5 Inisiatif Jangka Pendek KPM Kurangkan Beban Guru Mulai 2019

 

5 Inisiatif Jangka Pendek KPM Kurangkan Beban Guru Mulai 2019. Ini adalah berdasarkan Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 yang disampaikan sendiri oleh YB Dr. Maszlee Malik baru-baru ini iaitu pada 14 Januari yang lalu.

Umum sedia maklum, salah satu fokus utama Menteri Pendidikan adalah untuk memastikan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan. Mendidik anak-anak harus dijalankan dengan penuh kasih sayang supaya dapat menanamkan perasaan cinta pada ilmu pengetahuan. Pekerjaan yang mulia dan bermakna ini seharusnya tidak menjadi sebuah pekerjaan yang menyakitkan dan membebankan.

Oleh hal yang demikian, kementerian sedang berusaha keras untuk mengembalikan tugas hakiki para guru iaitu mendidik dan mengajar. Atas dasar itulah pihak KPM telah berjaya mengenal pasti punca tugas-tugas perkeranian yang mengganggu tugas utama guru, yang tidak lagi relevan malah perlu dimansuhkan. Hal ini dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan dari akar umbi; iaitu para guru yang mengajar di sekolah.

Untuk memastikan tujuan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, KPM mempunyai perancangan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang. Untuk perancangan jangka masa pendek, mulai Januari 2019, sembilan (9) intervensi telah digariskan untuk dilaksanakan oleh pihak Kementerian, JPN, PPD dan sekolah untuk mengurangkan beban tugas guru. Sembilan (9) intervensi tersebut telah dipecahkan kepada lima (5) inisiatif iaitu:

Inisiatif pertama: memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi

Sebanyak tiga (3) intervensi akan dilaksanakan iaitu memudahkan pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Inisiatif kedua: pengurusan data dan sistem online

Sebanyak dua (2) intervensi akan dilaksanakan iaitu segala pengumpulan data hendaklah diambil dari sumber data sedia ada di dalam sistem KPM. Di samping itu, Sistem Kehadiran Murid dalam talian digunakan sepenuhnya bagi merekod kehadiran murid berkuat kuasa mulai 14 Januari 2019.  Dalam hal ini, guru tidak lagi perlu mengisi buku Jadual Kedatangan Murid.

Inisiatif ketiga:Sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid di sekolah

Sesuai dengan pemansuhan Peperiksaan Tahap 1, sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid di sekolah.

Inisiatif keempat: penyeragaman borang dan proses pemantauan

Sebanyak dua (2) intervensi akan dilaksanakan untuk memastikan guru tidak lagi terbeban untuk mengisi borang kebersihan, keselamatan & penarafan kantin.

Inisiatif kelima: penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah

Intervensi yang akan dilaksanakan akan memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

Lima inisiatif ini merupakan langkah pertama untuk meningkatkan kualiti pengajaran, manakala langkah kedua pula melibatkan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru-guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran yang terbaik.

Penutup

Sekian, semoga perkongsian pada kali ini iaitu 5 Inisiatif Jangka Pendek KPM Kurangkan Beban Guru Mulai 2019 memberikan informasi terkini kepada anda semua  dan semoga segala urusan kita dalam dunia pendidikan ini sentiasa dipermudahan. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.