Lima Ciri Guru Idaman Pelajar

Lima Ciri Guru Idaman Pelajar
Lima Ciri Guru Idaman Pelajar

Lima Ciri Guru Idaman Pelajar, apakah ciri-ciri itu? Sebagai guru kita sering mahukan pelajar menjadi seorang yang berjaya. Perangai dan perwatakan pelajar selalu menjadi perhatian guru. Guru akan senang dengan pelajar yang mempunyai ciri-ciri yang bagus.

Pernahkah guru terfikir bahawa murid juga sentiasa menilai guru yang mengajar mereka? Jika guru mahukan murid yang mempunyai ciri-ciri yang bagus begitu juga dengan murid yang mahukan guru mereka memahami mereka. Setiap murid pasti mempunyai guru yang mereka suka disebabkan oleh penampilan dan cara guru itu menyampaikan ilmu.

Pelajar suka pada guru yang mudah tersenyum. Lebih menyenangkan lagi jika senyuman guru itu diselangi dengan sapaan ‘Awak apa khabar?’; ‘Sakit perut dah ok?’; ‘Kalau ada masalah, boleh datang jumpa cikgu’; ‘Mak ayah sihat ke? Lama cikgu tak jumpa diorang’.

Guru perlu mesra dan sentiasa tersenyum

Guru yang sering bertanya khabar dan suka berbual-bual dengan pelajar dikatakan menjadi kesayangan murid dan pelajar. Ia akan menjadi ‘guru favourite’ sekiranya guru itu tepati masa, komited dengan tugas, kecindan (suka berjenaka), kurang membebel, ajar sampai faham, ambil berat dan sebagainya.

Apa Kata Pakar?

Pakar Motivasi, Jumat Mat Salleh berkata, bukan mudah untuk memenangi hati pelajar dan bukan sesuatu yang sukar untuk membuatkan mereka suka pada kita.

“Saya melihat, seorang guru itu bukan sahaja perlu mempersiapkan diri dari segi faktor luaran seperti penampilan diri, berkelakuan sopan dan menjaga tingkah laku sahaja, sebaliknya guru juga perlu mempelajari pedagogi alaf baru yang sesuai dengan keperluan pelajar masa kini,” katanya.

Merupakan Pengarah Eksekutif Richmind Legacy Sdn Bhd, Jumat atau lebih dikenali Cikgu Jumat berkata, warga guru perlu ‘buang’ beberapa sikap yang menyebabkan mereka tidak disukai pelajar.

“Kikis sikap ‘moody’ anda, jangan membebel, suka merajuk, malas mengajar, penting diri, selekeh, tak masuk kelas dan macam-macam ciri buruk lain. Jika anda masih kekalkan sikap sebegini, pelajar tidak dapat rasai keseronokan belajar dalam kelas,” jelasnya.

5 Ciri Guru Idaman Pelajar

Cikgu Jumat Mat Salleh juga telah memberi 5 ciri yang perlu ada pada guru bagi memastikan guru disukai oleh murid. Jika guru disukai secara tidak langsung murid akan lebih senang untuk belajar.

1. Kenal Pasti Jenis Pelajar

Sebagai seorang guru, kita seharusnya mengenal pasti jenis pelajar yang terdapat dalam kelas kita. Kita perlu mengenali mereka agar mudah merancang pedagogi pengajaran dalam kelas. Di samping itu, ia membantu guru untuk lebih dekat dan memahami tingkah laku pelajar dalam kelas. Bagaimana caranya?

Saya kongsikan anda dengan satu cara yang mudah untuk mengenal jenis pelajar menggunakan ‘Personaliti VAK’.

Bagaimana yang dimaksudkan dengan personaliti VAK? Seorang guru tidak perlu meminta pelajar untuk mengisi borang ujian personaliti, cuma melalui pemerhatian anda dalam kelas sahaja.

(V) merupakan kategori pelajar VISUAL

(A) merupakan kategori pelajar AUDITORI

(K) merupakan kategori pelajar KINESTETIK

Pelajar kategori VISUAL (V) ini adalah pelajar yang mudah tertarik dengan perkara yang mampu dilihat misalnya bergambar, berwarna dan paparan video. Ciri-ciri pelajar ini seperti memakai pakaian dengan kemas, selalu ingin kelihatan cantik, sering menggunakan perkataan “Saya Nampak, Saya Tengok, Saya Perhati”, dan suka perhatian.

