Mengenali Hanan Al-Hroub GURU TERBAIK DUNIA dari Palestin

Mengenali Hanan Al-Hroub GURU TERBAIK DUNIA dari Palestin
Mengenali Hanan Al-Hroub GURU TERBAIK DUNIA dari Palestin

Assalamualaikum.

Sebelum ini SGO telah mengetengahkan isu Pandangan Anda (GURU) : Perlukah Group WhatsApp Sekolah dibuat Khas Untuk Guru & Ibubapa? dan pastinya lain orang lain pandangannya.

Tetapi kali ini SGO ingin berkongsi sesuatu yang sangat-sangat menarik, bermotivasi dan perlu kita sebagai guru jadikan sebagai penanda aras atau contoh untuk kita ikuti iaitu mengenai Hanan Al-Hroub yang telah dipilih sebagai GURU TERBAIK DUNIA.

Hanan Al-Hroub, seorang guru di Samiha Khalil High School, Al-Bireh,
Tebing Barat, di pinggir Ramallah, Palestin, yang hidup dalam suasana
penuh ujian, tetapi berhati mulia, bukan seperti sesetengah yang sudah
mewah, tetapi masih menyamun.

Pada 13 Mac lalu, Hanan, yang membesar dalam kem pelarian di
Baitulaham, di mana dia sentiasa terdedah kepada kekejaman, diumumkan
oleh Pope Francis sebagai pemenang Varkey Foundation Global Teacher
Prize 2016.

Ia adalah di bawah naungan Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum, Naib
Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu, yang juga Pemerintah
Dubai.

Menurut cerita Hanan, beliau memilih menjadi guru selepas anak-anaknya
jadi trauma setelah menyaksikan kejadian tembakan semasa balik dari
sekolah di mana suaminya sendiri cedera.
Slogan No to Violence dan pendekatannya melalui bukunya We Play and
Learn telah mengurangkan tabiat ganas dalam kalangan murid yang terkesan
dengan suasana kekejaman dan keganasan di sekeliling mereka.

“Kita (guru) mampu mengubah masa depan,” laung Hanan, sebaik diumumkan sebagai guru terbaik dunia di Dubai.

Rakyat Palestin membanjiri jalan di bandar Jericho, Tebing Barat, untuk
menyambut kepulangan wirawati mereka, yang membawa bersamanya trofi dan
wang kemenangan AS$1 juta (RM4.2 milion).

Kain rentang di jalan raya di Jericho mengulangi kata-kata keramat
Hanan:

“Pelajaran adalah hak manusia dan ia adalah hak anak-anak kita
untuk menjalani kehidupan mereka sebagai kanak-kanak dalam suasana
aman”.

Hanan juga memperjelaskan tentang cogan katanya yang menekankan bahawa
kanak-kanak perlu belajar sambil bermain serta tidak didedahkan dengan
keganasan.

“Satu-satunya senjata kita ialah ilmu dan pelajaran,” katanya.

Tabik untuk Hanan. Memang sahih beliau bukan sekadar seorang guru yang
cekal, bijak, berani dan berketerampilan, malah beliau seorang insan
berhati mulia; satu dalam berjuta.

Dalam dunia yang sering dicemari manusia jelik yang suka curi dan samun
untuk memenuhi tembolok sendiri dan orang di keliling mereka, dalam
dunia yang didedah dengan keganasan dan kekejaman, wanita ini memaksa
jutaan manusia yang mengikuti kisahnya menitiskan air mata apabila
beliau membuat ikrar akan gunakan wang kemenangannya bagi membantu
pelajar-pelajar menjadi guru yang mampu meneruskan perjuangan menentang
keganasan.

Pesanan Hanan: “Kita, sebagai guru mampu mewujudkan nilai-nilai dan
moral dalam pemikiran anak-anak bagi menjamin dunia yang adil, dunia
yang lebih cantik dan dunia yang lebih bebas”. Aamiin!

Tuliskan Sesuatu. Tinggalkan Komen Anda.