk kampung kesan kehadiran Tuan Booth sekeluarga. Kehadiran mereka bukan sahaja berjaya meningkatkan ekonomi penduduk kampung, malahan Ahmad Mutawakkil membesar sebagai pemuda berilmu hasil bantuan anak Tuan Booth, Sandra. Dia bukan sahaja menjadi penyebar maklumat tentang hal ehwal semasa kepada masyarakat di kampungnya, malahan turut bekerja membaca dan menjawab surat-surat rahsia daripada Inggeris untuk kumpulan anti-Jepun.

Cerpen ini diteruskan lagi dengan Ahmad Mutawakkil menyampaikan khabar kepada penduduk kampung tentang pengeboman Hiroshima dan Nagasaki yang membawa kelegaan dan rasa syukur mereka. Ahmad Mutawakkil kemudiaannya digambarkan sebagai pemuda yang berjiwa pemimpin apabila dia dapat mempengaruhi penduduk kampung dengan pidatonya yang membangkitkan semangat patriotisme dalam jiwa mereka. Dalam masa yang sama Ahmad Mutawakkil berjaya mengajak penduduk kampung untuk menjalinkan silaturahim dengan Tuan Booth sekeluarga yang tidak pernah memusuhi masyarakat di situ. Cerpen ini juga dikembangkan dengan kisah hubungan antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra yang sering menjadi tanda tanya kepada penduduk di situ.

Plot dirumitkan lagi dengan situasi 16 Jun 1948 di Perak apabila darurat diisytiharkan kerana Parti Komunis Malaya mula menggila. Ahmad Mutawakkil tetap mengajak masyarakat kampungnya berjuang tanpa menghiraukan keselamatan dirinya walaupun pihak komunis telah memberi amaran kepadanya melalui Tuan Booth agar tidak menghasut orang kampung membenci komunis.

Kemuncaknya, Ahmad Mutawakkil berjaya meniupkan semangat perjuangan yang begitu mendalam dalam jiwa penduduk kampung melalui pidato citra merdeka dan kritikan terhadap bangsa Melayu yang sanggup diperalat Parti Komunis Malaya. Setelah ditemui oleh seorang budak lelaki yang tidak dikenali seusai majlis ceramah tersebut, Ahmad Mutawakkil pergi dan tidak pulang-pulang sehingga dia datang pada malam esoknya di surau kampung dalam keadaan berlumuran darah. Ahmad Mutawakkil terbunuh namun semangat perjuangannya terus membara dalam masyarakat kampung sama seperti mereka rindu akan kata-kata semangat anak muda itu “ Tanah Melayu pasti merdeka!”. Tuan Booth sekeluarga pulang ke England seminggu selepas Tanah Melayu merdeka namun rasa cinta yang mendalam Sandra terhadap Ahmad Mutawakkil telah membawa dia pulang ke kampung tersebut untuk meneruskan kehidupannya di situ.

Tema dan Persoalan

Tema

Kegigihan dan keberanian seorang pemuda berkorban nyawa untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air. Contohnya – Ahamad Mutawakkil seorang yang berani menyampaikan maklumat kepada masyarakat agar berani menuntut kemerdekaan daripada penjajah serta menentang ideologi komunis.

Persoalan

  1. Kasih–sayang sesama ahli keluarga. Contohnya, Tuan Booth bertindak membawa semua ahli keluarganya berpindah semasa penjajahan Jepun kerana beliau menyayangi keluarganya.
  1. Ketabahan menghadapi kesukaran hidup semasa peperangan. Contohnya, penduduk kampung sentiasa tabah dan sabar ketika menghadapi kesusahan hidup semasa penjajahan Jepun dan keganasan komunis.
  1. Semangat patriotisme yang tinggi dalam diri seorang pejuang tanah air. Contohnya, Ahamad sentiasa berjuang untuk menyedarkan rakyat untuk mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah serta kekejaman komunis.
  1. Hubungan cinta yang sangat mendalam. Contohnya, Sandra amat mencintai Ahamad sehingga dia sanggup kembali semula ke banglo bapanya setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
  1. Kerjasama yang erat dalam kalangan masyarakat. Contohnya, penduduk kampung bersatu membentuk tiga kumpulan untuk mencari Ahamad yang hilang.
  1. Kekejaman dan kezaliman pihak penjajah terhadap masyarakat. Contohnya, pengganas menyerang banglo Tuan Booth dan membunuh lima penghuni di banglo itu.

