Kisah Petang Sabtu ini Mampu Buatkan Anda Sebak sebagai Insan yang Bergelar ”Cikgu”

 

Sertai Study Group SPM 2020

PREMIUM Hanya guru SPM dan Calon SPM 2020 sahaja dibenarkan join. ♥ Para guru SPM boleh berkongsi bahan, link, buah fikiran, video pengajaran, etc.

“Kisah Petang Sabtu” ini Mampu Buatkan Anda Sebak sebagai Insan yang Bergelar ”Cikgu”. Apa tak sebaknya? sedih. Baru sahaja admin melihat post ini dikongsi oleh seorang rakan admin di laman Facebook. Baca dan baca, Ya Allah, mengalir air mata. Semoga kisah ini menjentik dan mampu memotivasikan kita semua dalam mendidik anak-anak didik kita dan kepada ibu bapa, bacalah dengan “hati”.

Kisah ini adalah kisah daripada Puan Normujadiah Osman. Admin mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau kerana mengongsikan pengalamannya yang bagi admin, AMAT BERHARGA buat kita semua khususnya kepada warga pendidik sekalian.

Petang Sabtu.

Bengkel Kecemerlangan Akademik SPM tamat jam 6.15 petang.

Kaki saya sudah terasa sangat lenguh. Sudah terbayang- terbayang mahu segera rebahkan diri di katil. Penatnya seharian menguruskan anak- anak ini.

Apatah lagi bila saya terpaksa menguruskan program dengan membawa tiga orang anak ke sekolah kerana suami juga perlu bertugas di dalam kejohanan ragbi di luar kawasan. Penatnya terasa berganda- ganda.

Tapi, hari Isnin nanti dewan mahu digunakan lagi untuk program solat hajat perdana dan majlis Restu Ilmu.

Boleh saja kalau saya mahu segera pulang dan biarkan rakan- rakan menyiapkannya pada pagi Isnin .

Namun, hati kecil ini rasa sangat bersalah mahu berbuat begitu.

Tentu kelam kabut kawan- kawan saya nanti.

Sudah pasti juga tidak manis sekiranya ibu bapa hadir dan dewan masih belum siap sepenuhnya dikemas.

Apa salahnya kalau saya mempermudahkan urusan teman-teman, kan?

Lalu, saya lupakan seketika kepenatan dan saya mohon bantuan anak-anak manis Tingkatan Lima ini untuk bantu saya menyusun kerusi dan bersihkan dewan.

Ada lebih kurang 400 kerusi perlu disediakan untuk kegunaan pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 , para guru dan ibu bapa.

Meskipun sudah lewat petang, setia sahaja anak- anak mengikuti arahan saya.

Guru- guru agama yang baru siap mengendalikan slot bengkel yang terakhir juga turut membantu saya.

Alhamdulillah , akhirnya pintu dewan saya tutup jam 6.50 petang bersama beberapa orang pengawas dewan yang masih tinggal.

Sewaktu mahu bergerak ke kereta , saya perasan Qayyum , pelajar saya yang tinggal di Gambang masih ada di situ.

“Qayyum, awak balik naik apa? Mak ambil ke?”

“Tak teacher, saya balik naik bas RAPID.”

Saya berkira- kira sendiri. Sekarang sudah hampir maghrib. Tentu sahaja waktu solat maghrib sudah luput sebaik anak ini sampai di rumah. Jarak sekolah ke rumah Qayyum sekitar 25 kilometer dan perkhidmatan bas RAPID hanya ada setiap satu jam sekali.

Tambah membimbangkan saya kerana ketika itu hujan lebat. Bagaimana anak ini mahu berjalan kaki ke perhentian bas?

“Kalau macam tu ikut teacher. Teacher hantar awak balik.”

“Tak payah lah teacher, nanti lambat pula teacher nak patah balik ke rumah. Tak apa, saya naik bas saja.”

“Qayyum, saya kata ikut saya.” Mendengar suara tegas saya, segera Qayyum masuk ke dalam kereta.

Sejurus masuk, saya telefon anak saya di rumah.

“Izzan, ibu lambat sikit balik. Ibu nak hantar anak murid ibu kat Gambang. Ibu akan singgah solat maghrib kat Petronas sebab rasanya tak sempat nak balik solat kat rumah. Kalau lapar, makan dulu karipap yang ibu beli tadi. Kejap lagi ibu bawa balik makanan , kita makan malam. Kalau awak rasa takut atau sunyi, buka radio alquran tu atau buka TV.”

Bimbang juga saya. Anak saya yang berusia 12 tahun itu tidak pernah saya tinggalkan bersendirian di rumah di waktu malam.

