Guru Pakar Sains ini Kongsi 10 Tips Skor A dalam UPSR Sains. Seperti yang kita ketahui, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun ini bakal menjelang tiba. Seperti kebiasaan, guru-guru dan ibu bapalah yang bertungkus lumus menyediakan anak-anak murid untuk mempunyai persediaan yang cukup bagi menduduki salah satu pentaksiran daripada PPSR ini.
Tidak ketinggalan juga, guru pakar Sains iaitu Cikgu Halin Othman ini berkongsi tips bagi murid-murid mendapat Skor A dalam salah satu mata pelajaran yang penting bukan sahaja dalam UPSR, tetapi dalam dunia pendidikan, iaitu mata pelajaran Sains. Sehubungan dengan itu, berikut merupakan 10 tips yang beliau kongsikan:
1. KUASAI FAKTA
- Calon UPSR mesti menguasai fakta (pengelasan, definisi, prinsip Sains dan contoh yang relevan) berdasarkan buku teks KPM.
- Murid perlu mempunyai daya hafal yang tinggi untuk fakta atau memahami setiap kandungan pelajaran sukatan Tahun Tiga hingga Tahun Enam KSSR.
2. FAHAM ARAHAN & KATA KUNCI
- Faham arahan dan kata kunci soalan (keyword) pada setiap soalan yang diberikan.
- Tuliskan topik yang berkaitan pada mana-mana ruang kosong pada soalan. Selalunya jawapan soalan adalah berdasarkan topik yang diketengahkan dalam stimulus (rangsangan) mahupun stem (kata kunci) soalan.
3. MENJAWAB DENGAN TEKNIK YANG BETUL
- Fokus menjawab soalan kertas 1; tangan kanan memegang pensel dan tangan kiri memegang pembaris bertujuan untuk menggariskan kata kunci soalan.
- Gunakan teknik yang efektif pada soalan kertas 1. Singkirkan jawapan yang salah sebelum mengesahkan jawapan yang tepat.
4. BIJAK MENGENAL PASTI
- Soalan berkaitan topik haiwan dan tumbuhan memerlukan murid mengenal pasti dan memahami jenis haiwan dan tumbuhan yang didedahkan di dalam buku teks.
- Mengamati setiap spesies haiwan dan tumbuhan dengan melihat ciri-ciri dan pengelasan yang nyata. Topik ini merupakan topik yang sukar bagi taburan murid-murid di kawasan bandar.
5. KUASAI 12 KEMAHIRAN
- Mantap dalam 12 Kemahiran Proses Sains (KPS) yang menyumbang 60% soalan kertas 2. Manakala 40% soalan kertas 2 menekankan aspek fakta.
- Mahirkan dalam membuat inferens dan pemerhatian yang memerlukan bandingan.
- Latih diri membina carta palang, melakar dan membina jadual dalam kemahiran berkomunikasi.
6. SELESAIKAN SATU-SATU
- Soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bermula dengan pernyataan satu masalah yang perlu diselesaikan.
- Situasi itu perlu menggunakan pengetahuan dan kefahaman yang telah dipelajari lalu dikaitkan dengan masalah yang diberi.
7. BERI JAWAPAN KHUSUS
- Mantapkan diri dengan pengetahuan-pengetahuan asas atau tip mendapat markah daripada guru yang berpengalaman.
- Elakkan memberikan jawapan secara umum. Fahami kata kunci soalan terutama untuk kertas 2 seperti cara, fungsi, kegunaan, kebaikan dan lain-lain.
8. GUNAKAN BUKU TEKS
- Ambil berat penyiasatan-penyiasatan yang terkandung dalam buku teks kerana Sains adalah sesuatu yang dalam dibentuk secara inkuiri.
- Ambillah peluang belajar dalam kumpulan untuk mengingat semula penyiasatan-penyiasatan tersebut atau dapatkan bimbingan tambahan daripada guru.
9. JAWAB SOALAN SEBENAR
- Cubalah menjawab soalan-soalan sebenar 2016, 2017 dan 2018 bagi membiasakan diri dengan soalan format terkini.
- Jika masih mempunyai waktu yang mencukupi cuba juga soalan-soalan percubaan negeri-negeri.
10. CARI NOTA MESRA BACA
- Minggu peperiksaan, elakkan membaca buku rujukan yang tebal-tebal.
- Terus fokus kepada nota ringkas daripada buku teks yang dibuat sendiri. Jaga kesihatan dan dapatkan rehat dan tidur yang cukup.
Sumber: Guru Pakar Sains, Cikgu Halin Othman
Penutup
Jutaan terima kasih kepada Cikgu Halin Othman kerana sudi memberikan tips-tips ini. Sekian. Semoga perkongsian pada kali ini iaitu Guru Pakar Sains ini Kongsi 10 Tips Skor A dalam UPSR Sains sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat khususnya kepada guru-guru, ibu bapa dan calon UPSR. Semoga kejayaan dan kecemerlangan anak-anak didik milik mereka. Aamiin. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline bagi mendapatkan informasi dan bahanp-bahan pendidikan yang terkini dan terbaik dari semasa ke semasa. Terima kasih.