“Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” Tema Hari Kebangsaan 2019. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terkini, iaitu daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia telah menyatakan secara rasmi tema bagi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini (2019).
Tema dan Rasional Tema
Bagi menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama, kerajaan telah memutuskan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini sebagai “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”. Kerajaan berharap tema ini boleh memupuk dan menyalakan nilai integriti dan jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.
Logo dan Rasional Logo
Kerajaan juga telah memutuskan untuk mengekalkan logo rasmi sambutan tahun lepas sebagai logo rasmi sambutan pada tahun ini jua iaitu dengan tambahan tema baru kita ‘Sayangi Malaysiaku:Malaysia Bersih’.
Seperti yang kita maklum logo ini memaparkan simbol rakyat dalam pergerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati yang menyatukan mereka. Logo ini menggambarkan warganegara Malaysia berbilang bangsa dalam keharmonian rasa seia, sekata, sehati dan sejiwa, membarakan perasaan sayang kepada negara Malaysia. Penggunaan warna-warna Jalur Gemilang menggambarkan kepelbagaian dalam satu perasaan, ‘Sayangi Malaysiaku:Malaysia Bersih’.
Lagu Tema
Bagi lagu tema 2019, lagu Malaysia Bersih akan menjadi lagu utama sambutan kita pada tahun ini. Walau bagaimanapun lagu Kita Punya Malaysia (2018) akan turut dinyanyikan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan meyemai amalan budaya integriti dan menolak rasuah dalam kehidupan kita. Malaysia akan menjadi negara yang aman damai dan makmur sekiranya rakyat mengamalkan budaya integriti dan menolak rasuah.
Penutup
Sekian, semoga perkongsian informasi kali ini iaitu “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” Tema Hari Kebangsaan 2019 memberikan informasi kepada anda semua. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.