Beza antara pengacara majlis dengan pengerusi majlis yang ramai tidak tahu

 

Beza antara pengacara majlis dengan pengerusi majlis yang ramai tidak tahu. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kebelakangan ini, istilah pengacara majlis sering disamakan dengan pengerusi majlis. Adakah anda tahu bahawa terdapat perbezaan antara dua istilah ini.

Pengacara majlis boleh didefinisikan sebagai seseorang yang ditugaskan secara rasmi bagi mengendalikan satu-satu majlis mengikut atur cara yang telah ditetapkan dan merujuk kepada skrip yang telah diluluskan serta berpandukan arahan pegawai protokol.

Tugas pengacara majlis bukannya mudah sebaliknya memerlukan seorang yang komited dan berpengetahuan luas. Ini memandangkan pengacara majlis adalah nadi penggerak utama untuk sesebuah majlis apatah lagi jika melibatkan majlis rasmi.

Tugasnya akan menjadi lebih berat sekiranya terdapat kehadiran tetamu kenamaan yang bertaraf menteri. Mahu tidak mahu seseorang individu yang dilantik sebagai pengacara majlis harus membuat kerja rumah bagi memastikan majlis berjalan lancar.

Melakukan latihan sebelum acara sebenar bermula juga satu keperluan. Seorang pengacara yang baik juga haruslah berkebolehan serta mahir dalam berkomunikasi dengan yakin dan mestilah peka dengan keadaan sekeliling semasa majlis berjalan.

Akhir sekali, seseorang pengacara hendaklah aktif, tidak kaku dan tidak berbicara dengan aksi-aksi yang keterlaluan. Kemahiran bahasa juga diperlukan kerana seseorang pengacara majlis yang baik perlu tahu menyusun pengucapan bertatasusila mengikut prosedur dan etika sosial.

Beza antara Pengacara Majlis dengan Pengerusi Majlis

Perkongsian ini adalah daripada Facebook Page Akademi & latihan Pengacara Malaysia iaitu seperti berikut:

Kita selalu terlihat kebanyakan majlis terjadi perkara ini, kesilapan sebutan yang berlaku daripada tetamu mahupun pengacara sendiri.

apa bezanya?
Pengerusi majlis – menerima majlis daripada pengacara majlis, mempengerusikan sesuatu majlis seperti pertandingan pantun, forum, dll., boleh membuat komen, ulasan, jenaka dll., danselepas tamat majlis berkenaan serahkan semula majlis kepada pengacara majlis

Manakala, pengacara majlis pula boleh satu (1) orang atau lebih dua (2) orang dan kedudukan pengacara majlis haruslah berada di hadapan orang ramai sama ada di rostrum atau sudut hadapan yang boleh dilihat orang ramai (penonton).

Pengacara terikat dengan etika & SOP pengacara dan harus berpandukan aturcara mengikut skrip majlis yang diberikan serta menjaga masa yang ditetapkan.

Pemakaian pengacara juga haruslah mengikut tema atau dress code yang ditetapkan majlis, tidak boleh keterlaluan atau kurang sopan (yang pentingnya pengacara majlis jangan sesekali mengacarakan majlis dalam keadaan duduk)

Penutup

Sekian, semoga perkongsian informasi kali ini iaitu Beza antara pengacara majlis dengan pengerusi majlis yang ramai tidak tahu memberikan manfaat kepada anda semua khususnya kepada guru-guru. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.