27 Soalan Lazim Berkaitan Urusan Persaraan Penjawat Awam Berserta Jawapannya

Download Pelbagai Bahan untuk Guru di Sini

"SGO Web Pendidikan No.1 di Malaysia Rujukan Guru, Murid dan Ibu Bapa"

whatsapp sistem guru online sgoDapatkan Update SGO Melalui Whatsapp

 

27 Soalan Lazim Berkaitan Urusan Persaraan Penjawat Awam. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Baru-baru ini, admin sering kali melihat post daripada rakan-rakan admin di media sosial yang bakal bersara pada tahun ini. Pada masa yang sama, admin juga melihat terdapat banyak persoalan yang dikemukakan berkaitan urusan persaraan mereka.

Sehubungan dengan itu, admin menghimpunkan soalan yang sering dikemukakan oleh penjawat awam berkaitan urusan persaraan. Soalan-soalan ini adalah dipetik daripada portal rasmi Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Berikut merupakan 27 soalan tersebut berserta jawapannya yang telah disediakan oleh pihak JPA. Semoga dapat membantu anda.

  1. APAKAH PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SEORANG BAKAL PESARA?

Bakal pesara perlu memastikan Jabatan mengemukakan dokumen persaraan yang lengkap ke KWAP tidak lewat 3 bulan sebelum tarikh persaraan untuk membolehkan faedah persaraan dibayar dalam masa yang sepatutnya.

  1. APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA TERDAPAT KENAIKAN PANGKAT, PERGERAKAN GAJI ATAU SEBARANG PERUBAHAN KEPADA PERKHIDMATAN DAN GAJI AKHIR SETELAH BERSARA?

Pesara perlu memastikan Jabatan akhir mengemukakan kenyataan perkhidmatan yang telah dikemaskini ke KWAP untuk hitung semula faedah persaraan.

  1. ADAKAH TEMPOH PERKHIDMATAN SANDARAN BOLEH DIAMBILKIRA UNTUK TUJUAN PENGIRAAN FAEDAH PERSARAAN?

Tempoh perkhidmatan yang tidak boleh diambilkira ialah tempoh perkhidmatan berstatus sandaran, kontrak, sangkut dan sambilan.

  1. BILAKAH GANJARAN DAN PENCEN AKAN DIBAYAR BAGI PERSARAAN ATAS SEBAB KESIHATAN (ASK)?

Tarikh kuatkuasa ASK ialah sehari selepas ianya diluluskan. Bayaran ganjaran dan Gantian Cuti Rehat (GCR) jika ada akan dibayar dalam tempoh 21 hari dari tarikh persaraan dan pencen bulanan pula dalam tempoh 30 hari.

  1. APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN OLEH AHLI KELUARGA SEKIRANYA PEGAWAI MENINGGAL DUNIA SEMASA DALAM PERKHIDMATAN?

Ahli keluarga/ waris/ tanggungan gemulah (Pegawai yang meninggal dunia) perlu menghubungi Jabatan akhir dan  menyerahkan semua dokumen yang diperlukan bagi memastikan Jabatan akhir dapat mengemukakan dokumen pencen terbitan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan,JPA dalam tempoh masa 7 hari dari tarikh kematian gemulah.

Bagi permohonan Bantuan Mengurus Jenazah (BMJ) sebanyak RM3,000 pula ianya hendaklah dituntut daripada Jabatan terakhir gemulah.

  1. APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA BERLAKU KEMATIAN DALAM PERSARAAN DAN MASIH TERDAPAT BALU / DUDA ATAU ANAK YANG MASIH LAYAK MENERIMA PENCEN TERBITAN?

Ahli keluarga/ waris/ tanggungan gemulah (Pegawai yang meninggal dunia) perlu menyerahkan semua dokumen yang diperlukan kepada KWAP secepat mungkin supaya proses pemindahan pencen terbitan kepada balu/ duda/ anak-anak yang layak dapat dibuat dengan segera.

Ini juga termasuk dengan dokumen permohonan Bantuan Mengurus Jenazah (BMJ) sebanyak RM3,000 dan dihantar kepada KWAP.