Watak dan Perwatakan

Ahmad Mutawakkil:

  1. berusia 25 tahun ketika meninggal dunia kerana ditembak komunis.
  2. anak tunggal Wak Sadir dan menjadi yatim piatu apabila bapanya meninggal dunia.
  3. pintar – boleh membaca dan menulis bahasa Inggeris yang diajar Imam Ngah Deraman.
  4. patriotisme – berjuang menyedarkan rakyat untuk menentang komunis dan penjajah.
  5. bijak merancang masa depan – belajar membaca dan menulis bahasa Inggeris daripada Sandra ketika tinggal di rumah Tuan Booth selama 3 tahun.
  6. petah berpidato – selalu berpidato kepada penduduk kampung untuk menyedarkan mereka supaya menentang komunis dan penjajah.
  7. berani – berani bersuara menyatakan pendapatnya kepada rakyat supaya menentang komunis dan penjajah walaupun dinasihati oleh Tuan Booth supaya menghentikannya.
  8. Sanggup berkorban – sanggup berkorban nyawa untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air daripada penjajah serta menentang keganasan komunis.
  9. sangat berpengaruh – beliau dihormati dan dipilih sebagai pemimpin nombor dua partinya.
  10. menghargai jasa – beliau menghargai jasa Tuan Booth yang telah memeliharanya dengan menghadiri majlis yang dibuat oleh Tuan Booth di banglonya.

Tuan Booth:

  1. pengurus ladang dan majikan kepada beratus-ratus orang buruh di ladang getahnya.
  2. mesra – mudah tersenyum apabila bertemu dengan penduduk kampung.
  3. baik hati – menjemput pasangan pengantin di kampung itu datang ke banglonya untuk diraikan serta sanggup memelihara Ahmad di banglonya.
  4. peramah – suka bersembang dan bergaul dengan penduduk di surau pada waktu petang.
  5. penyayang – membawa keluarganya yang disayangi berpindah ketika Jepun menyerang.

Sandra:

  1. anak Tuan Booth yang fasih berbahasa Inggeris.
  2. baik hati – mengajarkan Ahamad menulis dan membaca Inggeris.
  3. penyayang – amat menyayangi Ahamad dan beliau menangis apabila Ahamad dilaoprkan hilang.
  4. setia – balik semula ke banglo bapanya selepas merdeka serta mengajar anak-anak kampung itu menulis dan membaca kerana terkenang cintanya kepada Ahamad.

Binaan Plot

1. Permulaan

  1. Ahmad Mutawakkil muncul di surau dalam keadaan cedera parah.
  2. Penulis mengimbas kembali sejarah pembukaan kampungnya dan kedatangan satu keluarga Inggeris membuka estet getah di kampung itu.
  3. Ahmad Mutawakkil, remaja yatim paitu bekerja dengan keluarga Inggeris itu.
  4. Apabila perang meletus, keluarga Tuan Booth meninggalkan kampung itu dan Ahmad Mutawakkil menjadi anak angkat Imam Ngah Deraman.

2. Perkembangan

  1. Perang tamat apabila Jepun menyerah kalah.
  2. Keluarga tuan Booth kembali ke kampung tersebut.
  3. Ahmad Mutawakkil pula semakin aktif dengan pergerakan menuntut kemerdekaan.
  4. Tuan Booth menjalin hubungan yang baik dengan penduduk kampung dan sering mengundang mereka ke majlis yang diadakan di banglonya.

3. Perumitan

  1. Pada waktu itu juga dikhabarkan bahawa komunis kian bermaharajalela di seluruh negara sehingga darurat terpaksa diisytiharkan.
  2. Pihak komunis tidak senang dengan Ahmad Mutawakkil yang lantang bersuara menentang mereka dan mengugut akan bertindak jika Ahmad Mutawakkil tidak berhenti.