Manakala, pelajar kategori AUDITORI (A) ini adalah pelajar sangat sensitif dengan bunyi. Lazimnya merupakan pelajar pendiam dan pemalu. Ciri-ciri pelajar ini seperti seorang yang tak banyak cakap, fokus ketika cikgu sedang mengajar dan selalu menggunakan perkataan “Saya dengar”.

Pelajar kategori KINESTETIK (K) pula merupakan pelajar paling aktif dalam kelas, dan kebiasaannya sukar duduk di satu tempat sahaja. Ciri-ciri pelajar ini seperti seorang yang suka menggerak-gerakkan kaki, suka bermain dengan pen dan suka menggunakan perkataan “Saya rasa, saya suka”.

Setiap pelajar mempunyai ketiga-tiga kategori di atas, namun pasti ada kategori yang lebih dominan dan mampu anda kenal pasti berdasarkan ciri-ciri yang saya jelaskan di atas.

Dengan mengenal pasti jenis pelajar, ia memudahkan cikgu untuk tackle atau menarik minat mereka berdasarkan cara pendekatan sesuai mengikut jenis pelajar. Pengaruh anda sebagai guru akan lebih terserlah apabila mampu menarik minat kesemua pelajar itu nanti.

2. Guna Alat Bantu Mengajar Yang Sesuai

Zaman persekolahan zaman dahulu berbeza dengan masa kini. Zaman dulu, guru hanya baca buku dan pelajar salin semula apa yang guru baca, dalam erti kata lain guru tidak menggunakan alat bantu mengajar selain buku teks.

Namun hari ini, zaman pemodenan telah menghakis minat pelajar untuk belajar kerana belajar tidak seseronok bermain video games atau menonton televisyen dan melayari Internet.Justeru, guru harus berusaha keras mengajar secara kreatif, misalnya membawa alat bantu mengajar sesuai ketika sesi pembelajaran dalam kelas bagi menarik minat mereka.

Pada tip pertama tadi saya telah menjelaskan bagaimana mengenal pasti jenis pelajar anda. Ini akan memudahkan kerja anda sebagai guru dengan memilih alat bantu mengajar yang sesuai mengikut jenis pelajar masing-masing.

Pelajar VISUAL (V), alat bantu yang sesuai adalah sesuatu yang boleh dilihat misalnya kadbod bergambar, tayangan video dan pembelajaran di luar kelas.

Manakala pelajar AUDITORI (A) lebih tertarik kepada muzik latar yang boleh dimainkan untuk menarik minat mereka. Namun perlu  berhati-hati kerana pelajar ini tidak suka suasana yang terlalu bising.

Seterusnya, pelajar KINESTETIK (K), pelajar jenis ini sukakan pergerakan jadi anda kena berikan tugasan kepada mereka agar mereka sendiri yang selesaikan misalnya minta pelajar lukiskan, lakarkan, bentuk kumpulan, membuat pembentangan atau membina menara.

Alat-alat bantu ini sangat sesuai untuk meningkatkan pengaruh anda kerana ia memang menarik minat pelajar untuk mendalami apa yang mereka belajar. Pedagogi ini sangat sesuai dengan sistem pembelajaran abad ke-21 (Teacher Centered to Student Centered Learning).

Namun, ini bukan bermakna anda kena buat semua perkara di atas setiap kali mengajar. Saya cadangkan, sebaik-baiknya sebulan sekali mesti ada aktiviti yang menarik minat pelajar dengan alat bantuan mengajar tadi.

ABM yang sesuai

3. Masukkan Elemen Mengajar Yang Unik

Pelajar mempunyai satu sifat umum iaitu sukakan perkara yang baru. Justeru itu, setiap guru haruslah sentiasa cuba membawa benda-benda baru yang unik dalam sesi pembelajaran.
Saya berikan contoh, mungkin kalau anda ingin mengajar tentang sejarah Hang Tuah di Melaka, maka mungkin anda boleh berpakaian seperti seorang pendekar yang lengkap dengan tengkolok ataupun replika keris.

