Buku Panduan Daftar Kosa Kata Bahasa Melayu untuk Kegunaan Sekolah Jenis Kebangsaan

Download Pelbagai Bahan untuk Guru di Sini

"SGO Web Pendidikan No.1 di Malaysia Rujukan Guru, Murid dan Ibu Bapa"

whatsapp sistem guru online sgoDapatkan Update SGO Melalui Whatsapp

 

Buku Panduan Daftar Kosa Kata Bahasa Melayu untuk Kegunaan Sekolah Jenis Kebangsaan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Alhamdulillah, lagi perkongsian daripada admin. Kali ini, admin berkongsi buku panduan bagi kegunaan warga pendidik khususnya warga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) iaitu SJKC dan SJKT untuk dimuat turun. Buku ini baru sahaja dimuat naik oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM pada 18 Mei 2018 yang lalu dalam laman web rasminya.

Pengenalan

Penghasilan Buku Panduan Daftar Kosa Kata ini merupakan salah satu usaha Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan Melaysia untuk membantu murid-murid sekolah rendah khususnya murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) untuk meningkatkan tahap penguasaan kosa kata Bahasa Melayu dalam kalangan murid bukan penutur jati.

Buku Panduan Daftar Kosa Kata Bahasa Melayu SJK ini disediakan sebagai bahan sokongan kurikulum. Buku ini boleh dijadikan panduan kepada guru untuk mengajarkan kosa kata dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah. Kandungan buku kosa kata ini disusun berdasarkan 11 tema yang terdapat dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Tema-tema yang dipelajari ialah Kekeluargaan, Kemasyarakatan, Kesihatan dan Kebersihan, Keselamatan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Estetika, Jati Diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Kelestarian Alam, Pertanian dan Penternakan, Ekonomi, Keusahawanan dan Kewangan. Kosa kata yang sesuai mengikut tema dan tahun dipilih dan disenaraikan bagi memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Penguasaan kosa kata sangat penting dalam proses pembelajaran bahasa. Tahap penguasaan kosa kata menjadi salah satu daripada ukuran keterampilan berbahasa murid. Murid perlu menguasai kosa kata, sama ada kosa kata umum atau kosa kata istilah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa murid. Melalui aktiviti pengembangan kosa kata, murid dapat memahami makna perkataan yang didengar, dibaca serta dapat bertutur dengan menggunakan perkataan yang tepat dan berkesan secara lisan mahupun penulisan. Kreativiti guru dalam mempelbagaikan aktiviti pengembangan kosa kata dalam pengajaran amat digalakkan.

Kosa Kata

Kosa kata merupakan perbendaharaan yang digunakan secara meluas dalam kemahiran lisan, bacaan dan penulisan yang perlu dikuasai oleh murid. Pemilihan kosa kata dalam buku ini berdasarkan tema yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSR Semakan. Penguasaan dan pemahaman terhadap sesuatu kosa kata dapat membantu murid menguasai bahasa Melayu dengan baiknya dalam aktiviti pembelajaran dan kehidupan harian.

Buku Panduan Daftar Kosa Kata ini dapat dijadikan rujukan kepada guru-guru untuk memilih kosa kata yang sesuai dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berasaskan tema seperti yang terdapat dalam DSKP Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Melayu SJK. Hal ini membantu memudahkan guru merancang dan melaksanakan strategi PdP dengan menggunakan kosa kata yang sesuai. Pemilihan dan pemahaman kosa kata yang terdapat dalam buku ini lebih mudah difahami kerana dibantu dengan ilustrasi berdasarkan tema yang digunakan. Buku Panduan Daftar Kosa Kata ini turut menyenaraikan kata nama, kata kerja, kata adjektif, penjodoh bilangan dan peribahasa bagi menyokong penggunaan kosa kata yang disenaraikan. Selain kosa kata umum, kosa kata istilah juga disenaraikan dalam buku kosa kata ini. Penggunaan Buku Panduan Daftar Kosa Kata ini turut menggalakkan murid merujuk kamus dalam proses mencari makna dan maksud sesuatu kosa kata yang betul.

Diharapkan Buku Panduan Daftar Kosa Kata ini dapat membantu guru melaksanakan PdP bahasa Melayu dengan berkesannya dan , dapat meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu murid.

