Salahkah Cikgu Memberi Kerja Sekolah Kepada Murid?

Download Pelbagai Bahan untuk Guru di Sini

"SGO Web Pendidikan No.1 di Malaysia Rujukan Guru, Murid dan Ibu Bapa"

whatsapp sistem guru online sgoDapatkan Update SGO Melalui Whatsapp

salahkah-guru-beri-keja-sekolah-kepada-murid
salahkah-guru-beri-keja-sekolah-kepada-murid

Salahkah cikgu memberi kerja sekolah kepada murid? Menjadi satu kebiasaan cikgu akan memberi kerja sekolah kepada murid pada setiap hari. Hal ini bagi meningkatkan lagi kefahaman murid terhadap satu tajuk yang telah diajar. Selain itu, bagi memberi latih tubi kepada murid supaya murid tidak cepat lupa apa yang telah di ajar.

Namun yang demikian, cikgu berhadapan dengan murid yang selalu tidak menyiapkan kerja rumah. Hal ini berlaku mungkin kerana murid terlalu  penat dengan pelbagai aktiviti, kerja rumah terlalu banyak sehingga tidak cukup masa atau memang murid itu malas untuk siapkan.

Adakah kerja sekolah ini berkesan untuk meningkatkan kefahaman murid terhadap sesuatu tajuk? Adakah murid siapkan semua kerja sekolah yang diberikan? Sekiranya murid tidak laksanakan perlukah guru menghukum mereka? wajarkah guru bertindak sedemikian? ini persoalan yang sentiasa akan bermain dibenak setiap guru.

Cikgu Tidak Boleh Paksa Murid Buat Kerja sekolah?                 

(Ulasan Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah)

Kerja sekolah masih dianggap membebankan pelajar manakala bagi pihak guru, kerja sekolah dianggap satu kemestian.Dolak-dalik mengenai kerja sekolah yang tidak pernah selesai ini akhirnya mengundang konflik dan polemik dunia pendidikan negara.

Ketua Jabatan Kepimpinan dan Polisi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Izham Mohd Hamzah berkata, pelaksanaan kerja sekolah oleh pelajar seharusnya dilihat dari pelbagai perspektif bagi mengelak salah faham banyak pihak.

Beliau berkata, kerja sekolah memang sinonim dengan pelajar, namun ia juga boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan guru bagi kebaikan golongan sasaran (pelajar).

“Definisi kerja sekolah itu sendiri boleh membawa pelbagai maksud iaitu dari sudut positif atau negatif bergantung kepada perkara utama yang disasarkan.

“Misalnya dari sudut negatif, kerja sekolah nampak membebankan namun dari sudut positif, ia boleh dijadikan pemangkin bagi memperkukuh dan memperbaiki kelemahan pelajar.

“Pelbagai penafsiran boleh diberikan mengenai kepentingan kerja sekolah kepada pelajar mengikut kriteria keperluan. Cuma jangan sampai mengganggu dan menimbulkan konflik lain,” katanya.

Beliau berkata, keperluan melaksanakan kerja sekolah tertakluk dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada pihak pelaksana seperti sekolah dan guru sejak 10 tahun lalu.

“Menerusi surat pekeliling pada 2004 itu, kerja sekolah adalah satu tuntutan yang perlu diberikan kepada pelajar sebagai salah satu cara pengukuhan atau memperkayakan pemahaman pelajar.

“Selain itu, ia turut menyasarkan objektif lain seperti meneruskan kesinambungan pembelajaran di kelas, mengisi masa senggang pelajar dan meningkatkan kemahiran melalui latihan pemulihan.

“Jika melihat pada objektifnya, kerja sekolah memang penting kerana ia dilaksanakan bukan atas dasar ‘mendera’ golongan itu,” katanya.

Namun, walaupun kerja sekolah satu keutamaan yang perlu diberikan kepada murid, guru tidak boleh memaksa atau menggunakan bentuk fizikal seperti rotan.

“Jika menggunakan hukuman seperti itu, ia salah dan lari daripada matlamat sebenar pelaksanaan kerja sekolah itu.

“Hukuman berbentuk fizikal, apatah lagi melampaui batas tidak dibenarkan walau apa jua alasannya kerana ia di luar batas norma sistem pendidikan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan pelaksanaan ‘hukuman’ dilakukan kerana kurangnya maklumat guru atau sekolah mengenai polisi kerja sekolah.

