Statistik Jumlah Penduduk Malaysia 2018 ialah 32.4juta dengan Lelaki Lebih Ramai dari Perempuan. Ianya mungkin mengejutkan kita tetapi itulah yang dikongsikan oleh Portal Rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia. Selain itu, unjuran pendudukan (semakan semula) negara kita bagi tahun 2010 hingga 2040 turut menunjukkan penduduk Malaysia bertambah dengan kadar yang perlahan.
Secara umumnya, pada 2018 penduduk Malaysia dianggarkan sebanyak 32.4 juta orang dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 1.1 peratus. Penduduk lelaki 2018 melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.7 juta (lelaki) dan 15.7 juta (perempuan). Nisbah jantina bagi tahun 2018 kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan berbanding 2017.
Peratusan penduduk berumur bawah 14 tahun (umur muda) pada 2018 menurun daripada 24.1 peratus pada 2017 kepada 23.8 peratus. Manakala peratusan penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.6 peratus pada 2017 kepada 69.7 peratus pada 2018. Peratusan penduduk 65 tahun dan lebih (umur tua) pula meningkat daripada 6.3 peratus kepada 6.5 peratus bagi tempoh yang sama. Peningkatan komposisi penduduk umur bekerja dan umur tua memberi kesan kepada peningkatan umur penengah pada 2018 iaitu 28.6 tahun.
Unjuran Penduduk (semakan semula) Malaysia Tahun 2010 hingga 2040
Saiz Penduduk
Penduduk meningkat dengan kadar yang perlahan
Penduduk Malaysia diunjurkan meningkat daripada 28.6 juta orang (2010) kepada 41.5 juta (2040). Namun begitu, peningkatan penduduk adalah perlahan dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan menurun daripada 1.8 peratus (2010) kepada 0.8 peratus (2040). Purata kadar pertumbuhan penduduk berkurangan sebanyak 0.05 peratus setiap tahun.
Komposisi Etnik
Bumiputera mencatatkan peningkatan tertinggi iatu 4.8%
Bumiputera menunjukkan peningkatan peratusan tertinggi sebanyak 4.8 mata peratus iaitu daripada 67.3 peratus (2010) kepada 72.1 peratus (2040).
Nisbah Jantina
Penduduk lelaki lebih ramai daripada perempuan
Nisbah jantina bagi tahun 2010 adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan, meningkat kepada 108 pada 2020 dan tidak berubah sehingga 2040. Nisbah jantinabagi penduduk warganegara adalah 103 dan tidak berubah bagi tempoh 30 tahun. Manakala, nisbah jantina bagi bukan warganegara adalah lebih tinggi iaitu 156 bagi tahun 2010 dan diunjurkan meningkat kepada 169 pada 2040.
Struktur Umur
Struktur umur penduduk boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu kumpulan umur muda (0-14 tahun), kumpulan umur bekerja (15-64 tahun) dan umur tua (65 tahun dan lebih).
Kesan perubahan struktur umur
- Umur penengah semakin meningkat
Umur penengah pada 2010 adalah 26.3 tahun meningkat kepada 38.3 tahun (2040) iaitu peningkatan sebanyak 12 tahun bagi tempoh 30 tahun.
- Nisbah tanggungan semakin meningkat
Peningkatan dalam nisbah tanggungan daripada 47.8 (2010) kepada 49.5 (2040) adalah kesan daripada peningkatan dalam nisbah tanggungan umur tua yang meningkat hampir tiga kali ganda iaitu daripada 7.4 (2010) kepada 21.7 (2040).
- Penuaan Penduduk
Malaysia dijangka akan mengalami penuaan penduduk pada tahun 2020 iaitu apabila peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencapai 7.2 peratus.
Dikeluarkan Oleh:
PEJABAT KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
4 November 2016
Pegawai dihubungi:
Ho Mei Kei
Pegawai Perhubungan Awam
Bahagian Korporat & Khidmat Pengguna
Jabatan Perangkaan Malaysia
Tel :Â +603-8885 7942
Faks : +603-8888 9248
Emel :Â mkho[at]stats.gov.my