4. Klimaks

  1. Penduduk kampung kecoh dengan kehilangan Ahmad Mutawakkil.
  2. Imam Ngah Ibrahim bimbang dengan keselamatan anak angkatnya itu.
  3. Gerakan mencari dilakukan, namun Ahmad Mutawakkil tidak dijumpai.
  4. Akhirnya, Ahmad Mutawakkil muncul di surau dalam keadaan cedera parah.
  5. Dia rebah lalu meninggal dunia di pangkuan Imam Ngah Ibrahim.

5. Peleraian

  1. Negara mencapai kemerdekaan.
  2. Keluarga Tuan Booth kembali ke England.
  3. Setahun selepas itu, Sandra kembali ke kampung itu lalu membuka kelas dan mengajar anak-anak kampung itu.

Teknik Plot

  1. Teknik dialog – Contohnya, dialog antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra. Ahmad Mutawakkil berasa terhutang budi atas kesudian Sandra mengajarnya menulis dan membaca.
  2. Teknik imbas kembali – Contohnya, penulis mengimbas kembali peristiwa kedatangan sebuah keluarga Orang Putih ke kampungnya.
  3. Teknik imbas muka – Contohnya, penulis membayangkan ketiadaan Sandra, anak gadis Tuan Booth pada malam penyampaian pidato oleh Ahmad Mutawakkil di kampungnya berkemungkinan disebabkan faktor kesihatan atau faktor merajuk.
  4. Teknik kejutan – contohnya, kemunculan Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah di pintu surau pada permulaan cerita menimbulkan kejutan kepada pembaca sedangkan dialah watak utama dalam cerpen ini.
  5. Teknik monolog dalaman – Contohnya, penulis melahirkan rasa kesyukuran dalam hatinya atas dua perkara walaupun ketika itu Jepun sedang menjajah negerinya.
  6. Teknik pemerian – contohnya, penulis memerihalkan keadaan Ahmad Mutawakkil sewaktu dia muncul secara tiba-tiba di pintu surau kampungnya.
  7. Teknik saspens – contohnya, peristiwa kemaraan askar Jepun yang menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941 telah menimbulkan tanda tanya kepada pembaca tentang nasib penduduk kampung penulis.

Latar

Latar Tempat

  1. Surau – tempat penduduk kampung menunaikan solat berjemaah.
  2. Banglo – tempat Tuan Booth sekeluarga tinggal. Juga tempat Ahmad Mutawakkil menumpang nasib.
  3. Estet Ephill dan Estet Sungai Siput – tiga serangan berkembar yang mengorbankan tiga orang pengurus Inggeris.
  4. England –  tempat asal keluarga Tuan Booth.

Latar Masa

  1. Zaman penjajahan – penjajahan Inggeris di Tanah Melayu.
  2. Zaman pendudukan Jepun – Jepun menakluki Tanah Melayu dengan melakukan pelbagai kezaliman.
  3. Zaman darurat – komunis bermaharajalela di seluruh negara sehingga diisytiharkan perintah darurat.
  4. Zaman selepas merdeka – Sandra kembali ke kampung itu selepas setahun negara ini merdeka.
  5. Malam – waktu yang sering menjadi tumpuan Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap membincangkan berita yang disampaikan oleh Ahmad Mutawakkil. Waktu Ahmad Mutawakkil menghembuskan nafas terakhir.
  6. Tengah hari – waktu Ahmad Mutawakkil tiba di kampung.

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat yan berbudi bahasa – Tuan Booth dan keluarganya amat mesra dan berbudi bahasa dengan penduduk kampung.
  2. Masyarakat petani – penduduk kampung menanam pisang, ubi kayu dan keledek.
  3. Masyarakat yang taat akan perintah agama – Imam Ngah Deraman, Penghulu Ibrahim Sigap dan jemaah kampung selalu menunaikan solat jemaah di surau kampung.
  4. Masyarakat yang kejam dan zalim – golongan ini diwakili oleh kumpulan komunis yang bertindak kejam terhadap sesiapa sahaja yang menentang perjuangan mereka.
  5. Masyarakat peneroka Inggeris – Tuan Booth datang ke kampung itu lalu membuka estet getah.
  6. Masyarakat yang bekerjasama – penduduk kampung dan Tuan Booth bekerjasama meredah belukar di seluruh pelosok kampung kerana mencari Ahmad Mutawakkil.
  7. Masyarakat yang cinta akan negara – Ahmad Mutawakkil sentiasa bersemangat dalam memperjuangkan rasa cinta akan negara melalui ceramah dan penulisannya.

