![]() |
CEPAT! Tukar KWSP Simpanan Konvensional kepada KWSP Simpanan Syariah Sebelum Habis Kuota RM100billion Tahun 2017. Kalau dah habis kuota, tunggu kuota 2018 pula |
Penerangan Ringkas KWSP Simpanan Syariah
1. Pendaftaran bermula Isnin 8/8/16 pada jam 8:15am di semua pejabat atau cawangan KWSP.
2. Hanya kena bawa bersama IC. Lain dokumen tidak diperlukan.
3. Tuan badan kena hadir sendiri, kerana ada akad dan turun cap jari.
4. Proses pengeluaran Simpanan Shariah masih sama macam Simpanan Konvensional dulu.
5. Walaupun sudah daftar mulai 8/8/16, tarikh kuatkuasa Simpanan Shariah hanya akan bermula pada 1/1/17 (tahun depan).
6. Hanya RM100 billion dana diperuntukkan untuk Simpanan Shariah tahun 2017. Sebab tu kena cepat daftar. Kalau dah habis kuota RM100 billion ni, kena tunggu peruntukkan dana untuk tahun 2018 pula.
7. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (18 Ogos 2015) dan Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) telah memutuskan KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke Simpanan Shariah.
Maknanya, 100% duit KWSP yang ada sekarang dalam akaun kita, boleh dipindahkan terus ke Simpanan Shariah. Walau bagaimanapun, kalau masih ada yang nak buat “penyucian” dividen, boleh ikut garis panduan penyucian dividen yang akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS), insya-Allah pada WorkWeek 32.
Penerangan Secara Details KWSP Simpanan Syariah
Pengenalan KWSP Simpanan Syariah
SIMPANAN KONVENSIONAL | SIMPANAN SHARIAH | |
---|---|---|
KEAHLIAN | Terbuka kepada semua yang wajib dan layak mencarum tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara | |
AKAD | Tidak tertakluk kepada sebarang akad | Tertakluk kepada Akad Simpanan Shariah berdasarkan akad Wakalah |
KADAR DIVIDEN | Kadar dividen adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan konvensional(pelaburan tidak patuh Syariah dan patuh Syariah). | Kadar dividen adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah dan tiada jaminan kadar dividen minimum |
PERAKUAN JAWATANKUASA PENASIHAT SHARIAH (JKPS) | Tidak tertakluk kepada perakuan JKPS | Diperakukan oleh JKPS |
PERTUKARAN AKAUN | Ahli boleh memilih untuk bertukar ke Simpanan Shariah | Ahli tidak boleh untuk memilih untuk kembali ke Simpanan Konvensional selepas tarikh kuat kuasa |
Ciri-ciri KWSP Simpanan Syariah
- Apakah ciri-ciri utama Simpanan Shariah?
- Semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara boleh memilih Simpanan Shariah;
- Simpanan Shariah diuruskan dan dilaburkan berdasarkan Akad Wakalah di mana Lembaga KWSP dilantik dan diamanahkan untuk bertindak bagi pihak ahli untuk menguruskan dan melaburkan simpanan ahli mengikut Syariah;
- Simpanan Shariah diperakukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah, KWSP;
- Kadar dividen yang akan diisytiharkan untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah yang diuruskan dan dilaburkan oleh KWSP; dan
- Ahli KWSP yang memilih Simpanan Shariah tidak boleh membatalkan pilihannya selepas tarikh kuat kuasa dan kembali ke Simpanan Konvensional.
- Bolehkah ahli KWSP mempunyai dua akaun KWSP – Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah?
Tidak, ahli KWSP hanya boleh mempunyai satu akaun sahaja sama ada Simpanan Konvensional atau Simpanan Shariah. - Apakah itu Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) dan siapakah Ahli JKPS?
JKPS adalah sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Lembaga KWSP di bawah seksyen 23A Akta KWSP 1991. JKPS merupakan pihak berkuasa bagi penentuan perkara Syariah dalam memastikan pengurusan Simpanan Shariah mematuhi prinsip Syariah.
JKPS hendaklah dianggotai oleh tidak kurang daripada tiga orang yang berkelayakan dalam bidang Syariah atau yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman dalam bidang Syariah dan perbankan, kewangan, undang-undang atau apa-apa disiplin lain yang berkaitan.
Cara Pendaftaran KWSP Simpanan Syariah
Ahli perlu hadir ke mana-mana kaunter KWSP bermula 8.8.2016 dan membawa bersama Mykad atau Pasport (untuk bukan warganegara) untuk pengesahan identiti ahli. Ahli perlu menyerahkan dokumen pengenalan diri dan menurunkan cap ibu jari pada Akad Simpanan Shariah yang telah dicetak. Buat masa ini, pendaftaran secara atas talian tidak disediakan.
Bagaimanakah tarikh kuat kuasa ditentukan?
