KUCHING: Pengajaran subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris (BI) di Sarawak yang akan dilaksanakan Januari tahun hadapan hanya melibatkan murid Tahun Satu.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Micheal Manyin Jawong berkata program berkenaan akan dilaksanakan di 1,046 sekolah rendah di seluruh negeri ini.
Beliau berkata pengajaran kedua-dua subjek dalam BI atau Program Dwibahasa (DLP) itu hanya satu program, bukan dasar pendidikan seperti yang pernah diperkenalkan sebelum ini.
Menurutnya sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan dasar dikenali Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 namun dimansuhkan pada 2012.
“Ini adalah idea Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) pada 24 April lalu menawarkan kepada Sarawak agar mendahului usaha pengajar Sains dan Matematik dalam BI.
“Ketua Menteri bersetuju menerima tawaran dan cabaran itu dan kita tidak akan membuat pusingan ‘U’. Kita akan melaksanakannya tahun hadapan bermula dengan Darjah Satu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Bangunan  Baitukmakmur di sini, hari ini.
Manyin berkata ketika ini terdapat 1,265 sekolah rendah di seluruh Sarawak dan program berkenaan tidak akan dilaksanakan di 219 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kerana sekolah-sekolah berkenaan sudahpun menggunakan sistem sekolah dua aliran iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.
Beliau turut memberitahu pada tahun hadapan seramai 2,657 guru akan dilatih dan daripada jumlah tersebut 1,005 mengajar Sains, 1,275 Matematik dan 377 lagi mengajar kedua-dua subjek berkenaan menggunakan BI.
“Maknanya dari Tahun 1 hingga Tahun 6, atau dalam tempoh enam tahun kita perlu melatih 7,508 guru dalam tempoh enam tahun iaitu 2,823 mengajar Sains), 3,978 guru Matematik dan mengajar kedua-dua subjek seramai 707.
“Jumlah ini mungkin kurang kerana ada antara guru-guru ini sudah dilatih,” ujarnya.
Beliau menambah, apabila program ini dilaksanakan, tempoh pengajaran BI, Sains dan Matematik seminggu ialah tujuh jam 30 minit iaitu tiga jam masing-masing untuk BI dan Matematik dan satu jam 30 minit bagi subjek Sains.
Menjelas lanjut Manyin berkata program pengajaran kedua-dua subjek berkenaan dalam BI sama seperti modul DLP diperkenalkan sebelum ini tetapi diubah suai mengikut kesesuaian dan keperluan Sarawak.
Pelaksanaan DLP sebelum ini ujarnya menetapkan banyak syarat antaranya sekolah mesti mengekalkan dan menjamin pencapaian Bahasa Melayu (BM), mendapat persetujuan guru dan mendapat persetujuan ibu bapa.
“Ini adalah DLP sebelum ini yang diubahsuai, maknanya DLP Sarawak. Kita tidak perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan, ia akan dilaksanakan di 1,046 sekolah rendah di seluruh Sarawak asalkan mendapat persetujuan ibu bapa.
“Jika ibu bapa tidak bersetuju, maka program ini tidak boleh dilaksanakan di sekolah terbabit. Kita perlu mendapat persetujuan ibu bapa,” jelasnya.
Bagaimanapun beliau percaya rata-rata ibu bapa di negeri ini akan mengalu-alukan pelaksanaan program ini kerana idea tersebut bertujuan memastikan setiap pelajar dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan di peringkat global pada masa akan datang.
Menurutnya lagi, pelajar yang tidak dapat menguasai BI dengan baik akan berdepan masalah apabila mereka melanjutkan pengajian di peringkat universiti memandangkan 90 peratus daripada buku rujukan adalah dalam BI.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datu William Patrick Nyigor, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi  Dr Abdul Rahman Deen, Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Azhar Ahmad, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Omar Mahli dan Ketua Sektor Akademik JPNS, Dr Les Met.
oleh : Patricia Gari
Sumber : www.utusanborneo.com.my
Anda Setuju Atau Tidak Jika Pengajaran Sains dan Matematik di Laksanakan Kembali dalam Bahasa Inggeris?
Cuba kongsikan pandangan anda dengan kami di bahagian komen. Boleh?
Nota Penting
- Ini bukan dasar “Pusingan U-Turn” oleh pihak kerajaan mengenai pelaksaan pengajaran Pdpc dalam bahasa inggeris untuk subjek Matematik dan Sains.
- Pelaksanaan DLP (Pdpc dalam dwi-bahasa) bukan seperti PPSMI (dasar sebelum ini).
- DLP ini bertujuan membantu para murid bersedia menghadapi pendidikan pada masa hadapan dimana rujukan pembelajaran sangat banyak didapati dalam bahasa inggeris.
- PPSMI dilaksanakan di semua sekolah manakala DLP ini ibubapa boleh menyuarakan pendirian dan pendapat mereka sama ada mereka setuju atau tidak untuk dilaksanakan di sekolah anak-anak mereka di seluruh negeri Sarawak.