Panduan Kerja Projek KSSM Asas Sains Komputer Tingkatan 3

Presentation1 1

Panduan Kerja Projek KSSM Asas Sains Komputer Tingkatan 3. Assalamualaikum dan selamat sejahtera warga SGO sekalian. Pada kali ini, perkongsian diteruskan lagi berkaitan panduan pelaksanaan tugasan projek yang telah disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) KPM.

Pengenalan

Kerja projek ditakrifkan sebagai tugasan, pembinaan atau siasatan secara teratur dan menjurus kepada matlamat yang spesifik. Aktiviti kerja projek dilaksanakan selepas murid menguasai kemahiran yang telah dipelajari.

Kerja Projek Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Asas Sains Komputer (ASK) Tingkatan 3 merupakan salah satu komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang wajib dilaksanakan oleh murid secara individu semasa di Tingkatan 3. Guru melapor perkembangan penguasaan murid selepas melaksanakan projek dengan menggunakan Templat Pelaporan PBD, Borang Pentaksiran Individu atau Muka Hadapan Kerja Projek dan Borang Pentaksiran Keseluruhan yang disediakan dan skor murid dihantar kepada Lembaga Peperiksaan (LP) yang mewakili 30% wajaran daripada markah keseluruhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Asas Sains Komputer.

Objektif

  1. Mendapat pengalaman bermanfaat semasa menjalankan KPKAT3 dengan mengaitkannya dengan dunia sebenar.
  2. Membudayakan pembelajaran berasaskan inkuiri untuk memahami sesuatu konsep bagi menyelesaikan masalah yang berkesan dengan mengkaji masalah daripada pelbagai sudut melalui teknik penyoalan, siasatan, perancangan dan ramalan, analisa dapatan, merekod dapatan serta membuat rumusan.
  3. Menyusun, menganalisis dan mempersembahkan data atau idea secara logik dan sistematik.
  4. Mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan membudayakan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah.
  5. Menyelesaikan masalah dengan keupayaan sendiri secara mengenal pasti masalah dan menilai kesesuaian kaedah penyelesaian masalah yang digunakan.
  6. Mengesan dan membetulkan kesalahan algoritma dalam penyelesaian masalah yang dirancang berpandukan pemikiran logik.
  7. Menggunakan algoritma dan menghasilkan atur cara berdasarkan pemikiran komputasional seperti yang dirancang.
  8. Mereka bentuk sistem untuk menyelesaikan masalah dengan cara memahami tingkah laku manusia.
  9. Menggunakan pemikiran komputasional untuk menyelesaikan masalah kompleks berteraskan komputer.
  10. Menghasilkan dokumentasi dan produk atur cara dalam bentuk pelbagai media digital secara kreatif dan inovatif.
  11. Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengkomputeran secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.

Pelaksanaan Kerja Projek

Kerja projek ini hendaklah berasaskan kepada gabungan semua bidang pembelajaran yang telah dipelajari dan diintegrasikan sekurang-kurangnya dengan satu mata pelajaran lain.

Guru perlu membimbing dan memantau perkembangan kerja projek murid.
Kerja Projek murid merangkumi:

  1. Dokumentasi
  2. Produk atur cara dalam bentuk pelbagai media digital
  3. Pembentangan

Kerja projek murid hendaklah dilaksanakan secara individu. Pentaksiran kerja projek murid ditaksir berdasarkan Rubrik Pentaksiran Kerja Projek KSSM ASK dalam Jadual 1 seperti yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM ASK Tingkatan 3 bagi membolehkan elemen pengetahuan, kemahiran dan nilai ditaksir secara konsisten, teratur dan terarah.

Sehubungan dengan itu, anda boleh memuat turun dokumen ini pada pautan yang telah disediakan di bawah.

Dapatkan “Panduan Kerja Projek KSSM Asas Sains Komputer Tingkatan 3” di sini


Di sini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.

Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’

Download : PANDUAN KERJA PROJEK KSSM ASK Vcetak

SUMBER: Bahagian Pembangunan Kurikulum (15 April 2019)

 

Pentaksiran Kerja Lapangan

KPKAT3 ditaksir secara individu. Guru mata pelajaran ASK (Pentaksir 1) perlu menilai proses kerja murid dan menyemak pelaporan serta pembentangan KPKAT3 secara berterusan berdasarkan Rubrik Umum Kerja Projek yang disediakan (Lampiran 6), dimana guru perlu:

  1. Menentukan TP bagi setiap Dimensi semasa menilai dan mentaksir KPKAT3 murid berpandukan Rubrik Umum Kerja Projek yang diberi.
  2. Merekodkan TP bagi setiap Dimensi dalam Borang Pentaksiran Individu setelah selesai KPKAT3.
  3. Menentukan skor yang sepadan dengan TP yang telah ditentukan bagi setiap dimensi seperti Jadual 2 pada halaman 10 dan direkodkan dalam Borang Pentaksiran Individu.
  4. Bagi menentukan TP Keseluruhan, guru perlu menjumlahkan semua skor daripada 6 Dimensi yang telah ditaksir. Seterusnya guru perlu merujuk jadual 3 pada halaman 11 untuk menentukan TP Keseluruhan murid yang setara dengan jumlah skor keseluruhan murid.
  5. Guru perlu merekodkan TP keseluruhan dan skor keseluruhan murid dalam Borang Pentaksiran Keseluruhan Kerja Projek yang disediakan mengikut kelas yang diajar oleh guru.
  6. Menyerahkan salinan Borang Pentaksiran Keseluruhan Kerja Projek yang telah lengkap kepada GKMP (Ketua Pentaksir) untuk penjaminan kualiti atau moderasi dan untuk tindakan selanjutnya.

Ringkasan tentang proses kerja pelaksanaan KPKAT3 ditunjukkan dalam (Lampiran 14) dan cadangan Jawatankuasa Pelaksana KPKAT3 di bawah Jawatankuasa Kurikulum Sekolah ditunjukkan dalam (Lampiran 15) serta ringkasan Proses Pentaksiran Kerja Projek KPKAT3 pula ditunjukkan dalam (Lampiran 16) untuk membantu meningkatkan pemahaman semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan KPKAT3 semasa menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Penutup

Semoga perkongsian ini iaitu Panduan Kerja Projek KSSM Asas Sains Komputer Tingkatan 3 sedikit sebanyak dapat memberikan informasi kepada anda semua khususnya kepada guru, ibu bapa dan calon yang akan menduduki PT3 2019. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.