Gaya Bahasa

  1. Inversi –  perlahan dan sangat rengsa bunyinya (bunyinya perlahan dan sangat rengsa)
  2. Personifikasi – diratah dan dirobek peluru , setiap mata kami yang hadir tetap liar menyelinap…
  3. Simile – laksana lampu ayan, darah membuak-buak bagai mata air
  4. Bahasa Arab – alhamdulillah
  5. Sinkope – ku, tak, mu
  6. Hiperbola – kami masih keras membatu, nyala semangat dalam bola matanya.
  7. Metafora – ambang maut, bahang kemerdekaan
  8. Peribahasa – orang berbudi kita berbahasa, macam kera mendapat bunga.

Nilai dan Pengajaran

Nilai

  1. kasih sayang – Tuan Booth membawa semua keluarganya keluar dari bunglonya seminggu sebelum Jepun menjajah.
  2. patriotisme – Ahamad berjuang meniupkan semangat mendapatkan kemerdekaan kepada penduduk kampungnya dan menentang kekejaman komunis.
  3. keberanian – Ahamad berani bersuara dengan lantang dalam pidatonya mengajak penduduk kampung memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah.
  4. ketabahan – Ahamad tabah berdepan dengan pelbagai cabaran dalam perjuangannya menuntuk kemerdekaan negara.
  5. 5. kebijaksanaan – Ahmad bijak mengambil peluang belajar dan menulis bahasa Inggeris daripada Sandra ketika tinggal di banglo Tuan Booth.
  6. tanggungjawab – Imam Ngah Deraman bertanggungjawab menjadikan Ahamad sebagai anak angkat setelah Ahamad menjadi yatim piatu.
  7. kerjasama – penduduk kampung dan tuan Booth membentuk 3 kumpulan untuk bekerjasama mencari Ahamad yang hilang ditangkap komunis.
  8. hormat-menghormati – Tuan Booth amat menghormati penduduk kampung dan selalu ke surau untuk berbual-bual dengan penduduk.
  9. mengenang jasa – Ahamad mengenang jasa tuan Booth yang pernah memeliharanya dengan menghadiri majlis yang dibuat oleh tuan Booth di banglonya.

Pengajaran

  1. kita hendaklah berani dalam melakukan sesuatu tindakan yang baik – Ahamad berani bersuara lantang mengajak penduduk supaya berjuang mendapatkan kemerdekaan.
  2. Kita mestilah mempunyai semangat patriotisme – Ahamad mengajak penduduk kampungnya supaya berusaha mendapatkan kemerdekaan tanah air daripada penjajah.
  3. kita mestilah bekerjasama dan saling membantu – penduduk kampung dan tuan Booth bekerjasama untuk mencari Ahamad yang hilang kerana ditangkap komunis.
  4. Kita mestilah mengenang budi – Ahamad mengenang budi tuan Booth yang pernah memeliharanya dengan menghadiri majlis tuan Booth di banglonya.
  5. Kita mestilah menyayangi keluarga kita – tuan Booth membawa keluarganya berpindah sebelun Jepun menjajah kampung itu.
  6. Kita mestilah mengambil peluang untuk membaiki diri – Ahamad mengambil peluang untuk belajar menulis dan bercakap Inggeris daripada Sandra ketika tinggal di banglo tuan Booth.

Dapatkan “Nota Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil” di sini


Di sini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.

Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’

Download : Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil

 

Penutup

Sekian. Semoga perkongsian ini iaitu Nota Cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil dapat memberikan sedikt sebanyak manfaat kepada anda khususnya kepada murid dan guru-guru sekolah menengah. Teruskan bersama kami di t.me/sistemguruonline bagi mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terkini dan terbaik dari semasa ke semasa. Terima kasih.