Inilah dilemma seorang guru berpangkat ibu seperti saya.

Antara menjaga keselamatan anak orang dan keselamatan anak sendiri. Fikirlah. Wajarilah. Maka saat ini saya memilih mengutamakan keselamatan anak orang lain.

Ya Allah, aku tinggalkan anak aku keseorangan di rumah. Engkau pelihara dia ya Allah. Sekurang-kurangnya anak aku sudah ada di dalam rumah. Tapi anak murid aku ini masih lagi di perjalanan di dalam kepekatan malam, bersendirian. Kau pelihara anak ku Ya Allah. Aku pasti ada ibu yang sedang risau menunggu anaknya di rumah. Kau permudahkanlah Ya Allah.

Hanya kepada Allah saya berserah. Memohon agar Allah mempermudahkan urusan saya kerana sudah lama saya tidak memandu di waktu malam.

Saya ada rabun silau. Meskipun kaca mata saya dilengkapi kanta untuk rabun silau, tapi pemanduan saya jadi kurang cekap. Apatah lagi di tengah hujan yang lebat mencurah.

Allah. Tiada siapa yang memahami gelora di dada saya kita ini. Hanya Allah tempat saya berserah.

Benarlah, tika saya sampai ke rumah disambut wajah seorang ibu yang jelas bimbang dan gusar anaknya belum juga pulang- pulang.

Duhai teman.

Inilah tugasan kami, para guru yang jarang orang tahu.

Kadang- kadang terluka juga hati bila membaca ayat- ayat netizen yang selalu memandang rendah tugasan para guru.

Jadi cikgu ni senang, boleh balik awal.
Cuti banyak.
Gaji pun besar.
Hujung tahun makan gaji buta.

Aduhai. Luruh air mata bila saya baca saranan supaya guru- guru datang ke sekolah mengasuh anak- anak diwaktu cuti supaya ibu bapa tidak perlu mengeluarkan belanja lebih menghantar anak- anak ke pusat asuhan.

Sedih, ya memang sedih.

Namun inilah realiti hidup kami.

Hari ini, saya tinggalkan anak saya yang keseorangan di rumah supaya saya boleh pastikan anak murid saya aman di perjalanan dan boleh menunaikan solat di dalam waktunya.

Hari ini, saya hanya mampu membeli lauk- pauk yang siap di masak di kedai buat sarapan, makan tengah hari dan makan malam anak- anak saya kerana ada keperluan anak- anak murid yang lebih perlu saya dahulukan.

Terkadang , mahu saja pencen awal tatkala emosi diri tewas dengan bebanan tugasan dan kata- kata orang awam terhadap kami.

Namun, hari ini, seperti juga hari- hari yang lain, rasa kecewa itu akan terubat sendiri.

Manakan tidak?

Dipeluk ibu Qayyum sambil diucapkan terima kasih berkali- kali membuatkan kegusaran dan kerisauan saya seghera hilang.

Di bekalkan pula dengan sekampit beras pulut, ikan pekasam dan buah ciku tanda perghargaan buat usaha saya yang realtifnya sangat kecil bagi saya tapi cukup besar di hati seorang ibu.

Lalu, pantaskah saya untuk terus menjeruk rasa menahan pedihnya membaca cacian para netizen sedang di sisi saya, Allah hadiahkan seorang Qayyum yang bersungguh- sungguh mahu menakluk dunia dan seorang ibu yang meletak sepenuh pengharapan pada seorang guru agar anaknya dipimpin dan ditunjuk cara.

Sungguh. Saya tidak mahu mengalah. Ini medan saya mencari pahala. Maka saya pilih untuk pekakkan telinga. Mohon doakan saya, teman- teman agar saya bisa bertabah sehingga penghujung usia.

NORMUJAIDAH OSMAN.
24 Februari 2018

Ya. Itulah tanggungjawab insan yang bergelar dan berjiwa pendidik. Ya Allah, Engkau permudahkanlah segala urusan kami dalam mendidik anak-anak didik kami. Sesungguhnya, hanya padaMu kami meminta dan memohon sesuatu. Aamiin

Semoga “Kisah Petang Sabtu” ini Mampu Buatkan Anda Sebak sebagai Insan yang Bergelar ”Cikgu” menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua. Terima kasih cikgu.

 

Dapatkan Soalan Ramalan UPSR PT3 SPM 2020 + Latihan Musim PKP Covid-19(Premium Items)

.rt-wpls .single-logo a { color: #000000; font-weight: bold; } .rt-wpls .slick-prev, .rt-wpls .slick-next { width: 40px; height: 40px;}' ); ?>