Cuti Sekolah Secara Berperingkat Antara Negeri? Rasanya perkara ini perlu diteliti dengan secara menyeluruh dan tidak melihat kepada keuntungan sebelah pihak semata-mata. Bagi admin, ada perkara yang perlu KPM tahu bahawa di Malaysia ini sangat ramai guru yang berDUKA LARA.
Ya, suami mengajar di Sarawak, isteri mengajar di Kelantan. Suami mengajar di Pulau Pinang, isteri pula di Sabah. Macam-macam lagi rasanya cabaran yang guru perlu hadapi. Dan, semasa cuti inilah para guru dapat berjumpa pasangan, anak-anak, ibubapa dan ahli keluarga. Cuba bayang bagaimana mereka nak habiskan masa bersama-sama jika cuti tidak sama? Tolong jangan ingat cikgu kaya ya sampai mampu nak beli tiket kapal terbang yang semakin mahal. Bukan sahaja tiket kapal terbang, tambang kenderaan lain juga sama. Contohnya jika di pedalaman, ada cikgu perlu menaiki bot, 4×4, dan sebagainya. Semua itu kos.
Jadi, hanya cuti panjang sahaja seperti cuti-cuti pertengahan penggal atau penggal sahaja untuk kami yang berduka lara ini balik berjumpa keluarga. Kalau betul nak laksanakan, pada pendapat saya, selesaikan secepat mungkin isu pertukaran egtukar guru berjauhan suami isteri. Itu pendapat peribadi sahaja dan tidak mewakili suara guru semua. Jadi, para guru sekalian apa pula pandangan anda?
Cuti Sekolah disyor Secara Berperingkat antara Negeri
GEORGETOWN – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan mencadangkan supaya cuti sekolah dibuat secara berperingkat bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.
Timbalan Menterinya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya sedang merangka cadangan itu yang akan dikemukakan kepada kepada Kementerian Pendidikan, yang dicadang melibatkan cuti sekolah yang biasa diberikan pada bulan Mac, Jun dan September sahaja.
“Kami sedang mengumpul data dari pihak hotel dan pengusaha sektor pelancongan sebelum berbincang dengan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Arkeologi Negara keempat di sini hari ini.
Katanya cadangan itu tidak akan melibatkan cuti sekolah di hujung tahun memandangkan tempoh cuti yang panjang itu seragam buat semua negeri.
“Dengan cuti sekolah secara berperingkat, kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa, dan bukannya seperti keadaan sekarang apabila keadaan menjadi terlalu sesak menjelang tiba cuti sekolah,” tambahnya.
Bakhtiar berkata cadangannya adalah supaya cuti sekolah bagi tiga penggal pertama persekolahan dibuat secara berperingkat mengikut negeri dalam usaha dalam mengurangkan kesesakan kehadiran pelancong tempatan pada satu tempoh tertentu sahaja.
“Mungkin kita boleh bahagikan negeri di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri ini berbeza antara satu sama lain,” katanya.
Menurutnya langkah itu tidak akan melibatkan banyak masalah kerana ketika ini juga ada beberapa negeri seperti Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu melaksanakan cuti hujung minggu yang berbeza dengan negeri lain iaitu Jumaat dan Sabtu.
“Semasa cuti sekolah, kebanyakan tempat tumpuan pelancong sesak. Contohnya jika kita lihat Melaka dan Cameron Highlands semasa cuti sekolah, tempat ini amat sesak,” katanya.
Katanya beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat dan Australia juga sudah menggunapakai pendekatan ini bagi mengelak kesesakan pelancong.- Bernama
Point Utama Yang Anda Perlu Faham
- Cadangan Oleh : Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
- Cuti Terlibat : Cuti bulan Mac, Jun, September sahaja.
- Cadangan Lain :
– Bahagikan negeri di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri ini berbeza antara satu sama lain. - Sebab atau Kebaikan : Dapat mengurangkan kesesakan di tempat tumpuan pelancong. ( Contoh di Cameron Highlands dan Melaka)
Apa Pandangan Anda Sebagai Guru?
Banyak benda yang perlu kita perhalusi. Biasanya masa cuti sekolah adalah masa untuk ahli keluarga kita berjumpa, ada yang ambil kesempatan masa itu untuk berkahwin dan sudah pasti kedatangan ahli keluarga kemajlis-majlis seperti ini sangat penting. Jika cuti sekolah di buat asing, bagaimana pula nanti jadinya?
Sampaikan hasrat dan pandangan anda pada bahagian komen. Kami tunggu.