LAKSAMANA CHENG HO (PEMIMPIN ARMADA LAUTAN BARAT) oleh Cikgu Azimah Md Dahlan

SINOPSIS BUKU

Buku ini mengisahkan tentang sejarah dan asal usul Laksamana
Cheng Ho yang pernah terkenal dalam sejarah Melaka pada suatu masa dahulu. Ma
Ho adalah nama asal beliau dan keturunannya berasal dari Uzbek, Asia Tengah. Beliau
adalah seorang Islam sejak dilahirkan. Beliau mempunyai seorang ayah  bernama Haji Ma yang gagah berani
mempertahankan negara suatu masa dahulu sehinggalah saat kematiannya dibunuh
dihadapan anaknya itu oleh tentera yang menyerang kerajaan tersebut. Namun
beliau tidak pernah menyesal atau berasa kehilangan ayah dan ibunya ketika
tentera musuh mengambil segala-galanya daripada beliau. Semangat dan keimanan
yang ada dalam jiwa dan hatinya sangat kental terhadap Maha Pencipta iaitu
Allah. Beliau telah diajar bagaimana menjadi seorang mukmin yang berani,
kental, lasak dalam berperang tetapi lemah lembut serta tegas dalam pertuturan.
Beliau sentiasa ceria dan positif dalam menghadapi situasi sebagai tawanan
perang sehingga raja Zhu Yuanzhang dari Dinasti Ming yang mengetuai pertempuran
telah tertawan akan sikap dan budi bahasanya lantas menjadikannya teman rapat
baginda sepanjang pemerintahan baginda di China.

       Sejak hari itu, beliau telah dijadikan sebagai
salah seorang ahli istana yang sentiasa mendampingi raja tersebut yang juga
sebaya dengannya. Ke mana sahaja baginda pergi, beliau akan menyusul
bersama-sama atas permintaan baginda. Dalam ketika beliau bersama baginda,
banyak yang telah baginda belajar daripada beliau. Pada mata baginda, Ma Ho
adalah seorang yang tiada tolok bandingnya sebagai sahabat yang setia dan
sentiasa menjaga keselamatan baginda. Beliau sanggup mempertahankan wilayah
jajahan baginda bermati-matian sehingga baginda memperolehi tawanan jajahan
yang begitu luas sekali pada zaman baginda. Semua pelan dan rancangan penawanan
yang diusahakan adalah hasil daripada idea dan pendapat hebat Ma Ho. Kejayaan
demi kejayaan dalam strategi berperang, berdamai dan menawan wilayah digapai
oleh baginda selama Ma Ho menjadi teman setia. Baginda telah menyayangi beliau
melebihi segala-galanya sehingga sanggup menunaikan permintaan beliau bila-bila
masa sahaja. Kelebihan yang dikurniakan oleh baginda tidak dipersiakan di mana
beliau telah melengkapkan diri dengan menyemai tabiat mengkaji ilmu-ilmu
berfaedah dan menunaikan perintah agama serta tidak pernah tinggal solat
fardhu.

 

      Perkara ini berlarutan sehinggalah baginda berkahwin dengan seorang puteri raja. Permaisuri
yang menjadi pasangan baginda semakin cemburu melihat akan keakraban baginda
dan Ma Ho. Pelbagai rancangan telah dijalankan untuk memisahkan raja dan Ma Ho
oleh Permaisuri dan mereka yang kurang menyenangi Ma Ho.  Mulanya Permaisuri meminta agar nama Ma Ho
ditukar kepada Cheng Ho kerana mirip nama baginda permaisuri.  Kemudian mereka merancang untuk menghalau
keluar Ma Ho dari istana tersebut dan merampas kebahagiaannya. Namun raja yang
sudah tahu perkara ini telah mengambil jalan penyelesaian dengan menunaikan
permintaan  Cheng Ho untuk mencapai
impian dan cita-citanya pada suatu masa dahulu yang pernah diluahkan olehnya.
Baginda telah menyediakan banyak wang untuk persiapan Cheng Ho keluar daripada
negara tersebut menuju destinasi impian beliau. Cheng Ho seorang yang sangat
berwawasan telah membuat perancangan rapi, teliti dan sempurna ibarat seorang pemerintah
yang mahu memerintah negara (pada pandangan saya) selama setahun. Beliau telah
mengumpul ramai pakar-pakar penting dalam segenap bidang seperti pakar ekonomi,
pakar astronomi, pakar tumbuh-tumbuhan, pakar sejarah, pakar pembuat senjata,
pakar penulis, pakar perkapalan, pakar membuat kain sutera, pakar diplomasi,
pakar perubatan, pakar perniagaan dan sebagainya untuk sama-sama berbincang
serta bermesyuarat bagi melaksanakan rancangan pelayaran bersejarah  dan julung kalinya dalam negara dan dunia.
Genap tempoh setahun, terbina sebuah kapal armada pelayaran yang sangat besar,
dan lengkap dengan teknologi pada masa itu serta diiringi lebih kurang 300
kapal kecil mengiringi pelayaran beliau ke destinasi cemerlangnya. Beliau
berlayar bersama-sama dengan mereka yang satu impian murni lagi gemilang menuju
ke negara jiran China, Champa menyeberangi Lautan China Selatan,  menuju kepulauan Borneo dan  menyeberangi Lautan China Selatan terus ke
Kepulauan Jawa, Palembang, Temasik, Melaka, memasuki Laut Hindi, singgah di Sri
Lanka, India sebelum ke Tanah Arab dan Tanah Afrika.
    Setiap negara yang disinggahi Cheng Ho
menyambut baik kedatangan beliau serta diberi layanan terhormat kerana mereka
nampak kehebatan empayar Kerajaan China yang ternama itu. Banyak idea dan
pandangan yang dikongsi semasa persinggahan di tempat-tempat tersebut. Di
antaranya cara beliau menguruskan ternakan kuda dan tanaman di dalam kapal
berbekalkan baja guna semula. Belum ada pelayaran seagung itu berlaku di dunia.
Beliau telah digelar Laksamana Cheng Ho dan ditemani oleh beberapa orang
sahabat seagama dan berlainan agama. Namun sepanjang pelayaran beliau tidak
pernah tinggal solat dan ibadah. Pelayaran beliau akan singgah dan tidak akan
berlayar sehinggalah ditempatkan beberapa orang dan kapal pelayaran di situ
bagi memperluaskan persahabatan dan kerjasama antara negara tersebut.

 

   Sehebat beliau juga
pernah menempuhi rintangan apabila ketibaan beliau di India tidak mendapat
layanan yang baik dan beliau juga pernah diserang lanun semasa melalui jalan di
Selat Melaka. Semua rintangan tersebut diatasi dengan akal, ilham dan doa Allah
yang diperkenankan tatkala dimohon beliau. Kapal beliau juga telah pulang
dengan selamatnya menemui Maharaja China setelah berjaya mencapai apa yang dicitakan.
Hasil tinta minda Cikgu Azimah Md Dahlan dari SMK Convent Bukit Mertajam, Pulau Pinang.