“Dalam modul pengajian, bagi bakal guru, tiada modul khusus disediakan sebagai garis panduan untuk mereka melaksanakan pemberian tugasan kerja sekolah kepada pelajar.

“Yang banyak ditekankan ialah mengenai etika dan cara pembelajaran, namun terlepas pandang aspek keperluan etika kerja sekolah.

“Kekurangan maklumat atau pendedahan sebagai garis panduan itulah mewujudkan isu tidak diingini mengenai kerja sekolah,” katanya.

Ditanya pandangannya, adakah satu kesalahan besar jika pelajar enggan membuat kerja sekolah, beliau berkata, ia bukan kesalahan serius yang memerlukan mereka diberi hukuman keterlaluan.

Menurutnya, tidak menyiapkan kerja sekolah bukan satu kesalahan disiplin dari sudut sistem pendidikan normal, namun ketegasan perlu ada supaya pelajar sedar bahawa membuat kerja sekolah itu ada kebaikannya.

“Saya tidak kata tangan guru terikat dalam isu ini sebab memberi kerja sekolah juga sebahagian cara membantu pelajar memperbaiki prestasi mereka.Kebolehan pelajar yang berbeza memerlukan satu mekanisme digunakan bagi meningkatkan pencapaian.Melalui kerja sekolah, pelajar yang lemah boleh dibantu untuk meningkatkan pencapaian mereka,” katanya.

Namun jika pelajar enggan atau tidak mampu menyiapkan kerja sekolah, beliau berkata, guru boleh bertegas dan mencari punca mengapa mereka gagal melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Adalah melanggar hak pelajar jika guru terus memberikan hukuman tanpa mencari punca pelajar gagal menyiapkan kerja sekolah diberikan.Mungkin ada penyebabnya seperti kekangan masa, keletihan, kurangnya kefahaman dan sebagainya. Guru perlu menyelidik sebelum bertindak ke fasa seterusnya.Tidak adil jika terus memberikan hukuman. Tidak kira sama ada guru atau pelajar, jangan jadikan isu kerja sekolah sebagai satu konflik besar,” katanya.

Ditanya adakah jika guru bersikap ‘tidak apa’ terhadap pelajar yang enggan membuat kerja sekolah seperti memanjakan golongan itu, beliau berkata, ini bukan soal manja atau tidak sebaliknya menjurus kepada sikap toleransi.

“Tanggungjawab guru adalah memberi kerja sekolah dan memastikan pelajar membuatnya.Namun jika pelajar enggan, guru tidak boleh dipersalahkan kerana bidang kuasa mereka ada hadnya.Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan meletakkan kesalahan pada guru,” katanya.

Beliau berharap agar pertikaian mengenai kerja sekolah tidak berpanjangan hingga mengganggu banyak aspek lain.

“Yang menjadi keutamaan ialah melahirkan pelajar berjaya, seimbang serta mampu menjadi generasi boleh dibanggakan.Wujudkan keharmonian dalam sistem pendidikan dan jauhi konflik,” katanya.

Daripada ulasan ini, dapat disimpulkan bahawa cikgu berhak memberi kerja sekolah tetapi tidak berhak untuk menghukum murid yang tidak menyiapkan kerja sekolah. Sebaliknya, cikgu perlu mencari jalan penyelesaian. Sebelum mengenakan hukuman cikgu perlu soal dahulu kenapa mereka tidak siapkan, bukan mengenakan hukuman tanpa usul periksa.

Sesetengah cikgu telah bosan untuk memberi kerja sekolah. Hal ini kerana kerja yang diberi tidak disiapkan dan boleh mengundang kemarahan. Sekiranya cikgu tidak dapat mengawal tindakan seperti denda akan dilaksanakan.

kesimpulannya disini, Memberi kerja sekolah terpulang kepada cikgu. Cikgu hanya harus beringat bahawa hukuman bukan cara yeng terbaik dalam memberi pengajaran kepada murid yang tidak siapkan kerja sekolah.

Terima kasih dan teruskan menyokong sgo.

 

Jangan lupa sertai kami di Telegram | Facebook |