TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK

 

 

SINOPSIS BUKU

Buku ini mengandungi kisah cinta antara dua
darjat hasil penulisan Hamka. Cinta Zainuddin seorang anak muda dengan Hayati
seorang anak gadis. Zainuddin adalah seorang anak yatim yang kematian ibu
semasa melahirkannya tetapi mempunyai seorang ayah yang sangat penyayang
membesar dan mendidiknya sejak kecil. Zainuddin telah dibesarkan di rantau
orang jauh dari kampung saudara mara ayah dan ibunya. Setelah ayahnya meninggal
dunia semasa dia mencapai umur dewasa, Zainuddin telah teringin untuk
mengembara mencari keturunan dan saudara mara ibu dan ayahnya di satu daerah jauh
dari tempat dia dibesarkan serta menunaikan hajat ayahnya yang meminta dia
mencari ilmu pengetahuan di luar daerah itu. Dia berharap suatu hari nanti dia
akan diterima saudara-mara kedua orang tuanya sebagai anak generasi keturunan
mereka. Apabila tiba masa yang dijanjikan Yang Maha Kuasa, Zainuddin berlayar
jauh dari tempat tumpah darahnya menuju ke Batipuh yang beradat minangkabau
kampung arwah ibunya.

      Selama
di tinggal di daerah keturunan ibunya, dia hanya dianggap sebagai penumpang
sahaja walaupun telah diberitahu tentang latarbelakang arwah ibunya. Dia terasa
begitu asing walaupun mengalir darah keturunan tempat itu dalam badannya kerana
penduduk dan saudara-maranya menganggap kedatangannya ke situ tiada membawa
untung tuah kepada mereka. Dia hidup bersendirian di kampung itu berbekalkan
wang yang diberi oleh pengasuhnya semasa di Mengkasar tempat tumpah darahnya.
Dia berusaha mencari pekerjaan untuk menampung kehidupannya di daerah itu.
Kerajinan dan budi bahasanya mendapat pujian dan sanjungan penduduk tetapi
tidak sampai menerima dia sebagai ahli keluarga.
  Sepanjang
menetap di daerah itu, Zainuddin telah tertarik dengan Hayati anak gadis
seorang penghulu kampung itu. Budi bahasa dan sikap dia juga mendapat tumpuan
daripada Hayati selepas peristiwa hujan lebat. Perasaan Zainuddin terhadap
Hayati telah diluahkan melalui penulisan surat-surat yang kemudiannya dihantar
ke tangan gadis itu. Semua penulisan dia telah mendapat respon positif.

      Namun
persahabatan mereka berdua telah ditentang oleh masyarakat kampung dan bapa
Hayati. Perhubungan mereka telah difitnah oleh masyarakat dengan pelbagai
tohmahan menyebabkan Hayati meminta supaya Zainuddin berpindah ke daerah lain
kerana tidak tahan mendengar umpatan masyarakat terhadap kekasihnya itu. Mereka
mempunyai pandangan bahawa Hayati anak orang berada (yang mempunyai bapa dan
keturunan yang kaya dan terkenal) tidak sesuai untuk berkawan atau berkahwin
dengan Zainuddin yang yatim piatu tidak mempunyai harta dan pekerjaan tetap
untuk menampung kehidupan berkeluarga. Tidak mungkin Zainuddin dapat memberi
kebahagiaan dan keselesaan kepada anak kesayangan mereka secukupnya.