  1. APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA PENERIMA PENCEN MELANJUTKAN PENGAJIAN KE PERINGKAT IJAZAH PERTAMA?

Penerima pencen yang melanjutkan pengajian ke ijazah pertama perlu mengisi borang Pengesahan Anak Belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) – JPA.BP.SPT.B03a dan mengemukakannya ke KWAP untuk pengemaskinian maklumat.

  1. ADAKAH BALU / DUDA YANG DIKAHWINI DALAM PERSARAAN LAYAK MENERIMA FAEDAH TERBITAN?

Balu/duda/anak hasil perkahwinan dalam persaraan layak untuk menerima pencen terbitan terhad kepada baki dari 20 tahun dari tarikh persaraan.

  1. ADAKAH BALU / DUDA YANG DIKAHWINI SELEPAS PENSWASTAAN SYARIKAT LAYAK MENERIMA FAEDAH TERBITAN?

Kelayakan bagi balu / duda yang dikahwini selpas penswastaan syarikat layak untuk menerima pencen terbitan adalah terhad sehingga 20 tahun dari tarikh penswastaan.

  1. SEKIRANYA SEORANG ANGGOTA AGENSI YANG DISWASTAKAN TELAH MEMILIH SKIM A (SKIM GAJI ALA KERAJAAN), ADAKAH BELIAU BOLEH MEMILIH UNTUK MENUKAR KE SKIM B (GAJI ALA SYARIKAT)?

Boleh bertukar ke Skim B dalam tempoh 2 tahun dari tarikh penswastaan syarikat tersebut.

  1. APAKAH GANTIAN CUTI REHAT (GCR)?

Gantian Cuti rehat adalah Award wang tunai yang diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan.

  1. BILAKAH GCR BERKUAT KUASA?

Award Gantian Cuti Rehat telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 1974 melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/1974 dan hanya diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang bersara pada atau selepas 1 Januari 1974.

  1. SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA GCR?

Award Gantian Cuti Rehat hanya diberikan kepada Anggota Tetap (termasuk pegawai dalam tempoh percubaan) dan Anggota Sementara dalam Perkhidmatan Awam yang bersara di bawah Akta Pencen 1980.

  1. SIAPAKAH YANG TIDAK LAYAK MENERIMA GCR?

Award Gantian Cuti Rehat tidak diberikan kepada pegawai yang meletakkan jawatan atau pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib buang kerja.

  1. BAGAIMANA PENGUMPULAN CUTI DIBUAT?

Pengumpulan cuti bagi tujuan gantian Cuti rehat adalah mengikut peruntukan para 21(1) Peraturan Pencen 1980, Pekeliling Perkhidmatan (yang berkaitan) dan Perintah Am Bab C.

  1. FORMULA PENGIRAAN GCR?

Formula GCR adalah seperti berikut :

1/30 X cuti rehat terkumpul (hari) X (gaji akhir + * imbuhan tetap )

Imbuhan tetap adalah =

  1. Imbuhan Tetap Jawatan Utama
  2. Imbuhan Tetap Perumahan (ITP)

iii. Imbuhan Tetap Keraian (ITK)

  1. Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA)

Tertakluk maksimum 150 hari

  1. JABATAN MANAKAH YANG MEMBAYAR GCR?

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah bertanggungjawab meluluskan dan membayar ‘Award’ Gantian Cuti Rehat kepada pesara perkhidmatan awam persekutuan manakala pesara perkhidmatan awam negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan akan dibayar oleh Jabatan akhir mereka berkhidmat.

  1. BILAKAH BAYARAN GCR DIBUAT?

Pembayaran GCR akan dibuat dalam tempoh 21 hari dari tarikh persaraan pegawai.

  1. APAKAH KELAYAKAN ANAK BAGI PASANGAN YANG BERKAHWIN DALAM PERKHIDMATAN UNTUK MENERIMA PENCEN TERBITAN?

Bagi pasangan yang berkahwin semasa dalam perkhidmatan, kelayakan anak adalah sehingga mencapai umur 21 tahun atau berkahwin yang mana terdahulu, atau sehingga tamat pengajian di peringkat ijazah pertama

  1. BOLEHKAH PEGAWAI/PEKERJA MENGUMPUL SEMUA CUTI REHAT DI TAHUN AKHIR PERKHIDMATAN SUPAYA DAPAT DIKUMPUL UNTUK GANTIAN CUTI REHAT (GCR)?