Objektif

Buku Panduan Daftar Kosa Kata Bahasa Melayu SJK bertujuan:

  1. membantu guru memilih kosa kata yang sesuai berdasarkan tema mengikut konteks.
  2. memperkaya kosa kata murid melalui kata nama, kata dasar, kata terbitan, kata adjektif, penjodoh bilangan, dan peribahasa.
  3. meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa murid melalui penguasaan kosa kata.

Kaedah Pemilihan Kosa Kata

Pemilihan kosa kata ini berasaskan tema yang digunakan dengan mengambil kira perkara-perkara yang berikut:

  1. kosa kata yang dapat digunakan dalam pelbagai tema.
  2. kosa kata yang menjadi kebiasaan dalam penggunaan seharian dan persekitaran murid.
  3. kosa kata yang dapat merangkumi pelbagai bidang penggunaan dan mempunyai makna yang luas.
  4. kosa kata yang relevan mengikut konteks.

Dapatkan “Buku Panduan Daftar Kosa Kata Bahasa Melayu untuk Kegunaan Sekolah Jenis Kebangsaan” di sini


Di sini admin nak kongsikan bahan tersebut. Sila download menggunakan link yang telah disediakan.

Format dokumen ini adalah dalam ‘PDF’

Download : Buku Panduan Daftar Kosa Kata Bahasa Melayu untuk Kegunaan Sekolah Jenis Kebangsaan

SUMBER : BAHAGIAN PEMBANGUNAN KURIKULUM – 18 MEI 2018

 

Kaedah Penggunaan

Kosa kata ini diajarkan mengikut keperluan dan tahap kesukaran perkataan. Perkataan yang mudah, umum, maujud dan tinggi kekerapan penggunaan perlu diperkenalkan terlebih dahulu kepada murid. Perkataan dan istilah yang sukar atau baharu wajar diperkenalkan bersama-sama perkataan yang telah diketahui oleh murid. Guru hendaklah mengaitkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada murid.

Guru hendaklah mengajarkan kosa kata dengan mengaitkan topik yang dibincangkan semasa mengajarkan kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Guru juga seharusnya mengajarkan kosa kata dalam pelbagai konteks. Dengan ini, murid boleh menguasai kosa kata tersebut dengan mudahnya dan bermakna.
Buku Kosa Kata ini harus digunakan secara kreatif oleh guru dengan mempelbagaikan strategi pengembangan kosa kata dalam proses PdP. Selain menggalakkan murid merujuk kamus untuk mencari makna perkataan, guru juga harus menggunakan strategi, kaedah dan teknik yang sesuai, berkesan dan menarik untuk membantu murid pelbagai kebolehan menguasai kosa kata. Guru hendaklah sentiasa mengaitkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada murid semasa PdP. Rajah berikut adalah contoh pengajaran yang boleh dilaksanakan oleh guru.

Perkataan yang dikumpulkan hendaklah dijelaskan maknanya. Terdapat beberapa cara untuk menerangkan makna perkataan.

  1. Menjelaskan makna dengan menunjukkan objek konkrit.
  2. Menerangkan makna kata kerja dengan melakonkan perbuatan (membuka pintu) – guru hendaklah melakukan perbuatan tersebut.
  3. Menerangkan makna kata nama dengan memainkan peranan makna tersebut, seperti menerangkan makna (doktor) – guru melakonkan watak sebagai doktor.
  4. Menerangkan makna sesuatu perkataan dengan menyebut antonimnya.
  5. Menerangkan makna sesuatu perkataan dengan menyebut sinonimnya.
  6. Menerangkan makna sesuatu perkataan dengan menyebut perkataan yang terkandung di dalamnya, seperti menerangkan makna keluarga dengan menyebut anggota keluarga.
  7. Menjelaskan makna sesuatu perkataan.
  8. Menerangkan makna sesuatu perkataan dengan mengulangi bacaan bagi perkataan yang diulang.
  9. Mencari makna melalui kamus.
  10. Menerangkan makna dengan menterjemahkan makna perkataan dalam bahasa ibunda murid. (jika perlu sahaja)

 

Penutup

Semoga perkongsian ini iaitu Buku Panduan Daftar Kosa Kata Bahasa Melayu untuk Kegunaan Sekolah Jenis Kebangsaan memberikan manfaat khususnya kepada guru-guru dan murid bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dalam menguasai kosa kata bahasa Melayu dengan lebih baik. Teruskan menyokong kami di t.me/sistemguruonline.

 

telegram sistem guru online