   Terasa
berat bagi Zainuddin dan Hayati untuk berpisah tetapi mereka telah berpakat
untuk memandang perkara itu sebagai satu titik permulaan dalam kehidupan
membina kejayaan. Di Padang Panjang, Zainuddin telah memasuki sebuah sekolah
agama bagi menyambung hasrat ayahnya dahulu menimba ilmu sebanyak-banyaknya
dengan harapan suatu hari nanti dia mampu memiliki Hayati dan membina kerjaya
serta keluarga bahagia sebagaimana harapan ayah Hayati.
     Padang
Panjang adalah satu bandar yang membangun dengan kehidupan semakin moden amat
berbeza sekali dengan kampung Batipuh. Nilai-nilai murni yang di kampung tidak
dapat menandingi cara hidup di bandar itu. Bagi Zainuddin, dia masih boleh
menyesuaikan diri kerana lingkungan kehidupannya hanyalah di sekolah agama tersebut.
Setiap bulan dia pasti akan mengirim surat-surat cinta kepada Hayati dan mereka
akan saling bertukar surat. Perasaan membara di dalam hati Hayati untuk
berjumpa kekasihnya semakin menebal sehinggalah dia meminta bantuan kawan
karibnya, Khatijah yang tinggal berhampiran dengan Padang Panjang. Khatijah
adalah warga bandar yang hidup penuh dengan kemewahan setuju untuk membantu
Hayati bertemu dengan kekasihnya.
   Pada
malam pertemuan Zainuddin dengan Hayati di suatu tempat yang penuh dengan orang
berpesta, satu perasaan muncul dalam diri Zainuddin. Hayati dilihat telah
berubah dari segi pakaian dan penampilan. Hayati seperti telah dipengaruhi arus
moden kehidupan. Sedangkan Zainuddin sangat merindui Hayati dengan cara hidup
yang dahulu. Hayati yang dilihat sebegitu rupa oleh kekasihnya telah
menghilangkan diri dan berasa malu. Surat-surat peneguran Zainuddin telah
diterima Hayati tidak lama selepas itu.
  Susulan
daripada berkawan karib dengan rakan yang hidup di bandar, pandangan, perasaan,
penampilan Hayati telah berubah. Dia semakin ke arah cara hidup seperti
kawannya, Khatijah. Tambahan pula, selepas pertemuan Khatijah dengan Zainuddin,
dia seperti tidak menyenangi cara dan kehidupan Zainuddin. Khatijah dalam diam
membina hasrat untuk menjadikan rakannya Hayati, isteri kepada abangnya.
Abangnya iaitu Aziz seorang yang berkerjaya dan mempunyai kelebihan dari segi
kewangan.
  Hasrat
dan keinginan Khatijah mendapat lampu hijau daripada Aziz dan keluarga Hayati
dalam majlis peminangan. Walaupun Hayati masih mencintai Zainuddin tetapi dia
sangat memikirkan perasaan dan kehendak ayah dan keluarganya. Lamaran Zainuddin
yang tiba pada masa yang sama dengan majlis peminangan dengan Aziz telah
ditolak dengan perasaan yang berat.
Zainuddin yang pada masa itu sangat-sangat mencintai Hayati malah
menganggap dia adalah sumber inspirasi kehidupannya terpaksa menerima hakikat
bahawa kekasihnya telah meninggalkannya kerana kekurangan kedudukan, kewangan
dan segala-galanya. Untuk mengubati luka di hati, Zainuddin telah menganggap
Hayati seperti saudaranya sendiri yang mana tidak akan putus walau dicincang.
Padanya, Hayati perlu dibantu untuk tidak dianiayai oleh Aziz dan keluarganya.
Dia telah memohon pertolongan anak muridnya yang setia menyiasat latarbelakang
Aziz dan ternyata Aziz bukan seperti yang diharapkan.
   Saat
malam pernikahan Hayati dan Aziz, Zainuddin telah jatuh sakit sehingga tiada
doktor yang mampu menyembuhkannya. Hanya kuasa Tuhan telah menyembuhkannya
selepas kehadiran Hayati menziarahinya pada malam itu juga. Sebulan kemudian,
Zainuddin telah bertekad untuk melupakan Hayati dan meneruskan kehidupan sedaya
yang mampu bersama anak muridnya, Muluk. Dia telah mengembara dan memulakan
kehidupan yang baru di Tanah Jawa jauh dari bumi Batipuh bersama pembantu
setianya, Muluk. Di sana, Zainuddin masih juga tidak dapat menahan kesedihan,
kelukaan dan kehilangan yang amat sangat seperti tiada lagi nyawa sekadar jasad
sahaja di bumi. Atas nasihat lembut dan sopan Muluk, dia mampu mendapatkan
kembali kekuatan untuk hidup dengan meluahkan perasaan yang mendalam di atas
kertas iaitu melalui penulisan yang hebat auranya.
   Dia akan
menulis setiap kali perasaan itu datang dengan begitu mendalam dan setiap
karyanya akan dihantar ke pihak penerbitan. Karya penulisannya telah mendapat
perhatian editor surat khabar dan majalah untuk diterbitkan secara meluas di
merata tempat. Hasilnya ramai pembaca telah tertarik hati akan gaya bahasa dan
realiti cerita sebenar penulisan Zainuddin sehingga mereka menagih cerita
seterusnya setiap bulan. Secara ringkasnya, karya-karya Zainuddin mendapat
tempat di kebanyakan penerbitan dan dia mendapat upah yang lumayan hasil
daripada itu. Bukan itu sahaja, malah dia menjadi terkenal seluruh negara.
Kehidupannya sangat terhormat dan dilimpahi kekayaan dan keberkatan. Wang,
harta dan kedudukan telah menjadi hak miliknya sekarang.
   Suatu
malam dalam satu majlis pertemuan peminat, Aziz dan Hayati telah bertemu
Zainuddin yang telah berubah sepenuhnya dari segi penampilan, kewibawaan dan
profesyennya.Walaupun begitu Zainuddin melayan mereka seperti
peminat-peminatnya yang lain. Tiada dendam dan luahan diluahkan kepada mereka
berdua. Namun Tuhan Maha Kuasa telah memperlihatkan bagaimana kehidupan Hayati
dan suaminya Aziz yang sebenar-benarnya di depan mata Zainuddin. Hayati tidak
bahagia bersama Aziz dan kehidupan mereka menjadi muflis selepas Aziz
mengamalkan tabiat perjudian dan keseronokan di luar rumah. Rahsia dan
keburukan Aziz telah diketahui Hayati dan Zainuddin. Zainuddin telah membantu menyelesaikan
hutang dan menghantar Hayati pulang ke Batipuh setelah diceraikan oleh Aziz
melalui surat. Walaupun kelukaan yang lama masih ada tetapi Zainuddin mahu juga
membantu saudaranya pulang ke pangkuan keluarga.
   Hayati
yang masih menyimpan perasaan menyesal dan masih cintakan Zainuddin telah
berusaha mengorek rahsia bekas kekasihnya itu selepas dia berkahwin dengan
Aziz. Ternyata semua karya-karya penulisannya adalah hasil daripada ingatan
kuat terhadap dirinya. Lantas Hayati sangat-sangat sedih apabila dinasihati
oleh Zainuddin untuk pulang sahaja kepangkuan keluarga dan tiada menyambung
kembali percintaan yang telah musnah.
   Tatkala
Zainuddin mendapat tahu akan cinta Hayati terhadapnya masih kuat, Hayati telah
tenggelam bersama kapal Van Der Wijck dan menghembus nafas terakhir di pangkuan
Zainuddin. Cinta mereka berdua bersatu di syurga selepas Zainuddin menyusul
kemudiannya.

 

Hasil tinta minda AZIMAH MD DAHLAN dari SMK CONVENT BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG.