Datuk Awang Adek dilantik Sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Mula 1 September 2017

Awang Adek, 62, berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan dari 2006 hingga 2013. – Gambar astro awani

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa 1 September depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan dibuat selepas mendapat persetujuan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Awang Adek, 62, berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan dari 2006 hingga 2013.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat dari 2014 ke 2016.

Menurut Ismail Sabri, beliau percaya pengalaman dimiliki Dr Awang Adek akan membolehkan beliau memimpin MARA dalam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian demi mencapai objektif transformasi negara.

Awang Adek mengambil tempat yang ditinggalkan Pengerusi sebelumnya, Tan Sri Annuar Musa yang pada 4 Ogos lalu, melahirkan hasrat untuk tidak menyambung kontraknya selepas memegang jawatan itu lebih empat tahun.

sumber : http://www.astroawani.com/