Tarikh kuat kuasa bagi ahli yang telah membuat pilihan Simpanan Shariah adalah tertakluk kepada:
Peruntukan dana patuh Syariah tahunan yang akan diperolehi oleh ahli berdasarkan giliran; danApa-apa syarat lain yang ditentukan oleh Lembaga KWSP.Tarikh kuat kuasa pilihan adalah pada 1 Januari mengikut tahun peruntukan dana patuh Syariah tahunan yang diluluskan kepada ahli.Apabila pendaftaran Simpanan Shariah telah memenuhi kuota dana yang diperuntukkan pada tahun tersebut, ahli yang telah membuat pilihan Simpanan Shariah tetapi belum berjaya memperolehi peruntukan dana tersebut, perlu menunggu peruntukan dana patuh Syariah tahunan seterusnya.
Bagaimanakah cara untuk saya mengetahui jika permohonan saya untuk memilih Simpanan Shariah telah berjaya?
Permohonan ahli yang berjaya akan menerima Notis dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) pengesahan tarikh kuat kuasa tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh kuat kuasa pilihan Simpanan Shariah.
Sekiranya ahli tidak menerima sebarang makluman berkenaan tarikh kuat kuasa ianya disebabkan oleh:
- Kuota dana patuh Syariah yang diperuntukkan telah dipenuhi dan ahli masih dalam senarai menunggu; dan/atau
- Maklumat perhubungan ahli tidak dikemaskini.
- Sebarang pertanyaan, sila hubungi:
- Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922-6000;
- atauLayari www.kwsp.gov.my.
Caruman KWSP Simpanan Syariah
- Jika akaun saya ialah Simpanan Shariah, adakah penyata tahunan saya akan berbeza?
Tidak, ahli akan menerima penyata tahunan yang sama. Penyata tahunan tersebut akan menyatakan status akaun ahli dan tarikh kuat kuasa Simpanan Shariah. - Bolehkah saya mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun?
Ya, ahli boleh mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun.
Majikan bagi KWSP Simpanan Syariah
- Adakah saya perlu memaklumkan kepada majikan sekiranya saya membuat pilihan Simpanan Shariah?
Tidak, ahli tidak perlu memaklumkan kepada majikan sekiranya ahli memilih Simpanan Shariah. - Adakah majikan perlu membuat pembayaran caruman secara berasingan untuk pekerja mereka yang membuat pilihan Simpanan Shariah?
Tidak, majikan tidak perlu membuat pembayaran caruman secara berasingan untuk pekerja yang memilih Simpanan Shariah. - Adakah majikan perlu mengisi Borang A secara berasingan? Adakah terdapat borang yang khusus untuk majikan?
Tidak, majikan hanya perlu mengisi Borang A seperti proses yang sedia ada dan tiada borang tambahan atau perubahan yang perlu dibuat oleh majikan. - Adakah terdapat peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah baru yang harus dipatuhi oleh majikan berkenaan caruman jika pekerja mereka ingin membuat pilihan Simpanan Shariah?
Tidak, majikan adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah caruman yang sedia ada. - Adakah terdapat sebarang kos tambahan yang akan dikenakan terhadap majikan sekiranya pekerja mereka ingin membuat pilihan Simpanan Shariah?
Tidak, tiada sebarang kos tambahan akan dikenakan ke atas majikan sekiranya pekerja mereka ingin memilih Simpanan Shariah.Adakah terdapat sebarang caj yang akan dikenakan kepada majikan yang gagal membayar caruman? - Caj yang akan dikenakan kepada majikan yang gagal mencarum samada pekerja-pekerjanya memilih Simpanan Shariah atau tidak adalah seperti berikut:
- Caj lewat bayar: Kadar dividen terendah antara Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi setiap tahun berkenaan dengan ditambah 1%. (“Caj lewat bayar” menggantikan “faedah”)
- Dividen: Kadar dividen terendah antara kadar dividen Simpanan Konvensional dan kadar dividen Simpanan Shariah.
Sebelum ada kadar dividen Simpanan Shariah, kadar dividen KWSP yang diisytiharkan bagi setiap tahun berkenaan hendaklah dirujuk bagi pengiraan caj lewat bayar dan dividen
Pengeluaran Wang bagi KWSP Simpanan Syariah
- Adakah saya dibenarkan untuk menggunakan wang pengeluaran saya daripada Simpanan Shariah untuk membayar pinjaman perumahan konvensional atau terhad kepada pinjaman perumahan Islamik sahaja?
Ya, ahli dibenarkan untuk menggunakan wang pengeluaran untuk pembiayaan pinjaman perumahan konvensional dan Islamik; tertakluk kepada syarat pengeluaran perumahan yang berkuat kuasa. - Adakah terdapat sebarang perubahan terhadap pemindahan wang di bawah pengeluaran Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) atau yang sedia ada?
