
Assalamualaikum dan salam sejahtera Kaki buli akan digantung sekolah 6 bulan kerana kejadian buli di sekolah merupakan masalah disiplin yang sukar dibanteras, dan ia mungkin membawa kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Kajian yang dijalankan di sekolah-sekolah Malaysia menunjukkan ego, cepat marah, balas dendam, rasa seronok, pengaruh mereka yang lain serta elemen perkauman antara punca di sebalik kejadian buli.
Setiap hari terdapat pelajar yang takut untuk ke sekolah kerana kuathir akan dibuli, satu kesan negatif dalam kehidupan pelajar. Di Malaysia, beberapa siri kejadian buli di sekolah-sekolah menunjukkan masalah ini perlu diberi perhatian serius.
Contohnya, kes pelajar sekolah di Kuala Lipis, Pahang, yang mengalami kecederaan teruk tulang belakang selepas di sepak terajang oleh sekumpulan pelajar tingkatan 3 dan 5 menggunakan kasut kadet polis.
Dalam satu lagi kes di Batu Pahat seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan organ dalaman selepas dipukul sekumpulan pelajar senior; kemudian berlaku pula kejadian seorang pelajar dipukul mati di asrama, dan dalam kejadian terbaru seorang pelajar dipaksa melutut di hadapan seorang lagi pelajar kerana dituduh menjatuhkan kalkulatornya.

Institusi sekolah terutama sekolah berasrama sering menjadi medan sebilangan pelajar menunjukkan dominasi dan senioriti sehingga sanggup mencederakan pelajar lebih bawah daripada mereka. Aksi tendang terajang serta ala ahli gusti dipertontonkan untuk menunjukkan kekuatan dan pelajar baru menjadi mangsa.
Perbuatan salah laku itu menyebabkan kecederaan, koma, patah tulang sehingga ada yang meninggal dunia disebabkan perlakuan buli di asrama dan sekolah. Ironinya, kejadian buli juga turut dilaporkan membabitkan sekolah yang telah diberi gred berprestasi tinggi.Lebih menyedihkan lagi, laporan kejadian buli turut berlaku dalam kalangan pelajar Melayu-Islam di sekolah aliran agama yang sepatutnya menjadi teladan kepada pelajar lain.
Bagi pembuli, niat mereka hanya semata-mata untuk menunjukkan kekuatan mereka, sementara ada pula yang beranggapan inilah satu-satunya cara untuk menunjukkan kehebatan mereka. Juga rasa rendah diri dikaitkan dengan perbuatan buli, di mana mereka yang kurang keyakinan diri menjadikan mereka yang lebih lemah sebagai mangsa mereka.

Disebabkan kes buli semakin meningkat, Menteri Pendidikan , Datuk Seri Mahdzir Khalid telah memutuskan pelajar yang terbabit dengan kes buli boleh digantung persekolahan sehingga enam bulan.
6 Bulan Gantung Sekolah bagi Kaki Buli
Menteri Pendidikan berkata dokumen penguatkuasaan yang memberi kuasa kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah menggantung kaki buli itu sudah ditandatangani.
“Saya menandatangani dokumen itu semalam bagi membenarkan tindakan menggantung persekolahan sehingga enam bulan dan pemulihan dilaksanakan.
“Berdasarkan dokumen itu, ketua buli akan dikenakan penggantungan enam bulan manakala rakan lain lapan minggu atau mengikut budi bicara Jawatankuasa Disiplin yang menyiasat kes terbabit.
“Dalam tempoh penggantungan, pelajar terbabit akan menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak mengikut tempoh ditetapkan,” ucapan Menteri Pendidikan dalam majlis dialog bersama Menteri Pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pelajar perempuan tingkatan satu di Petaling Jaya yang menerima empat jahitan di kepala akibat dibelasah dua pelajar tingkatan tiga, Khamis lalu.

Diharapkan kes buli akan berkurangan dengan adanya tindakan seperti ini. Ibu bapa dan guru perlu lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh pelajar.
kredit kepada BH Online.
Jangan lupa sertai kami di Telegram | Facebook |