4 Perkara yang Perlu Anda Tahu Berkaitan Pengesahan dalam Perkhidmatan (PDP) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP). Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada kali ini, admin berkongsi berkaitan 4 perkara yang sangat penting khususnya kepada guru-guru (PPP) dan staf sokongan (AKP) untuk ketahui iaitu berkaitan dengan soalan yang sering dikemukakan tentang Pengesahan dan Perkhidmatan (PDP) bagi mereka.
1. Apakah syarat-syarat dan tatacara pengesahan dalam perkhidmatan?
Pegawai yang telah memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dalam skim perkhidmatan masing-masing dalam tempoh percubaan boleh disahkan dalam perkhidmatan sekiranya memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP)
- Berkhidmat dalam tempoh percubaan antara 1 hingga 3 tahun;
- Hadir dengan jayanya Kursus Induksi/ Program Tranformasi Minda; dan
- Diperaku oleh Ketua Jabatan.
Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP)
- Berkhidmat dalam tempoh percubaan antara 1 hingga 3 tahun;
- Hadir dengan jayanya Kursus Induksi/ Program Tranformasi Minda;
- Lulus Peperiksaan Perkhidmatan seperti yang disyaratkan oleh Skim Perkhidmatan; dan
- Diperaku oleh Ketua Jabatan.
Ketua Jabatan hendaklah memperaku pengesahan dalam perkhidmatan pegawai dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh pegawai itu didapati layak bagi pengesahan dengan mengemukakan dokumen seperti berikut:
- Borang Permohonan PDP Pegawai (SPP/K/002) – (Lampiran I Pekeliling SPP Bil. 4 Tahun 2013)
- Borang Perakuan PDP – Jadual Ketiga (Lampiran II atau Lampiran III Pekeliling SPP Bil. 4 Tahun 2013)
- Borang Opsyen KWSP – Jadual Kelima (Lampiran IV atau Lampiran V Pekeliling SPP Bil. 4 Tahun 2013)
- Salinan Sijil Kursus Induksi / Program Tranformasi Minda (PTM) dan surat pengecualian Kursus Induksi/ PTM (jika ada)
- Salinan Keputusan Peperiksaan Perkhidmatan (bagi AKP)
- Salinan Buku Rekod Perkhidmatan (Kenyataan Perkhidmatan, Kenyataan Cuti dan Lembaran Kelakuan) yang kemas kini / teratur dan disahkan
2. Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya seseorang pegawai masih belum disahkan dalam perkhidmatan setelah tamat tempoh percubaan?
Ketua Jabatan bagi anggota yang tidak dapat disahkan dalam perkhidmatan dalam tempoh yang ditetapkan hendaklah mengemukakan permohonan bagi Pelanjutan Tempoh Percubaan (PTP) anggota kepada SPP dalam tempoh 7 hari sebaik sahaja tamat tempoh percubaan maksimum atau genap 36 bulan perkhidmatan (Perenggan 9 Pekeliling SPP Bil. 3 Tahun 2013).
3. Sekiranya pegawai telah memenuhi syarat untuk disahkan Dalam perkhidmatan tetapi tidak diperaku oleh Ketua Jabatan apakah yang perlu dilakukan?
Jika seseorang pegawai tidak diperakukan untuk disahkan dalam perkhidmatan, Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan kepada Suruhanjaya perakuan untuk tidak mengesahkan pegawai itu dalam perkhidmatan sebagaimana dalam Jadual Ketiga – Perakuan Pengesahan Dalam Perkhidmatan. Para 4, P.U(A) 1/2012.
Jika Ketua Jabatan gagal mengemukakan perakuan bagi pengesahan seseorang pegawai mengikut subperaturan (3), pegawai itu boleh memohon kepada Suruhanjaya untuk disahkan dan suatu salinan permohonan itu hendaklah dihantar ke Ketua Jabatan. Para 5, P.U.(A) 1/2012.
4. Sekiranya pegawai telah menghadiri kursus induksi di jawatan terdahulu bolehkah pegawai memohon untuk pengecualian Program Transformasi Minda (PTM)?
Boleh. Seorang anggota tetap yang sedang berkhidmat dan masih dalam tempoh percubaan tetapi telah lulus PTM atau Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia atau lulus Peperiksaan Am Kerajaan di skim perkhidmatan terdahulu adalah dikecualikan dari menghadiri PTM selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2012.
Permohonan Pengecualian PTM bagi Perkhidmatan Bukan Guru (PBG) boleh dipanjangkan ke Cawangan Pembangunan Manusia dan Latihan, BPSM, KPM manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) melalui Unit Latihan dan Kemajuan Staf, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Dokumen yang diperlukan dikemukakan untuk tujuan permohonan pengecualian PTM adalah seperti berikut:
- Surat permohonan melalui Ketua Jabatan pegawai;
- Salinan Sijil PTM/ Sijil Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia Modul Umum/Sijil Lulus Peperiksaan Am Kerajaan yang disahkan; dan
- Salinan surat lantikan ke jawatan terkini pemohon.
Untuk mendapatkan maklumat mengenai permohonan pengecualian (sama ada lulus atau sebaliknya), pemohon boleh menyemak dan mencetak Surat Pengecualian PTM melalui Sistem Pengecualian PTM di pautan https://ptm.moe.gov.my/?doit=semak Pengecualian.
Semoga perkongsian pada kali ini iaitu 4 Perkara yang Perlu Anda Tahu Berkaitan Pengesahan dalam Perkhidmatan (PDP) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) sedikit sebanyak memberikan anda informasi yang bermakna dan berguna. Sekian, terima kasih dan teruskan menyokong kami di Sistem Guru Online, Komuniti Pendidikan Malaysia.
SUMBER : KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA