4 Perkara Penting Berkaitan Pentaksiran Tahap 1 Mulai 2019

Download Pelbagai Bahan untuk Guru di Sini

"SGO Web Pendidikan No.1 di Malaysia Rujukan Guru, Murid dan Ibu Bapa"

whatsapp sistem guru online sgoDapatkan Update SGO Melalui Whatsapp

4 Perkara Penting Berkaitan Pentaksiran Tahap 1 Mulai 2019. Ibu bapa mungkin boleh menarik nafas lega selepas ini kerana mulai 2019, murid Tahun 1, 2 dan 3 tidak perlu lagi menduduki peperiksaan pertengahan dan akhir tahun. Sesi pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan sejak kecil boleh menyebabkan anak-anak stress dan tidak menikmati alam persekolahan yang sewajarnya.

Buat ibu bapa yang tertanya-tanya, di sebalik pemansuhan peperiksaan ini, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) akan diperkukuhkan kepada murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) di semua sekolah rendah dengan tumpuan kepada kaedah pembelajaran secara didik hibur dan berteraskan pelajar, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin.

Sehubungan dengan itu, terdapat empat perkara penting yang perlu anda ketahui berkaitan Pentaksiran Tahap 1 ini iaitu seperti berikut:

1. Kukuhkan Kemahiran Asas 4M

Beliau berkata PBD yang diperkenalkan sejak 2011, juga akan membina dan memperkukuhkan kemahiran asas 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul selain membina karektor serta sahsiah murid.

Katanya, murid yang dinilai secara berterusan dalam pelbagai bentuk pentaksiran yang merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) iaitu dari aspek penilaian merangkumi pengetahuan, kemahiran dan nilai.

“Ini bermakna mulai tahun depan tiada lagi peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun, akan bertumpu kepada perkembangan pembelajaran murid dan tidak lagi penekanan kepada peperiksaan.

“Ini membolehkan ibu bapa mengetahui kekuatan dan kelemahan anak-anak seterusnya menentukan bentuk sokongan yang boleh diberikan,” katanya kepada pemberita dalam taklimat media berhubung PBD di sini pada Rabu.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin.

2. Guna Sistem Pentaksiran

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan peperiksaan bagi murid Tahap 1 yang melibatkan pelajar Tahun Satu, Dua dan Tiga akan dimansuhkan dan digantikan dengan sistem pentaksiran yang lebih objektif bermula tahun ini (2019).

Mengulas lanjut, Amin berkata pentaksiran ini akan menggantikan peperiksaan formal untuk mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna guru boleh memberi lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati dan memantapkan pembangunan sahsiah murid secara individu.

Beliau berkata ia terpulang kepada kreativiti seseorang guru untuk menggunakan pelbagai kaedah dalam menilai muridnya menerusi aktiviti-aktiviti seperti kuiz, permainan, main peranan, bercerita dan projek mudah.

3. Fokus Perkembangan Murid

Bagaimanapun, katanya, guru-guru tersebut tetap tertakluk dengan pelaporan asas iaitu Pelaporan Perkembangan Pelajaran Murid yang memantau perkembangan murid berdasarkan skala-skala tertentu.

Ibu bapa tidak perlu risau dengan penilaian berbentuk formatif kerana penaksiran seumpama itu telah lama dilaksanakan.

“Menerusi pentaksiran baharu ini, guru akan memberi fokus secara individu kepada perkembangan murid,” katanya, sambil menambah pihaknya maklum tentang kerisauan ibu bapa berhubung pelaksanaan PBD.

Di samping itu, Amin berkata, tiada keperluan pengasingan kelas untuk Tahap 1 secara kekal atau berterusan tetapi boleh dilaksanakan jika ia bersifat sementara dengan tujuan khusus untuk proses pemulihan murid.

“Pihak sekolah diberi autonomi untuk melaksanakan PdP serta PBD menerusi autonomi profesional dengan bimbingan jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah (PPD). Murid-murid hanya boleh diasingkan untuk jangka masa tertentu sahaja,” katanya.

4. Pembangunan Karakter Pelajar

Ditanya sama ada murid akan mengalami kesusahan apabila memasuki tahun empat, lima atau enam, beliau berkata ia tidak menimbulkan apa-apa masalah kerana pentaksiran bukan perkara baru dan sejak diperkenalkan sentiasa memberikan penekanan kepada pembangunan karakter pelajar.

“Sama ada perlu diberi kerja rumah atau tidak, ia terpulang kepada guru masing-masing. Namun, seperti dikatakan, guru-guru ada garis panduan untuk melaporkan perkembangan dan pentaksiran setiap pelajar,” katanya.

Mengenai tempoh peralihan bagi pelajar yang bakal memasuki Tahun Dua dan Tiga mulai 2019, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan guru besar sekolah untuk membangunkan potensi murid-murid secara individu tanpa sebarang gangguan dalam proses pengajaran.

Semoga pelaksanaan pembelajaran seperti ini mencapai tujuan yang diharapkan dalam sistem pendidikan negara. Semoga anak-anak kecil kita tidak lagi dibebankan dengan sistem peperiksaan semata-mata, sebaliknya penekanan pembentukan aspek sahsiah dan menikmati alam persekolahan mereka yang seharusnya.

SUMBER: Astro Awani dan Mingguan Wanita

Penutup

Sekian, semoga perkongsian pada kali ini iaitu 4 Perkara Penting Berkaitan Pentaksiran Tahap 1 Mulai 2019 memberikan informasi terkini kepada anda semua dan semoga segala urusan kita dalam dunia pendidikan ini sentiasa dipermudahan. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.