Pegawai/Pekerja boleh mengumpul cuti rehat maksimum tahun akhir mengikut kelayakan cuti rehat tahunannya.

  1. DIMANAKAH DOKUMEN PERSARAAN PERLU DIHANTAR?

Dokumen persaraan boleh dihantar ke:

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
Jabatan Perkhidmatan Persaraan,
Aras 2, Skytech Tower 2,
MKN Embassy Techzone,
Jalan Teknokrat 2, Cyber 4,
63000 Cyberjaya, Selangor

  1. BAGAIMANAKAH SAYA BOLEH MENDAPATKAN BORANG PERMOHONAN BANTUAN MENGURUS JENAZAH (BMJ)?

Borang permohonan boleh dimuat turun di www.jpapencen.gov.my atau di link ini http://www.jpapencen.gov.my/borang/bmj/Borang_BMJ-BM.pdf dan informasi lanjut mengenai BMJ ini adalah seperti di link ini http://www.jpapencen.gov.my/bmj.html

  1. BAGAIMANA SAYA BOLEH MENDAPATKAN MAKLUMAT DAN BERITA TERKINI MENGENAI URUSAN PERSARAAN DAN PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA?

Layari www.jpapencen.gov.my dan like Facebook JPA iaitu Bahagian Pasca Perkhidmatan

  1. BAGAIMANAKAH PROSEDUR MENGGANTIKAN KAD PESARA YANG HILANG?

Kad pesara boleh dibuat di kaunter KWAP Cyberjaya atau Kaunter 1Serve di Blok C2, JPA.

  1. ADAKAH TERDAPAT TEMPOH TERTENTU DALAM MENUNTUT BAYARAN MENGURUS JENAZAH (BMJ)?

Tiada tempoh yang ditetapkan untuk menuntut BMJ ini asalkan kematian tersebut berlaku pada atau selepas tahun 2010.

  1. SAYA SEORANG PENJAWAT AWAM YANG MENGURUS PENCEN PEGAWAI/ ANGGOTA DI JABATAN KAMI. APAKAH NOMBOR TELEFON DAN EMAIL YANG BOLEH DIHUBUNGI?

Sila hubungi talian 03-88878777 atau email [email protected].

  1. APA PERLU WARIS LAKUKAN APABILA PESARA ATAU PENERIMA PENCEN MENINGGAL DUNIA DAN TIDAK LAGI MEMPUNYAI WARIS YANG LAYAK MENERIMA PENCEN TERBITAN?

Jika pesara ataupun penerima pencen meninggal dunia dan tiada orang yang layak lagi untuk menerima Pencen Terbitan, waris hendaklah mengambil tindakan-tindakan berikut:

  1. Memaklumkan kepada BP, JPA dengan segera tentang kematian pesara ataupun penerima pencen tersebut dan sertakan:

(i) 1 salinan sijil mati gemulah;
(ii) Kad Pesara yang asal;
(iii) Waran yang masih belum ditunaikan, jika berkenaan.

  1. BP, JPA akan menguruskan baki pencen (jika ada) dan bayaran akan dibuat kepada waris yang terdekat. Waris hendaklah mengemukakan 1 salinan Kad Pengenalan beliau.

Semoga perkongsian pada kali ini iaitu 27 Soalan Lazim Berkaitan Urusan Persaraan Penjawat Awam Berserta Jawapannya sedikit sebanyak dapat membantu pemahaman semua penjawat awam khususnya kepada bakal pesara dalam melaksanakan urusan persaraan mereka. Daripada kami, JUTAAN TERIMA KASIH kerana telah menyumbangkan perkhidmatan anda kepada masyarakat dan negara. Semoga berjaya dan selamat meneruskan kehidupan bersama keluarga tersayang. SELAMAT BERSARA.

SUMBER : JABATAN PERKHIDMATAN AWAM