
Hantar Murid Sakit Ke Klinik Bukan Tugas Guru!!!. Ramai ibu bapa yang tidak tahu mengenai ini dan guru tidak peka mengenai hal ini. Di sekolah murid-murid berhadapan dengan pelbagai kemungkinan untuk sakit atau cedera. Jadi, guru sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan kes seperti ini terutamanya guru yang bertugas.
Guru selalu melakukan kesilapan yang tidak disedari. Apabila murid sakit atau cedera guru bertugas akan hantar murid ke klinik atau hospital tanpa menghubungi ibu bapa mereka. Sebenarnya tindakan ini SALAH dan tidak boleh diamalkan oleh guru. Hal ini kerana tanggungjawab itu adalah tanggungjawab ibu bapa melainkan mendapat persetujuan daripada mereka.
Sebelum guru menghantar mereka ke hospital, guru perlu menghubungi ibu bapa mereka terlebih dahulu untuk memaklumkan anak mereka sakit. Guru perlu mengarahkan ibu bapa mengambil anak mereka untuk dihantar ke klinik.
Sekiranya ibu bapa mereka tidak dapat hadir, guru perlu meminta kebenaran daripada ibu bapa murid untuk membawa mereka ke klinik. Kebenaran secara lisan atau bertulis perlu ada. Kebenaran bertulis lagi selamat kerana jika berlaku sesuatu kepada anak mereka, ibu bapa tidak boleh salahkan guru. Almaklumlah, zaman sekarang zaman ibu bapa mencari kesalahan guru dan menyaman guru.
Sebenarnya bukan pihak sekolah mahu lepas tangan tetapi ini adalah prosedur yang perlu diikuti. Terdapat ibu bapa yang menyoalkan kenapa guru tidak menghantar sahaja anak mereka ke klinik dan beranggapan bahawa guru mahu lepas tangan dan saja mahu menyusakan ibu bapa. Ini dilakukan atas dasar prosedur yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Guru perlu akur melainkan ada kes kecemasan yang tidak dapat menunggu ibu bapa murid seperti serangan jantung.
Sekiranya ada apa-apa berlaku semasa guru menghantar murid ke klinik, ibu bapa tidak boleh salahkan guru kerana telah meminta kebenaran daripada mereka. Cuma, isu yang boleh dibangkitkan ialah keberadaan guru semasa insiden itu berlaku. Ada dua istilah penting iaitu ‘kemalangan’ dan ‘kecuaian’ seperti cerita guru membaling kerusi kepada muridnya. Jika guru ada semasa kejadian, ia kemalangan. Jika guru tiada semasa kejadian, ia kecuaian. Sebab tu kita cikgu-cikgu tak boleh lewat masuk kelas hatta 10 saat sekalipun. Risau jadi benda macam ini.

Peranan Guru
- Menjaga keselamatan murid dengan rapi semasa di dalam atau di luar bilik darjah.
- Bertanggungjawab mengeluar, mengguna dan menyimpan alat-alat sukan walaupun boleh dibantu oleh murid.
- Guru-guru  mestilah  mengawasi  dan  peka  terhadap  keselamatan murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum dan sukan.
- Guru-guru hendaklah memastikan semua alat sukan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum digunakan.
- Setiap murid perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari ibu bapa atau  penjaga  dan  pengetua  atau  guru  besar  untuk  mengambil bahagian di dalam sukan dan aktiviti kokurikulum di luar sekolah.
- Keselamatan dan kebajikan murid perlu diberi keutamaan seperti makanan dan minuman dan lain-lain lagi.
- Guru  hendaklah  mengiringi  murid  dalam  semua  aktiviti  di  luar kawasan sekolah. Sekiranya terdapat murid perempuan, seorang guru wanita hendaklah mengiringi pasukan tersebut.
- Kesihatan murid perlu diberi perhatian dan diambil kira.
- Murid   yang   mempunyai   penyakit   kronik   tidak   boleh   dipaksa mengambil bahagian.
- Bagi   semua   aktiviti   lasak,   murid-murid   dikehendaki   menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu.
- Murid-murid   yang   cedera,   semput   atau   lelah (asthma) tidak dibenarkan mengambil bahagian.
Rujuk Pekeliling SPI 01/1995 dan SPI 09/2000 berkaitan panduan keselamatan diri murid semasa pengajaran pendidikan jasmani dan kesihatan serta kegiatan kokurikulum dan sukan di dalam dan di luar kawasan sekolah.
Kesimpulan
Kesimpulannya, anak anda tanggungjawab anda. Pihak sekolah hanya boleh bawa ke hospital dengan kebenaran ibu bapa. Kedengaran seperti mementingkan diri tetapi itulah kebenarannya. Perlu diketahui juga setiap pelajar dilindungi skim insuran takaful (Rujuk Pekeliling Ikhtisas Bil: 3/1995).
Jangan lupa sertai kami di Telegram | Facebook