Ahli masih tertakluk kepada proses pemindahan wang di bawah pengeluaran Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) yang berkuat kuasa. Tetapi, bagi ahli yang memilih Simpanan Shariah ahli hanya dibenarkan melabur dalam dana patuh Syariah yang diluluskan oleh KWSP. - Adakah dana-dana amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) termasuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) patuh Syariah? Adakah ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pelaburan di dalam dana amanah yang diuruskan oleh ASNB?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 telah memutuskan hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. Ahli Simpanan Shariah boleh merujuk kepada Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan penasihat Syariah yang dilantik oleh IPD bagi mendapatkan penjelasan mengenai pematuhan Syariah mana-mana dana patuh Syariah yang tersenarai. Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP tidak akan memberi sebarang perakuan ke atas mana-mana dana patuh Syariah yang tersenarai. - Adakah ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pengeluaran kesihatan bagi tujuan pembayaran kepada Rumah Penjagaan yang dikendalikan oleh bukan Islam?
Ya, ahli Simpanan Shariah dibenarkan membuat pengeluaran kesihatan bagi tujuan tersebut dan ianya tidak bertentangan dengan Syariah.
Pelaburan KWSP Simpanan Syariah
- Apakah konsep pelaburan yang diguna pakai oleh KWSP ketika ini?
Strategi pelaburan KWSP adalah berteraskan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan objektif pelaburannya untuk:- Melindungi nilai wang simpanan ahli
- Memberi nilai tambah kepada wang simpanan ahli.
KWSP mematuhi prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan polisi pelaburan yang melarang KWSP daripada melabur di dalam sektor-sektor yang menggalakkan perjudian, hiburan dewasa dan alkohol/arak atau membuat, mengedar dan memasarkan senjata api atau peralatan ketenteraan.Di samping itu, KWSP tidak mempunyai sebarang pendedahan dalam negara yang tiada hubungan diplomasi dengan Malaysia. - Bagaimanakah KWSP memastikan Simpanan Shariah yang bakal ditawarkan kekal statusnya sebagai patuh Syariah?
KWSP akan mewujudkan rangka kerja tadbir urus Syariah yang komprehensif bagi memastikan operasi dan aktiviti pelaburan Simpanan Shariah mematuhi garis panduan dan parameter pelaburan patuh Syariah yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS). Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) juga akan memberikan pernyataan dan laporan pematuhan Syariah berkaitan Simpanan Shariah bagi setiap tahun kewangan sebagai sebahagian daripada keperluan tadbir urus korporat KWSP.
Syariah KWSP Simpanan Syariah
- Sekiranya saya memilih Simpanan Shariah, adakah akaun saya perlu disucikan dari sebarang pendapatan tidak patuh Syariah?
Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) telah memutuskan pertukaran ke Simpanan Shariah dikecualikan daripada penyucian dividen. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah diadakan pada 18 Ogos 2015 juga telah memutuskan KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke Simpanan Shariah. Walau bagaimanapun, sekiranya ada ahli yang ingin melakukan penyucian dividen secara individu, ahli boleh melakukannya dengan merujuk kepada garis panduan penyucian dividen yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS). - Adakah terdapat sebarang perubahan terhadap polisi penamaan bagi Simpanan Shariah?
Penamaan bagi ahli Simpanan Shariah adalah sama seperti polisi penamaan yang sedia ada termasuklah penama bagi ahli beragama Islam, hanyalah bertindak sebagai wasi/pentadbir yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Syariah manakala penama bagi ahli bukan beragama Islam adalah pemilik mutlak/benefisiari, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS). - Adakah KWSP akan membuat pembayaran zakat untuk simpanan ahli? Adakah ahli perlu membayar zakat selepas membuat pengeluaran Simpanan Shariah? Adakah kadar dividen yang diagihkan telah dikenakan zakat?
KWSP tidak akan mengeluarkan zakat ke atas simpanan KWSP ahli termasuk dividen kerana ahli KWSP tidak mempunyai pemilikan sempurna terhadap simpanan KWSP mereka yang merupakan salah satu syarat wajib mengeluarkan zakat.
Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) memutuskan pemilikan sempurna ahli KWSP ke atas simpanannya adalah apabila simpanan tersebut layak dikeluarkan dan boleh digunakan oleh ahli tanpa sebarang sekatan. Ahli KWSP beragama Islam wajib mengeluarkan zakat ke atas simpanan KWSP yang layak dikeluarkan sekiranya mencapai nisab (kadar minimum yang bersamaan dengan nilai semasa 85 gram emas).
Jenis-jenis pengeluaran yang tertakluk kepada pembayaran zakat adalah:- Pengeluaran Umur 50 Tahun
- Pengeluaran Umur 55 Tahun
- Pengeluaran Meninggalkan Negara
- Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan
- Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta