Nabil Rosman Pemenang Anugerah Hasselblad Masters 2018. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan berita yang sangat membanggakan rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Kelantan. Ini kerana Nabil Rosman telah memenangi Hasselblad Masters Award bagi tahun ini (2018).
Siapakah Nabil Rosman? Nabil Rosman atau Ahmad Nabil merupakan remaja kelahiran Kota Bahru, Kelantan. Dia kini berusia 18 tahun dan melanjutkan pengajian dalam Asasi Perundangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil yang juga merupakan anak bongsu daripada enam adik-beradik.

Apakah pula Hasselblad Masters? Hasseblad Masters diiktiraf sebagai salah satu pertandingan fotografi profesional yang paling berprestij di dunia. Para pemenang dipilih melalui gabungan undi umum dan penilaian daripada juri Masters yang profesional yang terdiri daripada jurugambar dan ahli pengimejan yang terkenal di peringkat antarabangsa.
Sebanyak 31,500 gambar yang telah dihantar oleh semua peserta dalam merebut gelaran Hasselblad Master bagi Tahun 2018 dan hasil fotografi Nabil Rosman berjaya menempatkannya sebagai Hasselblad Master bagi Tahun 2018.
Atas kemenangannya itu, Nabil Rosman akan mendapat keistimewaan daripada Hasselblad Master iaitu :
- Memegang gelaran ‘Hasselblad Master’
- Menjadi duta jenama selama dua tahun.
- Menerima kamera format medium baru Hasselblad
- Dijemput untuk menangkap gambar untuk projek kerjasama dengan Hasselblad.
- Projek 21 hasilnya ini akan dicetak dan diterbitkan dalam buku Hasselblad Masters selama dua tahun berturut-turut.
- Menerima anugerah, kamera dan trofi di majlis khas Photokina 2018 di Cologne, Jerman pada bulan September ini.
Terdapat 11 kategori yang dipertandingkan dalam Hasselblad Masters ini, dan salah satunya ialah kategori “Project” yang telah dimenangi oleh Nabil Rosman melalui penyertaannya, “21” pada tahun lalu. Kemenangannya itu adalah berdasarkan penilaian daripada 13 juri pakar yang terdiri daripada 6 jurugambar, 6 past master dan 2 penulis jurnal dan undian daripada masyarakat.
Menurut Nabil Rosman, dia mula berjinak-jinak dalam bidang fotografi sejak berusia 14 tahun dimulai dengan sikapnya yang menggemari kamera.
Menurutnya lagi, projeknya yang telah memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan dalam Hasselblad Masters itu dihasilkan melalui pengalamannya sendiri apabila dia ternampak terdapat rumah kosong di Kota Bharu dan memberikannya persoalan adakah terdapat penagih dadah dalam rumah kosong tersebut. Maka, di situlah tercetusnya idea Nabil Rosman dalam menghasilkan karya bermotifkan “Trapped Soul” atau “Jiwa yang Terperangkap” iaitu menggambarkan golongan remaja yang terperangkap dalam jenayah dadah.
Dalam projeknya itu, dia mendapat bantuan daripada rakannya yang bertindak sebagai model. Berdasarkan sumber, projek itu memakan masa selama tiga hari termasuklah proses penyuntingan.
“Tak sangka pada usia 18 tahun saya berjaya mencapai sesuatu melalui hobi. Dulu, ibu bapa tidak menggalakkan saya untuk serius dalam bidang ini.
“Alhamdulillah saya berjaya membuktikan sesuatu kepada mereka,” katanya.
Berikut merupakan gambar yang terdapat dalam Projek ’21’ Nabil Rosman bertemakan “Trapped Soul” yang membuatkannya salah seorang Hasselblad Masters bersama 10 juara daripada luar negara yang lain.
Dalam konteks pendidikan, kemenangan Nabil Rosman dalam pertandingan berprestij di dunia ini mampu menjadi suntikan semangat dan motivasi kepada semua golongan khususnya para remaja yang ingin menceburi dan memahirkan diri dalam bidang yang diminati. Dengan keazaman, kesungguhan dan minat yang tinggi dalam bidang yang digemari mampu memberikan pulangan yang setimpal seterusnya bukan sahaja mampu membanggakan ibu bapa, malah sekolah, masyarakat dan negara turut berbangga dengan pencapaian seperti ini.
Sehubungan dengan itu, kepada ibu bapa dan guru, kenal pasti minat dan potensi yang ada pada dalam diri anak/murid-murid anda. Bantulah mereka dalam mengembangkan potensi sedia ada mereka kepada perkara yang positif dengan menyokong, memberi galakan dan motivasi yang positif serta menggunakan platform yang sesuai dan terbaik dalam menjadikan mereka insan dan generasi yang kreatif dan inovatif.
SUMBER :
- https://www.hasselblad.com/masters/
- https://www.nst.com.my/lifestyle/bots/2018/01/327476/malaysian-photographer-wins-big-illustrious-hasselblad-masters-awards
- https://www.dpreview.com/news/9072171056/hasselblad-reveals-the-winners-of-the-masters-awards-2018
- https://www.hmetro.com.my/utama/2018/01/305529/mantaplah-ahmad-nabil
- http://www.rojakdaily.com/skop/article/4275/hasil-gambar-master-hasselblad-dari-kelantan-ini-bakal-buat-anda-kagum