Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ini adalah terkini bersumberkan Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah dimuat naik dalam portal rasminya pada 06 Julai 2018 yang lalu.
Pengenalan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan pentaksiran holistik yang terdiri daripada dua kategori iaitu akademik dan bukan akademik. Kategori akademik terdiri daripada dua komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP) dan Pentakiran Sekolah (PS), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada dua komponen lagi iaitu Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) seperti dinyatakan dalam Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 3 Tahun 2011: Pemakluman Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Rendah dan Menengah Rendah (KP.LP.003.07.14.05(1)) bertarikh 29 Julai 2011.
Pentaksiran Sekolah telah dikenali sebagai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mulai hujung tahun 2016. PBD mengekalkan semua konsep Pentaksiran Sekolah dan melibatkan penentuan tahap penguasaan murid dalam setiap mata pelajaran. Tahap penguasaan ini dinyatakan dalam Standard Prestasi seperti terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) semua mata pelajaran di bawah Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum Standard Kelas Peralihan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Selain daripada Standard Prestasi, Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran juga dirujuk dalam pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah.
Standard Kandungan (SK) ialah pernyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard Pembelajaran (SP) pula ialah suatu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Manakala Standard Prestasi (SPi) pula ialah suatu set kriteria umum yang menunjukkan tahap-tahap penguasaan yang perlu murid pamerkan sebagai tanda bahawa sesuatu perkara itu telah dikuasai oleh murid. Perincian perkara ini dan maklumat lain berkenaan PBD dinyatakan di dalam buku ini.
Panduan ini merupakan edisi kemas kini kepada buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Sekolah yang diterbitkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum pada tahun 2016. Panduan ini diharap dapat memberi kefahaman dan membantu pihak pentadbir dan guru dalam melaksanakan PBD dengan lebih berkesan.
Pentaskiran Bilik Darjah (PBD)
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan proses yang berterusan dalam sesi PdP bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan penguasaan murid terhadap matlamat kurikulum yang dihasratkan. PBD melibatkan proses mengumpul dan menganalisis maklumat serta membuat refleksi yang berterusan terhadap PdP dalam membuat pertimbangan secara konsisten ke arah menambah baik PdP tersebut. Pelaksanaan PBD yang betul akan memberi gambaran yang jelas tentang penguasaan murid terhadap Standard Pembelajaran yang ditetapkan dalam kurikulum. Semua maklumat yang diperoleh dari pentaksiran bukanlah bertujuan untuk perbandingan atau persaingan antara murid. Sebaliknya maklumat tersebut hendaklah digunakan untuk membantu pihak sekolah dan ibu bapa untuk merancang tindakan susulan ke arah menambah baik penguasaan dan pencapaian murid dalam pembelajaran.
Guru memainkan peranan penting dalam melaksanakan PBD dengan menentukan objektif pembelajaran berdasarkan Standard Pembelajaran yang hendak ditaksir, merancang dan membina instrumen pentaksiran, melaksanakan pentaksiran, merekod hasil pentaksiran, menganalisis maklumat pentaksiran, melapor dan membuat tindakan susulan.
PBD bertujuan menambah baik pembelajaran murid melalui pentaksiran formatif, iaitu:
- Pentaksiran Untuk Pembelajaran (Assessment for learning)
- Pentaksiran Sebagai Pembelajaran (Assessment as learning)
Namun begitu PBD juga boleh berlaku untuk melihat pencapaian atau penguasaan murid selepas sesuatu tempoh yang bersesuaian, melalui pentaksiran sumatif. PBD membolehkan murid, guru, ibu bapa, dan pihak sekolah mengetahui kualiti pembelajaran murid. Pentaksiran ini dilihat sebagai Pentaksiran Tentang Pembelajaran (Assessment of learning).
Matlamat Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)
Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) disediakan untuk memberi kefahaman dan membantu pentadbir sekolah dan guru dalam melaksanakan pentaksiran bagi mendapat maklum balas berkaitan perkembangan pembelajaran murid dan keberkesanan pedagogi. Maklumat daripada pentaksiran tersebut digunakan untuk merancang tindakan susulan sama ada semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) atau selepas PdP. Melalui panduan ini guru diberi pendedahan tentang konsep, tujuan, ciri-ciri, kaedah, aspek yang ditaksir, pertimbangan profesional, dan keperluan melaksanakan PBD serta cara mengaplikasikannya di dalam bilik darjah.
Objektif Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)
Panduan ini membantu guru:
- menentukan kaedah pentaksiran yang sesuai
- melaksanakan pentaksiran dalam bilik darjah dengan berkesan
- membuat pertimbangan profesional dalam menentukan tahap penguasaan murid
- menjalankan tindakan susulan
Sehubungan dengan itu, anda boleh memuat turun Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ini pada pautan muat turun yang telah disediakan di bawah:
Dapatkan “Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)” di sini
Di sini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.
Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’
Download : Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)
SUMBER: BAHAGIAN PEMBANGUNAN KURIKULUM (BPK) KPM
PBD merupakan satu komponen dalam PBS yang dilaksanakan berterusan dalam PdP untuk mengukuhkan pembelajaran dan penguasaan murid di samping meningkatkan keberkesanan pengajaran guru. Pelaksanaan PBD yang berkesan bukan sahaja menyumbang kepada suasana pembelajaran yang menyeronokkan, malah ia juga merupakan kaedah pentaksiran yang autentik tanpa memberi tekanan kepada murid. Pentaksiran formatif yang berterusan dan pentaksiran sumatif yang dilakukan adalah untuk memberi fokus kepada perkembangan dan penguasaan murid dalam pembelajaran dan bukanlah untuk tujuan persaingan.
Pelaksanaan PBD memerlukan guru memahami Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi di samping pelbagai kaedah pentaksiran. Murid juga perlu dimaklumkan tentang aspek atau kriteria yang ditaksir. Keadaan ini membolehkan murid ditaksir dengan adil dan dalam keadaan mereka tahu serta bersedia untuk ditaksir. Laporan pentaksiran seperti Tahap Penguasaan murid juga perlu dimaklumkan kepada murid dan ibu bapa agar semua pihak tahu dan seterusnya boleh mengambil tindakan susulan yang sesuai ke arah meningkatkan penguasaan murid dalam pembelajaran mereka.
Pentaksiran merupakan sebahagian daripada PdP. Pentaksiran dalam bilik darjah ini menyumbang kepada pembentukan modal insan yang holistik dan seimbang seperti dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelaksanaan pentaksiran yang berterusan dalam bilik darjah diharap dapat diperkasakan dan dibudayakan oleh pihak sekolah. Pembudayaan PBD dalam kalangan guru berupaya menghasilkan anjakan kepada pendidikan yang tidak berorientasikan peperiksaan.
Penutup
Sekian, semoga perkongsian ini iaitu Buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bermanfaat buat kita semua dan digunakan sebagai panduan utama untuk semua guru dalam melaksanakan PBD ini dan juga semoga segala urusan kita dalam dunia pendidikan ini sentiasa dipermudahan. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline untuk mendapatkan informasi dan bahan-bahan pendidikan yang terbaik, terkini dan bermanfaat dari semasa ke semasa.