Ibu Bapa “Menegakkan Benang Yang Basah”,Guru DikenakanTindakan Undang-Undang

guru kena tindakan undang-undang, ibubapa tegakkan benang yang basah
guru kena tindakan undang-undang, ibubapa tegakkan benang yang basah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Guru diambil Tindakan Undang Undang  setelah dituduh membelasah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Omar. Pelajar berkenaan tidak memakai pakaian kemas dan mendakwa dibelasah guru disiplin sehingga bengkak di kepala pada 8 Februari yang lalu.

Ibu bapa pelajar berkenaan tetap mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap guru itu walaupun telah didapati maklumat yang disampaikan oleh anak mereka itu palsu. Pelajar berkenaan mengakui dia tidak diperlakukan sedemikian, sebaliknya hanya diluku di dahi kerana memberontak.

Yang Dipertua Persatuan PIBG Sekolah berkenaan, Mohd Najib Abu Bakar berkata, melalui mesyuarat khas antara kesemua pihak isnin lalu, pelajar itu telah mengakui bahawa dia sendiri tidak berpakaian kemas ketika datang ke sekolah. YDP PIBG juga berharap keluarga pelajar terbabit tidak memanjangkan perkara itu kerana ia sudah diselesaikan melalui mesyuarat muafakat, isnin lalu.

Namun yang demikian, inilah yang dikatakan menegakkan benang yang basah, ibu bapa pelajar berkenaan tetap mahu meneruskan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang.  Ibunya, Zatul Suzellah Omar, 37, berkata pihaknya menyerah kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan terhadap guru terbabit sebelum kes berkenaan dibawa ke peringkat pendakwaan.

Menurutnya, keputusan meneruskan tindakan undang-undang ini bertujuan memberi pengajaran kepada guru terbabit meskipun pihaknya bersama wakil sekolah, PPD, JPN sudah mengadakan mesyuarat muafakat sebelum ini.

Ketua polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin pula berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, dalam masa terdekat.

Apa motif sebenar ibu bapa pelajar ini? Sudah terang lagi bersuluh bahawa anak mereka telah mereka cerita di belasah oleh guru disiplin tetapi tetap mahu mengambil tindakan undang-undang. Masalah ini sebenarnya boleh diselesaikan secara baik melalui perbincangan semua pihak. Inilah contoh ibu bapa yang sengaja mencari kesalahan guru dan sangat berbangga dapat mendakwa guru. Mungkin juga ibu bapa ini gila glomour.

Inilah nasib guru, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Sekiranya, anak tidak berjaya dan tidak berdisiplin guru juga akan dipersalahkan. Sekiranya guru mengambil tindakan, ibu bapa pula yang tidak puas hati. Jadi apa yang guru boleh lakukan sekiranya ibu bapa sendiri telah berpihak kepada anak mereka.

Zaman telah banyak berubah. Guru sekarang tidak lagi dipandang mulia oleh ibu bapa malah dipandang hina. Ibu bapa tidak lagi memandang ke arah postitif tetapi hanya memandang ke arah negatif. Disebabkan hal seperti ini kebanyakkan guru sudah malas mahu mengambil tahu mengenai sahsiah pelajar mereka, cukup hanya menjalankan tanggungjawab mengajar.

Guru-guru diluar sana perlu lebih berhati-hati dalam mengenakan sebarang tindakan kepada pelajar. Elakkan daripada menyentuh pelajar. Pendekatan kaunseling lebih sesuai digunakan dan yang selebihnya biar pihak atasan yang mengambil tindakan. Guru hanyalah pemudahcara biarlah orang atasan iaitu guru besar atau pengetua yang memberi hukuman kepada pelajar berkenaan.

Selagi niat kita itu benar, In sya Allah Tuhan akan sentiasa bersama kita. Sama-samalah kita semua berdoa agar kebenaran akan diketahui juga. Semoga kerjaya guru terus dipandang mulia oleh masyarakat diluar sana.

Apa pandangan anda semua?
Jangan lupa sertai kami di Telegram | Facebook |