9 Perkara yang Perlu Anda Ketahui Berkaitan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) vs Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

 

9 Perkara yang Perlu Anda Ketahui Berkaitan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) vs Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Perkongsian ini adalah penting khususnya kepada warga pendidik dan ibu bapa untuk memahami Pentaksiran Bilik Darjah ini. 9 perkata yang dimaksudkan ini adalah seperti berikut:

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)?

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD lebih bersifat formatif iaitu mengutamakan kemajuan setiap murid dan membantu guru membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa serta merancang pengubahsuaian kaedah pengajarannya.

2. Bila PBD bermula?

PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) bermula pada tahun 2011. Pada tahun 2016 PS mula dikenali sebagai PBD.

3. Apakah Perbezaan antara PBD dengan PBS?

PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan murid, tetapi bertujuan untuk membantu dalam perkembangan pembelajaran murid di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.

4. Apakah mata pelajaran yang terlibat dengan PBD?

  1. Semua mata pelajaran KSSR (Semakan 2017) Tahun 1 hingga Tahun 6.
  2. Semua mata pelajaran KSSM Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Namun begitu, pelaporan PBD di peringkat menengah hanya dilakukan mulai Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3

5. Mengapa PBD penting?

  1. PBD dapat membantu guru dalam:
  2. Menggalakkan pemikiran ingin tahu (inquisitive), kritis dan kreatif
  3. Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
  4. Menerapkan nilai ketuhanan, nilai murni, estetika dan patriotisme
  5. Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
  6. Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran
  7. Mengetahui keberkesanan pengajarannya
  8. Mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta

6. Bagaimana PBD dilaksanakan?

PBD dilaksanakan secara berterusan semasa proses PdP sepanjang tahun. PBD dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti pemerhatian, penulisan, lisan, kerja projek, kuiz, pembentangan dan lain-lain aktiviti pembelajaran, berdasarkan Standard Prestasi dan pertimbangan profesional guru.

7. Bagaimana PBD dilaporkan?

Tahap penguasaan murid dalam PBD direkod dalam templat yang telah disediakan dan dilaporkan kepada Jawatankuasa Jaminan Kualiti PBD di peringkat sekolah, kepada murid dan ibu bapa.

8. Siapakah Jawatankuasa Jaminan Kualiti PBD?

Jawatankuasa ini dibentuk oleh pihak sekolah, yang di anggotai:
• Pengetua/Guru Besar
• Penolong Kanan Pentadbiran
• Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
• Penolong Kanan Ko Kurikulum
• Penolong Kanan Petang
• Penolong Kanan Pendidikan Khas
• Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Bidang
• Ketua Panitia
• Guru Cemerlang
• Jurulatih Utama
• Mana-mana guru yang dilantik oleh Pengetua/ Guru Besar/JK PBS

9. Berapa kerap PBD perlu dilaporkan?

Sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

Penutup

Sekian, semoga perkongsian pada kali ini iaitu 9 Perkara yang Perlu Anda Ketahui Berkaitan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) vs Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) memberikan informasi terkini kepada anda semua dan semoga segala urusan kita dalam dunia pendidikan ini sentiasa dipermudahan. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.