Telegram Nota & Soalan

LAKSAMANA CHENG HO (PEMIMPIN ARMADA LAUTAN BARAT) oleh Cikgu Azimah Md Dahlan


SINOPSIS BUKU

Buku ini mengisahkan tentang sejarah dan asal usul Laksamana Cheng Ho yang pernah terkenal dalam sejarah Melaka pada suatu masa dahulu. Ma Ho adalah nama asal beliau dan keturunannya berasal dari Uzbek, Asia Tengah. Beliau adalah seorang Islam sejak dilahirkan. Beliau mempunyai seorang ayah  bernama Haji Ma yang gagah berani mempertahankan negara suatu masa dahulu sehinggalah saat kematiannya dibunuh dihadapan anaknya itu oleh tentera yang menyerang kerajaan tersebut. Namun beliau tidak pernah menyesal atau berasa kehilangan ayah dan ibunya ketika tentera musuh mengambil segala-galanya daripada beliau. Semangat dan keimanan yang ada dalam jiwa dan hatinya sangat kental terhadap Maha Pencipta iaitu Allah. Beliau telah diajar bagaimana menjadi seorang mukmin yang berani, kental, lasak dalam berperang tetapi lemah lembut serta tegas dalam pertuturan. Beliau sentiasa ceria dan positif dalam menghadapi situasi sebagai tawanan perang sehingga raja Zhu Yuanzhang dari Dinasti Ming yang mengetuai pertempuran telah tertawan akan sikap dan budi bahasanya lantas menjadikannya teman rapat baginda sepanjang pemerintahan baginda di China.
       Sejak hari itu, beliau telah dijadikan sebagai salah seorang ahli istana yang sentiasa mendampingi raja tersebut yang juga sebaya dengannya. Ke mana sahaja baginda pergi, beliau akan menyusul bersama-sama atas permintaan baginda. Dalam ketika beliau bersama baginda, banyak yang telah baginda belajar daripada beliau. Pada mata baginda, Ma Ho adalah seorang yang tiada tolok bandingnya sebagai sahabat yang setia dan sentiasa menjaga keselamatan baginda. Beliau sanggup mempertahankan wilayah jajahan baginda bermati-matian sehingga baginda memperolehi tawanan jajahan yang begitu luas sekali pada zaman baginda. Semua pelan dan rancangan penawanan yang diusahakan adalah hasil daripada idea dan pendapat hebat Ma Ho. Kejayaan demi kejayaan dalam strategi berperang, berdamai dan menawan wilayah digapai oleh baginda selama Ma Ho menjadi teman setia. Baginda telah menyayangi beliau melebihi segala-galanya sehingga sanggup menunaikan permintaan beliau bila-bila masa sahaja. Kelebihan yang dikurniakan oleh baginda tidak dipersiakan di mana beliau telah melengkapkan diri dengan menyemai tabiat mengkaji ilmu-ilmu berfaedah dan menunaikan perintah agama serta tidak pernah tinggal solat fardhu.

      Perkara ini berlarutan sehinggalah baginda berkahwin dengan seorang puteri raja. Permaisuri yang menjadi pasangan baginda semakin cemburu melihat akan keakraban baginda dan Ma Ho. Pelbagai rancangan telah dijalankan untuk memisahkan raja dan Ma Ho oleh Permaisuri dan mereka yang kurang menyenangi Ma Ho.  Mulanya Permaisuri meminta agar nama Ma Ho ditukar kepada Cheng Ho kerana mirip nama baginda permaisuri.  Kemudian mereka merancang untuk menghalau keluar Ma Ho dari istana tersebut dan merampas kebahagiaannya. Namun raja yang sudah tahu perkara ini telah mengambil jalan penyelesaian dengan menunaikan permintaan  Cheng Ho untuk mencapai impian dan cita-citanya pada suatu masa dahulu yang pernah diluahkan olehnya. Baginda telah menyediakan banyak wang untuk persiapan Cheng Ho keluar daripada negara tersebut menuju destinasi impian beliau. Cheng Ho seorang yang sangat berwawasan telah membuat perancangan rapi, teliti dan sempurna ibarat seorang pemerintah yang mahu memerintah negara (pada pandangan saya) selama setahun. Beliau telah mengumpul ramai pakar-pakar penting dalam segenap bidang seperti pakar ekonomi, pakar astronomi, pakar tumbuh-tumbuhan, pakar sejarah, pakar pembuat senjata, pakar penulis, pakar perkapalan, pakar membuat kain sutera, pakar diplomasi, pakar perubatan, pakar perniagaan dan sebagainya untuk sama-sama berbincang serta bermesyuarat bagi melaksanakan rancangan pelayaran bersejarah  dan julung kalinya dalam negara dan dunia. Genap tempoh setahun, terbina sebuah kapal armada pelayaran yang sangat besar, dan lengkap dengan teknologi pada masa itu serta diiringi lebih kurang 300 kapal kecil mengiringi pelayaran beliau ke destinasi cemerlangnya. Beliau berlayar bersama-sama dengan mereka yang satu impian murni lagi gemilang menuju ke negara jiran China, Champa menyeberangi Lautan China Selatan,  menuju kepulauan Borneo dan  menyeberangi Lautan China Selatan terus ke Kepulauan Jawa, Palembang, Temasik, Melaka, memasuki Laut Hindi, singgah di Sri Lanka, India sebelum ke Tanah Arab dan Tanah Afrika.
    Setiap negara yang disinggahi Cheng Ho menyambut baik kedatangan beliau serta diberi layanan terhormat kerana mereka nampak kehebatan empayar Kerajaan China yang ternama itu. Banyak idea dan pandangan yang dikongsi semasa persinggahan di tempat-tempat tersebut. Di antaranya cara beliau menguruskan ternakan kuda dan tanaman di dalam kapal berbekalkan baja guna semula. Belum ada pelayaran seagung itu berlaku di dunia. Beliau telah digelar Laksamana Cheng Ho dan ditemani oleh beberapa orang sahabat seagama dan berlainan agama. Namun sepanjang pelayaran beliau tidak pernah tinggal solat dan ibadah. Pelayaran beliau akan singgah dan tidak akan berlayar sehinggalah ditempatkan beberapa orang dan kapal pelayaran di situ bagi memperluaskan persahabatan dan kerjasama antara negara tersebut.

   Sehebat beliau juga pernah menempuhi rintangan apabila ketibaan beliau di India tidak mendapat layanan yang baik dan beliau juga pernah diserang lanun semasa melalui jalan di Selat Melaka. Semua rintangan tersebut diatasi dengan akal, ilham dan doa Allah yang diperkenankan tatkala dimohon beliau. Kapal beliau juga telah pulang dengan selamatnya menemui Maharaja China setelah berjaya mencapai apa yang dicitakan.
Hasil tinta minda Cikgu Azimah Md Dahlan dari SMK Convent Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Related Posts

LAKSAMANA CHENG HO (PEMIMPIN ARMADA LAUTAN BARAT) oleh Cikgu Azimah Md Dahlan
4/ 5
Oleh