Tahniah! 5,000 Guru Kafa di Serap ke Jawatan Tetap

Tahniah! 5,000 Guru Kafa di Serap ke Jawatan Tetap

Tahniah kepada Guru KAFA yang di Serap ke Jawatan Tetap! Memang rezeki tidak salah alamat itulah yang dapat kita katakan selepas pengumuman dari Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan perkembangan terbaru mengenai para guru KAFA di negara kita ini.

Kami dari pihak Sistem Guru Online mengucapkan tahniah kepada semua guru yang terlibat. Kepada para guru yang hanya mempunyai SPM atau STAM, jangan bimbang kerana anda tetap mendapat kelebihan cuma perlu lalui 2 tahun tempoh belajar sambil bekerja sebelum layak dilantik secara tetap ke jawatan ini.

Jadi sekali lagi tahniah!

5,000 Guru KAFA Ada Diploma & Ijazah di Serap ke Jawatan Tetap

PUTRAJAYA – Sejumlah 5,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang memiliki diploma dan ijazah kini dalam proses dilantik ke jawatan tetap, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata mereka yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (Stam) pula akan diberi tempoh dua tahun untuk belajar sambil bekerja bagi melayakkan dilantik secara tetap ke jawatan itu.

“Ini antara usaha yang kita lakukan bagi membela kebajikan dan menaik taraf kira-kira 32,000 guru Kafa yang sedang berkhidmat di seluruh negara.

“Bagi yang sudah memiliki diploma dan ijazah, kita akan usaha serapkan mereka dalam tempoh enam bulan akan datang, manakala pemegang SPM dan Stam diberi peluang belajar pada waktu cuti dengan mengambil kursus-kursus tambah kredit sehingga melayakkan mereka diserap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) atau dikenali sebagai KSKCareCentre@MTMZA di sini hari ini.

Pada Ogos lepas, Fuziah pada sesi Dewan Rakyat memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membuat satu kajian untuk menaik taraf status guru KAFA antaranya dilantik sebagai penjawat tetap dalam perjawatan.

Mengenai KSK Care Centre, Fuziah berkata pusat itu berperanan sebagai tempat rujukan yang ketika ini amat diperlukan masyarakat untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling bagi mencari penyelesaian permasalahan yang dihadapi melalui kaedah rawatan dan terapi Islam.

Beliau berkata individu, khususnya orang Islam yang mempunyai masalah sering meminggirkan diri dan merasa malu untuk mendapatkan kaunseling, satu persepsi yang perlu dihakis kerana kaunseling bukan satu hukuman sebaliknya kaedah terbaik dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

“Kita mahu masyarakat buang stigma malu untuk berjumpa dengan kaunselor kerana takut dipandang serong oleh orang sekeliling…mempunyai masalah keluarga atau ada masalah di dalam kehidupan bukanlah satu kesalahan.

“Di negara barat, berjumpa kaunselor bila ada masalah adalah perkara biasa mereka. Perlu dijelaskan, kaunselor tidak akan menghukum seseorang individu itu dengan masalah yang dihadapi,” katanya.

KSKCareCentre@MTMZA mempunyai seramai 18 kaunselor dan fasilitator, beroperasi setiap hari bermula pukul 11.00 pagi hingga 1 petang. – Bernama

Sumber dari Sinar Harian.

Penutup

Sebarkan berita gembira ini kepada rakan-rakan kita diluar sana. Semoga berita gembira ini dapat menceriakan hidup kita dan semoga dunia pendidikan terus dimartabatkan di negara kita!