Memburu Malam Lailatul Qadr.

Memburu Malam Lailatul Qadr
Memburu Malam Lailatul Qadr

Memburu Malam Lailatul Qadr. Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pelawat laman Sistem Guru Online.

Kali ini, sempena bulan ramadhan kami SGO ingin berkongsikan penulisan mengenai pemburuan malam lailatul qadr. Ingin diingatkan penulisan ini sekadar perkongsian yang telah bersumberkan kepada laman Mufti Wilayah.

Kami berharap perkongsian ini memberi manfaat dan peroleh pahala kebaikan kepada kita bersama sama. Andai ada yang baik, ambillah ia dan jika anda rasa tidak baik sila abaikan penulisan ini.

Pertemuan Dengan Malam Lailatul Qadr

Adakah kita yakin kita masih bernafas pada ramadan tahun hadapan? Hingga membuatkan kita biarkan ramadan tahun ini berlalu begitu saja.

Bahkan setiap malam hanya dihabiskan dengan sembang keduniaan dan makan lepak hingga lupa diri. Mari kita ambil persiapan mencari malam Lailatul Qadr.

Apakah itu malam al-Qadar?

Alhamdulillah dan selawat serta salam kepada junjungan baginda nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan sahabat sahabat baginda.

 

Malam Lailalul Qadr merupakan malam yang teristimewa dalam bulan Ramadhan kerana setiap amalan akan dilipat gandakan ganjaran kebaikannya jika dilakukan pada malam ini.

Berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. [al-Qadr, 1-3]

 

Kesungguhan Baginda Nabi dalam Memburu Malam Al Qadr

Dalam hadis yang menunjukkan akan kesunguhan Rasulullah ialah:

  • Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan:

 

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadis 3436]

Di dalam riwayat yang lain

  • Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. [Riwayat Muslim, no. Hadis 2009]

Di dalam petikan hadis di atas, jelasnya baginda nabi bersungguh sungguh melakukan ibadah untuk beribadah dan dalam memburu lailatul qadr.

Sedangkan baginda nabi adalah wajib ke atasnya syurga. Namun, dengan penuh tawaduk dan ikhlas baginda beribadah bersungguh sungguh.

Bagaimana pula kita? Tepuk dada dan tanya iman.

Bilakah berlakunya Malam Lailatul Qadr

Dalam mencari malam al-Qadr, terdapat banyak hadis dan pendapat yang boleh dirujuk. Walaupun begitu, Rasulullah SAW telah menerangkan beberapa isyarat kepada umatnya berkaitan malam al-Qadr ini.

Antaranya, ia kemungkinan besar berlaku pada 10 malam akhir daridapa malam ganjil dalam bulan Ramadhan.

Berdasarkan sebuah hadith, daripada Jabir bin Samurah Ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا

Maksudnya: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil”.[Riwayat Ahmad, no.Hadis 85]

Adapun mereka yang menentukan malam al-Qadar terdapat banyak pendapat, antaranya:

  • Pertama: 
  • Pendapat paling kuat dari golongan ulama bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 27 ramadhan. Hujahnya adalah
  • Mengikut Abu Ka’ab RA katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam al-Qadar berada dalam bulan Ramadhan dan jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, beliau enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya”.

 

  • Daripada riwayat Muawiyah RA yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27”.

 

  • Riwayat ini disokong oleh Ibn Abbas RA yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu adalah dhamir (هِيَ) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.

 

  • Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn Umar RA yang bermaksud:“Sesiapa yang mencari malam al-Qadar, hendaklah dia mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam al-Qadar pada malam yang ke-27”.

 

  • Kedua:
  • Berlaku pada malam ke-23 Ramadhan.
  • Ianya adalah pendapat sebahagian Imam iaitu Imam as-Syafie dan juga pendapat Imam Malik, Ibnu Khuzaimah, Abu Awanah dan At-Thahawi berdasarkan;
  • Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Unais RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلاَثَ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam ke-23 Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadis 3250]

 

  • Ketiga:
  • Pada 21 Ramadhan.
  • Ianya juga pendapat terpilih oleh Imam As-Syafie yang berdalilkan hadis;
  • Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi. Hadis tersebut daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Tuntutlah (Carilah) kamu pada malam ke-17, 21 dan 23 dalam bulan Ramadhan”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadis 1176]

  • Keempat:
  • Malam ke-24 Ramadhan.
  • Berdasarkan pada hadis;
  • Diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Baginda SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ

Maksudnya: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadis 1569]

 

  • Kelima:
  • Pada malam terakhir
  • Bersandarkan pada hadis dari Muawiyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ

Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam terakhir bulan Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadis 1571]

Refleksi Diri

Pada hakikatnya hanya Allah SWT yang maha mengetahui akan bila malam al-Qadr. Walaupun begitu, bukan bermakna kita tidak perlu bersungguh sungguh untuk malam malam yang lain selain malam di atas terutamanya malam ke-27.

Bahkan kita perlu meng’ihya’ kan setiap malam malam dalam bulan Ramadhan. Lalu menggandakannya lagi setelah tiba 10 malam yang terakhir sebagaimana mencontohi baginda Rasulullah SAW.

Hikmah Disembunyikan Malam Al-Qadr

Diantara hikmah Allah sembunyikan malam al-Qadr ini adalah agar kita bersemangat tinggi untuk memburunya.

Selain itu, mendidik kita supaya berusaha sebenar benar dalam melakukan ibada demi mencari malam yang mulia umpama 1000 bulan ini.

Ia seperti disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan juga disembunyikan nama-Nya yang agung daripada segala nama-nama yang Dia miliki.

Akhir Kata

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.

Mari baca perkongsian kami juga sebelum ini bagi Cara Menggantikan Puasa dan Puasa Enam selepas Ramadhan dan juga lihat Kalendar bagi hari hari yang disunatkan Puasa.

 

Dapatkan update terkini dunia pendidikan dan Menarik Melalui SGO!!!

Follow kami di Telegram | Facebook | Forum