Telegram Nota & Soalan

TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK



SINOPSIS BUKU

Buku ini mengandungi kisah cinta antara dua darjat hasil penulisan Hamka. Cinta Zainuddin seorang anak muda dengan Hayati seorang anak gadis. Zainuddin adalah seorang anak yatim yang kematian ibu semasa melahirkannya tetapi mempunyai seorang ayah yang sangat penyayang membesar dan mendidiknya sejak kecil. Zainuddin telah dibesarkan di rantau orang jauh dari kampung saudara mara ayah dan ibunya. Setelah ayahnya meninggal dunia semasa dia mencapai umur dewasa, Zainuddin telah teringin untuk mengembara mencari keturunan dan saudara mara ibu dan ayahnya di satu daerah jauh dari tempat dia dibesarkan serta menunaikan hajat ayahnya yang meminta dia mencari ilmu pengetahuan di luar daerah itu. Dia berharap suatu hari nanti dia akan diterima saudara-mara kedua orang tuanya sebagai anak generasi keturunan mereka. Apabila tiba masa yang dijanjikan Yang Maha Kuasa, Zainuddin berlayar jauh dari tempat tumpah darahnya menuju ke Batipuh yang beradat minangkabau kampung arwah ibunya.
      Selama di tinggal di daerah keturunan ibunya, dia hanya dianggap sebagai penumpang sahaja walaupun telah diberitahu tentang latarbelakang arwah ibunya. Dia terasa begitu asing walaupun mengalir darah keturunan tempat itu dalam badannya kerana penduduk dan saudara-maranya menganggap kedatangannya ke situ tiada membawa untung tuah kepada mereka. Dia hidup bersendirian di kampung itu berbekalkan wang yang diberi oleh pengasuhnya semasa di Mengkasar tempat tumpah darahnya. Dia berusaha mencari pekerjaan untuk menampung kehidupannya di daerah itu. Kerajinan dan budi bahasanya mendapat pujian dan sanjungan penduduk tetapi tidak sampai menerima dia sebagai ahli keluarga.
  Sepanjang menetap di daerah itu, Zainuddin telah tertarik dengan Hayati anak gadis seorang penghulu kampung itu. Budi bahasa dan sikap dia juga mendapat tumpuan daripada Hayati selepas peristiwa hujan lebat. Perasaan Zainuddin terhadap Hayati telah diluahkan melalui penulisan surat-surat yang kemudiannya dihantar ke tangan gadis itu. Semua penulisan dia telah mendapat respon positif.
      Namun persahabatan mereka berdua telah ditentang oleh masyarakat kampung dan bapa Hayati. Perhubungan mereka telah difitnah oleh masyarakat dengan pelbagai tohmahan menyebabkan Hayati meminta supaya Zainuddin berpindah ke daerah lain kerana tidak tahan mendengar umpatan masyarakat terhadap kekasihnya itu. Mereka mempunyai pandangan bahawa Hayati anak orang berada (yang mempunyai bapa dan keturunan yang kaya dan terkenal) tidak sesuai untuk berkawan atau berkahwin dengan Zainuddin yang yatim piatu tidak mempunyai harta dan pekerjaan tetap untuk menampung kehidupan berkeluarga. Tidak mungkin Zainuddin dapat memberi kebahagiaan dan keselesaan kepada anak kesayangan mereka secukupnya.
   Terasa berat bagi Zainuddin dan Hayati untuk berpisah tetapi mereka telah berpakat untuk memandang perkara itu sebagai satu titik permulaan dalam kehidupan membina kejayaan. Di Padang Panjang, Zainuddin telah memasuki sebuah sekolah agama bagi menyambung hasrat ayahnya dahulu menimba ilmu sebanyak-banyaknya dengan harapan suatu hari nanti dia mampu memiliki Hayati dan membina kerjaya serta keluarga bahagia sebagaimana harapan ayah Hayati.
     Padang Panjang adalah satu bandar yang membangun dengan kehidupan semakin moden amat berbeza sekali dengan kampung Batipuh. Nilai-nilai murni yang di kampung tidak dapat menandingi cara hidup di bandar itu. Bagi Zainuddin, dia masih boleh menyesuaikan diri kerana lingkungan kehidupannya hanyalah di sekolah agama tersebut. Setiap bulan dia pasti akan mengirim surat-surat cinta kepada Hayati dan mereka akan saling bertukar surat. Perasaan membara di dalam hati Hayati untuk berjumpa kekasihnya semakin menebal sehinggalah dia meminta bantuan kawan karibnya, Khatijah yang tinggal berhampiran dengan Padang Panjang. Khatijah adalah warga bandar yang hidup penuh dengan kemewahan setuju untuk membantu Hayati bertemu dengan kekasihnya.
   Pada malam pertemuan Zainuddin dengan Hayati di suatu tempat yang penuh dengan orang berpesta, satu perasaan muncul dalam diri Zainuddin. Hayati dilihat telah berubah dari segi pakaian dan penampilan. Hayati seperti telah dipengaruhi arus moden kehidupan. Sedangkan Zainuddin sangat merindui Hayati dengan cara hidup yang dahulu. Hayati yang dilihat sebegitu rupa oleh kekasihnya telah menghilangkan diri dan berasa malu. Surat-surat peneguran Zainuddin telah diterima Hayati tidak lama selepas itu.