Jika anda hendak mengajar tentang Sains, mungkin anda boleh bawa kiub ais dalam bekas untuk pelajar rasai, dan perhatikan bagaimana ais tersebut boleh mencair (Learning Experience).

Dalam erti kata lain, jangan mengajar hanya bergantung kepada satu sumber sahaja iaitu buku teks, kerana apa yang ada dalam buku teks adalah sesuatu yang pegun, tak boleh dilihat atau dirasai.

Dengan adanya elemen-elemen unik yang guru masukkan dalam kelas, pasti akan lebih menarik minat pelajar untuk sentiasa ternanti-nantikan kelas akan datang kerana mereka akan tertunggu-tunggu keunikan yang bakal anda bawa. Pada ketika itu,  sebenarnya rasa suka pelajar terhadap guru sudah berada pada tahap yang cukup tinggi.
Jadi guru yang disukai, Variasi sikap guru menjadikan sekolah itu ‘cantik’, harmoni.

4. Komunikasi Dua Hala

Ilmu komunikasi adalah salah satu elemen penting untuk menjadi guru yang disukai pelajar. Komunikasi tidak terbatas kepada apa yang kita tuturkan sahaja, ia termasuklah cara berpakaian, tingkah laku atau bahasa badan, eye contact, lantunan suara, bahasa isyarat dan kesediaan kita mendengar.

Sebab itu seorang guru yang mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi sangat digemari pelajar, kerana mereka selesa berinteraksi dengan guru tersebut.

Usaha guru membantu murid membaca

5. Berhenti Saat Mereka Ingin Tahu

Apabila pelajar tidak minat dengan subjek yang mereka belajar, mereka sering lewat masuk kelas, selalu nak ke tandas dan tidur dalam kelas. Jadi, jika anda mahu mereka sentiasa datang awal ke kelas, anda perlu masukkan tip kelima ini. Berhenti saat mereka ingin tahu.

Misalnya lima minit terakhir ketika anda mengajar, masukkan sedikit previu topik yang anda ingin ajar di kelas akan datang.  Jadi, selepas anda ceritakan sedikit mukadimah yang menarik minat mereka, sila berhenti saat itu. Katakan kepada mereka, ‘kalau nak tahu apa yang berlaku dan apakah proses seterusnya, datang awal ke kelas akan datang’.

Kaedah ini sangat berkesan untuk melatih pelajar agar terus bersemangat datang kelas pada awal waktu sebab anda tinggalkan mereka dengan persoalan. Ini kerana, secara semula jadinya pelajar mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi.

Konklusinya, seorang guru yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik anak bangsa pasti berusaha agar disukai pelajar. Ia bukanlah untuk meraih populariti mahupun didorong oleh dasar lain, melainkan hendak melihat generasi ini menjadi insan cerdik pandai dan bersahsiah murni.

Kesimpulan

Disini sebagai seorang guru kita perlu mengamalkan 5 tips ini supaya kita disenangi oleh murid dan pelajar. Guru sebenarnya tidak perlu menjadi seorang guru yang garang sekiranya guru pandai kawal kelas dan membuat aktiviti yang kreatif.

Selain itu, guru tidak boleh terlalu serius di dalam kelas sehingga pelajar takut untuk mendekati guru dan untuk bertanyakan soalan. Guru perlu menerapkan unsur kecindang supaya murid akan menjadi lebih mesra dengan guru. Proses penajaran dan pembelajaran juga akan menjadi lebih mesra dan harmoni.

Penampilan guru seperti cara berpakaian juga mempengaruhi minat murid untuk belajar. Hal ini kerana guru yang kemas memberi pandangan yang positif kepada murid dan pelajar. Mereka juga akan cuba untuk menjadi seperti guru berkenaan.

Akhir kata, terima kasih SGO ucapkan kepada semua kerana terus menyokong kami. SGO doakan agar guru-guru menjadi guru yang disukai murid dan berjaya dalam mendidik anak bangsa.

 

Jangan lupa sertai kami di Telegram | Facebook | Forum