Kerusi “Terbang”, Murid Jadi Mangsa

HHJ
Murid Jadi Mangsa

Kerusi “terbang”, Murid Jadi Mangsa itulah berita yang menjadi bualan rakyat Malaysia. Tindakan guru di Penampang Sabah, yang membaling kerusi  kepada murid menimbulkan kemarahan ibu bapa. Tindakan seperti ini tidak wajar dilakukan oleh guru kepada murid kerana banyak lagi cara yang lebih baik digunakan untuk menegur murid.

Inilah yang dikatakan kerana nilai setitik rosak susu sebelanga. Tindakan guru ini benar-benar telah merosakkan nama guru. Tindakan melampau ini telah memberi kemudaratan kepada murid. Apakah kesudahan dengan tindakan seperti ini? Adakah murid akan berubah?

Peristiwa ini perlu dijadikan ikhtibar kepada semua guru supaya tidak bertindak mengikut emosi kerana buruk padahnya. Kes ini telah menjadi kes jenayah kerana telah mencederakan murid. Kes ini masih menjadi sisatan pihak polis.

Guru Baling Kerusi, Kepala Murid Dijahit 8 Jahitan

KOTA KINABALU: Seorang guru di Panampang hilang sabar terhadap seorang murid lelaki Tahun Dua yang membuat bising di dalam kelasnya.Guru tersebut telah meminta murid berkenaan supaya diam, namun arahannya itu tidak diendahkan.

Sebaik sahaja guru tersebut mendekatinya, pelajar lelaki itu terus melarikan diri.
Ia menyebabkan guru tersebut naik marah dan membaling kerusi kayu untuk menghalang pelajar tersebut daripada terus berlari.Namun malang sekali, kerusi yang dibaling itu terkena kepala pelajar tersebut yang menyebabkan luka dan terpaksa dikenakan lapan jahitan.

Ibu bapa pelajar tersebut telah dimaklumkan mengenai insiden itu dan seterusnya membuat laporan polis.Ibu pelajar itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wanie, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan pihak sekolah telah menelefonnya lebih kurang pukul 9.30 pagi.

“Saya terkejut dan takut. Saya terus ke hospital dan bercakap dengan guru sebelum pergi ke balai polis untuk membuat laporan,” jelasnya.

Selepas berbincang panjang lebar dengan guru dan pegawai-pegawai pendidikan, termasuk dari Jabatan Pelajaran Sabah, Wanie memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap guru itu.

“Saya dan suami telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang kerana ingin memberi peluang kedua kepada guru itu,” katanya, sambil menambah guru itu telah memohon maaf di atas tindakannya.

Bagaimanapun, dia berharap tindakan disiplin yang lebih ketat perlu dikenakan kepada guru tersebut sebagai peringatan dan pengajaran kepada guru-guru lain.Pelajar tersebut yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Pengarah Jabatan Pendidikan, Datuk Maiminah Suhaibul berkata guru yang terlibat dalam kejadian itu telah diarahkan supaya berhenti mengajar buat masa sekarang.

“Dia kini bekerja di pejabat pendidikan daerah sehingga kami membuat keputusan tindakan seterusnya,” katanya.

Penampang 210417
Kepala murid luka kena 8 jahitan

Sumber: mStar

Guru Stress

Kejadian ini berlaku mungkin kerana guru telah hilang sabar dengan tingkahlaku murid. Guru ini mengalami stress atau kemurungan. Guru yang normal tidak akan melakukan perkara seperti ini. Namun yang demikian, siasatan perlu dibuat supaya keadilan dapat dibuktikan.

Kerja luar norma guru yang terlalu banyak telah menyebabkan tugas hakiki guru iaitu mengajar telah terganggu. Guru perlu membuat pelbagai perkara dan pada masa yang sama perlu memikirkan kandungan atau aktiviti yang hendak diajar kepada murid.

Guru yang tidak dapat kawal emosi akan menjadi stress. Oleh yang demikian, ini akan mempengaruhi tindakan dan tingkah laku guru. Guru akan bertindak di luar kawalan sehingga menyebabkan kemudaratan kepada murid.

Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mengkaji balik beban tugas guru. Sesetengah tugas tidak masuk akal untuk dilakukan oleh seorang guru seperti guru aset. Guru aset perlu mengukur setiap bangunan dan melaporkan secara online di MYSpata. Tugas ini sama kerja seperti arkitek.

Disekolah seharusnya menggunakan sistem seperti di hospital. Setiap bahagian ada pekerja yang uruskan. Sekiranya semua doktor yang uruskan sudah pasti ramai nyawa yang tidak dapat diselamatkan. Guru juga tugas yang penting seperti doktor, jika doktor selamatkan nyawa, guru pula menyelamatkan bangsa daripada tidak berpendidikan.

Cara Mengatasi Stress

Antara cara mengatasi stress yang boleh diamalkan oleh guru ialah:

  1. Mengatur masa dengan teliti

Disebabkan kerja yang banyak, guru perlu merancang masa dengan baik supaya tidak stress dalam membuat kerja. Sekiranya guru menangguh kerja, kerja akan menjadi lebih banyak. Kerja lama belum selesai datang kerja yang baru. Hal ini akan menyebabkan guru akan stress. Oleh yang demikian, guru perlu merangka jadual masa yang terancang bagi memastikan kerja dapat dibuat tepat pada masanya dan tiada penangguhan kerja.

2. Cuba Untuk Sentiasa Bertenang

Guru perlu mengawal kemarahan dengan bertenang seketika. Sebagai contoh, sekiranya murid membuat tingkahlaku negatif, guru perlu keluar kelas seketika untuk tenangkan fikiran dan mengambil nafas supaya tidak mengikut perasaan marah dan murid akan jadi mangsa.

3. Mengelakkan diri daripada perkara yang membawa kepada stress

Sekiranya tugas yang diberikan kepada guru terlalu banyak atau guru tidak tahu untuk menjalankan tugas itu, seharusnya guru perlu berbincang dengan pihak pentadbir supaya guru tidak stress. Apabila guru tidak tahu menjalankan tugas itu dengan baik, pihak pentadbir akan marah dan ini akan menyebabkan guru menjadi stress. Lebih baik jika guru berbincang terlebih dahulu dengan pihak pentadbir sebelum menerima tugasan.

4.  Jangan campur urusan peribadi dengan urusan kerja

Guru seharusnya meninggalkan masalah keluarga di luar pintu pagar sekolah. Masalah keluarga boleh menyebabkan guru kemurungan dan tindakan diluar jangkaan akan berlaku sekiranya guru tidak dapat mengawal. Terdapat banyak kes guru kemurungan dan membuat tindakan diluar jangkaan seperti kes di atas.

Oleh yang demikian, sebagai seorang guru kita perlu untuk mengawal emosi kerana pelanggan kita adalah murid iaitu manusia. Sekiranya tidak, pelbagai peristiwa yang akan berlaku yang melibatkan nyawa. Guru perlu memikirkan kesan buruk sekiranya bertindak di luar kawalan.

SGO mendoakan agar tidak semua guru yang akan bertindak seperti ini. Uruslah emosi dengan baik agar kita dapat mendidik anak bangsa dengan jalan yang betul. Ikhlaskan hati dalam mendidik anak bangsa seperti kita mendidik anak sendiri.

Akhir kata, SGO mengucapkan ribuan terima kasih kerana sentiasa menyokong kami. Membangunkan pendidikan di Malaysia adalah tanggungjawab bersama.

Jangan lupa sertai kami di Telegram | Facebook | Forum