  Susulan daripada berkawan karib dengan rakan yang hidup di bandar, pandangan, perasaan, penampilan Hayati telah berubah. Dia semakin ke arah cara hidup seperti kawannya, Khatijah. Tambahan pula, selepas pertemuan Khatijah dengan Zainuddin, dia seperti tidak menyenangi cara dan kehidupan Zainuddin. Khatijah dalam diam membina hasrat untuk menjadikan rakannya Hayati, isteri kepada abangnya. Abangnya iaitu Aziz seorang yang berkerjaya dan mempunyai kelebihan dari segi kewangan.
  Hasrat dan keinginan Khatijah mendapat lampu hijau daripada Aziz dan keluarga Hayati dalam majlis peminangan. Walaupun Hayati masih mencintai Zainuddin tetapi dia sangat memikirkan perasaan dan kehendak ayah dan keluarganya. Lamaran Zainuddin yang tiba pada masa yang sama dengan majlis peminangan dengan Aziz telah ditolak dengan perasaan yang berat.
   Zainuddin yang pada masa itu sangat-sangat mencintai Hayati malah menganggap dia adalah sumber inspirasi kehidupannya terpaksa menerima hakikat bahawa kekasihnya telah meninggalkannya kerana kekurangan kedudukan, kewangan dan segala-galanya. Untuk mengubati luka di hati, Zainuddin telah menganggap Hayati seperti saudaranya sendiri yang mana tidak akan putus walau dicincang. Padanya, Hayati perlu dibantu untuk tidak dianiayai oleh Aziz dan keluarganya. Dia telah memohon pertolongan anak muridnya yang setia menyiasat latarbelakang Aziz dan ternyata Aziz bukan seperti yang diharapkan.
   Saat malam pernikahan Hayati dan Aziz, Zainuddin telah jatuh sakit sehingga tiada doktor yang mampu menyembuhkannya. Hanya kuasa Tuhan telah menyembuhkannya selepas kehadiran Hayati menziarahinya pada malam itu juga. Sebulan kemudian, Zainuddin telah bertekad untuk melupakan Hayati dan meneruskan kehidupan sedaya yang mampu bersama anak muridnya, Muluk. Dia telah mengembara dan memulakan kehidupan yang baru di Tanah Jawa jauh dari bumi Batipuh bersama pembantu setianya, Muluk. Di sana, Zainuddin masih juga tidak dapat menahan kesedihan, kelukaan dan kehilangan yang amat sangat seperti tiada lagi nyawa sekadar jasad sahaja di bumi. Atas nasihat lembut dan sopan Muluk, dia mampu mendapatkan kembali kekuatan untuk hidup dengan meluahkan perasaan yang mendalam di atas kertas iaitu melalui penulisan yang hebat auranya.
   Dia akan menulis setiap kali perasaan itu datang dengan begitu mendalam dan setiap karyanya akan dihantar ke pihak penerbitan. Karya penulisannya telah mendapat perhatian editor surat khabar dan majalah untuk diterbitkan secara meluas di merata tempat. Hasilnya ramai pembaca telah tertarik hati akan gaya bahasa dan realiti cerita sebenar penulisan Zainuddin sehingga mereka menagih cerita seterusnya setiap bulan. Secara ringkasnya, karya-karya Zainuddin mendapat tempat di kebanyakan penerbitan dan dia mendapat upah yang lumayan hasil daripada itu. Bukan itu sahaja, malah dia menjadi terkenal seluruh negara. Kehidupannya sangat terhormat dan dilimpahi kekayaan dan keberkatan. Wang, harta dan kedudukan telah menjadi hak miliknya sekarang.
   Suatu malam dalam satu majlis pertemuan peminat, Aziz dan Hayati telah bertemu Zainuddin yang telah berubah sepenuhnya dari segi penampilan, kewibawaan dan profesyennya.Walaupun begitu Zainuddin melayan mereka seperti peminat-peminatnya yang lain. Tiada dendam dan luahan diluahkan kepada mereka berdua. Namun Tuhan Maha Kuasa telah memperlihatkan bagaimana kehidupan Hayati dan suaminya Aziz yang sebenar-benarnya di depan mata Zainuddin. Hayati tidak bahagia bersama Aziz dan kehidupan mereka menjadi muflis selepas Aziz mengamalkan tabiat perjudian dan keseronokan di luar rumah. Rahsia dan keburukan Aziz telah diketahui Hayati dan Zainuddin. Zainuddin telah membantu menyelesaikan hutang dan menghantar Hayati pulang ke Batipuh setelah diceraikan oleh Aziz melalui surat. Walaupun kelukaan yang lama masih ada tetapi Zainuddin mahu juga membantu saudaranya pulang ke pangkuan keluarga.  
   Hayati yang masih menyimpan perasaan menyesal dan masih cintakan Zainuddin telah berusaha mengorek rahsia bekas kekasihnya itu selepas dia berkahwin dengan Aziz. Ternyata semua karya-karya penulisannya adalah hasil daripada ingatan kuat terhadap dirinya. Lantas Hayati sangat-sangat sedih apabila dinasihati oleh Zainuddin untuk pulang sahaja kepangkuan keluarga dan tiada menyambung kembali percintaan yang telah musnah.
   Tatkala Zainuddin mendapat tahu akan cinta Hayati terhadapnya masih kuat, Hayati telah tenggelam bersama kapal Van Der Wijck dan menghembus nafas terakhir di pangkuan Zainuddin. Cinta mereka berdua bersatu di syurga selepas Zainuddin menyusul kemudiannya.


Hasil tinta minda AZIMAH MD DAHLAN dari SMK CONVENT BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG.

Related Posts

TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
4/ 5
Oleh