Telegram Nota & Soalan

KUANTAN DALAM BAHAYA! Ancaman Bauksit Bukit Goh Melampau

Bauksit Bukit Goh Kuantan. Antara Lebuhraya atau Padang Pasir?

Bauksit Bukit Goh Kuantan by ceritashark.com




Apa itu bauksit?

Mungkin ada yang tahu mungkin tidak. Bauksit adalah bahan galian dalam tanah yang berasaskan Aluminium. Bauksit ni agak dalam kena korek baru boleh jumpa. Secara fakta makin dalam bahan galian makin tinggi nilai dan kualiti nak tahu kualiti sebenar bauksit ni tengok pada badan kapal terbang, salah satu bahan nak buat badan kapal terbang ialah bauksit.
Felda Bukit Goh salah satu tempat penemuan Bauksit Di Malaysia. Entah siapa yang jumpa tak tahulah, wang ringgit jadi taruhan, ada yang nak cepat kaya, ada yang nak cepat naik haji, tanah digadai dan ladang-ladang dikorek dan ditebang. 

Kesan perlombongan bauksit?

makin dalam tanah dikorek, makin hilang mineral dalam tanah makin hilang zat-zat dalam tanah, bila dah hilang zat nak tanam apa pun tak boleh. kawasan yang dilombong akan menjadi kawasan berdebu. akan dibiarkan begitu sahaja.


 Ikan Di Gebeng Kuantan Sudah Tercemar

 Ikan Di Gebeng Kuantan Sudah Tercemar by ceritashark.com




Kalau ikut laporan dari NST, 3 sampel ekor ikan yang diambil telah diuji, dan hasil kandungan Arsenic yang direkod adalah 101.5mg/kgkandungan Arsenic yang dibenarkan dan selamat dalam makanan hanya 1mg/kg. Boleh dikatakan hampir 100mg melebih paras selamat. Dah masuk kategori tahap bahaya.

Kandungan arsenic yang tinggi pula dikatakan boleh membawa kanser pada manusia, boleh imagine tak kalau ikan-ikan ini berhijrah ker tempat lain, lekat pada pada joran kaki pancing, lekat pula pada budak-budak menjala di anak sungai, tanpa sedar ikan yang diraih itu telah tercemar, dari luaran memang nampak elok, tapi dalaman siapa yang tahu. sumber makanan tue, hari-hari duduk makan ikan.  itu baru ikan, macam pula degan air? air sungai yang mengalir entah kemana, membawa toksin-toksin yang ada,
ikan dan air sudah tercemar. 

pihak berkuasa?
roadblock? 
saman lori?
tauke besar boleh pejam mata nak bayar saman-saman lori,
entah pada siapa lagi yang boleh diharap.
nak harapkan si baju kuning entah bila,
si baju putih pula entah kemana,
mungkin nak tunggu kes kematian arsenik pertama baru nak ambil tindakan.
ikan dan air sudah tercemar,
lepas ni apa pula?
siapa lagi yang boleh diharap.

Kisah Debu Merah

Kisah debu merah by ERMA YUSNIDA JUSOH & NORAWAZNI YUSOF

"PERANG" antara bauksit dan penduduk yang berlaku sejak awal tahun ini semakin serius walaupun ada pihak yang mendakwa telah berusaha membantu mengurangkan masalah berkenaan.
Masing-masing menuding jari menyalahkan pihak lain umpama lagu ‘Bangau Oh Bangau’, dan akhirnya masalah bauksit tidak pernah menampakkan jalan penyelesaian malah penduduk yang tiada kaitan dengan bahan mineral itu turut terkena tempias pencemaran dan penyakit.


Malah masing-masing mempersoalkan siapa yang harus dipersalahkan, namun pada masa sama ada pihak seolah-olah melempar batu sembunyi tangan, sekali gus mengaut keuntungan berganda.
Lebih hebat lagi, dalam usaha kerajaan berusaha menangani isu ini, muncul pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya mahu membantu menyelesaikan masalah namun sehingga kini tidak menampakkan perubahan.

Penduduk terus menerima padah. Ada yang mengadu mengalami masalah kesihatan, tidak kurang juga mendakwa ahli keluarga meninggal dunia akibat masalah pernafasan.
Wartawan Sinar Harian menyingkap permasalahan ini walaupun ada pihak yang enggan memberikan kerjasama.


KISAH SEBELUM BAUKSIT

Sumber ekonomi penduduk Felda Bukit Goh ialah kelapa sawit.  Penerokaan tanah berkenaan bermula sejak tahun 1966 selama setahun pada peringkat pertama dan seterusnya sehingga peringkat keempat pada 1973.

Kesemua penduduk memulakan penanaman pada Jun 1968 dengan ladang seluas 1,215.78 hektar.

Sejak itu, peneroka yang kebanyakannya berasal dari Kedah dan Kelantan meneruskan penanaman dan ada yang mampu meraih pendapatan antara RM800 hingga RM1,500 sebulan.

Selain itu terdapat juga dusun buah-buahan di kawasan ini.
Perkembangan ekonomi dan penerimaan penduduk di kawasan Felda menjadikannya seluas 183.10 hektar dengan jumlah peneroka adalah seramai 671 keluarga dan Kampung Bukit Goh ditempatkan di Dun Sungai Lembing dan kawasan Parlimen Paya Besar.

Bukit Goh terletak lebih kurang 20 kilometer dari bandar Kuantan dan 25 kilometer dari bandar Sungai Lembing diletakkan di bawah pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, di samping Pengurusan Felda yang menyelia setiap pembangunan di sekitarnya.


Perjanjian hak milik peneroka

Peneroka perlu menandatangani satu perjanjian yang dipersetujui bersama dengan Felda berkaitan syarat dan peraturan ditetapkan bagi memudahkan tugasan dilaksanakan Felda.
Surat berkenaan juga menjadi rujukan jika berlaku ketidakpuasan hati antara peneroka dan pengurusan Felda. Terdapat empat jenis surat perjanjian yang perlu ditandatangani oleh peneroka iaitu:

  1. Surat Perjanjian Mula Masuk ke Rancangan
  2. Surat Perjanjian Berkuat kuasa Selepas Hak Milik
  3. Surat Perjanjian Tanam Semula
  4. Surat Perjanjian Pindaan


Bagaimanapun, ada sumber berkata, 40 tahun lalu kebanyakan peneroka Felda Bukit Goh mengambil keputusan meninggalkan tanah rancangan itu kerana sukar meneruskan kehidupan.
Usaha Felda dan peneroka membolehkan 671 peneroka yang masih bertahan hari ini hidup dengan selesa selepas mengerjakan kebun sawit masing-masing dan keadaan benar-benar berubah bermula tahun 2007.

Sebelum itu, kekurangan infrastruktur turut menjadi kekangan dan jalan raya bertanah merah berisiko untuk dilalui ketika waktu hujan.

Pada tahun 1970, ketika banjir melanda, penduduk terpaksa berakit sejauh lapan kilometer untuk  membeli barang keperluan di kampung bersebelahan.

Pembangunan demi pembangunan di Bukit Goh membuka mata semua pihak terutama dengan pembinaan medan selera bernilai RM290,000 di bawah Pertubuhan Peneroka dan kedai serba guna bernilai RM500,000 di bawah Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh.

Lebih membanggakan, lebih 10,000 penduduk di kawasan itu kini boleh beribadah degan selesa selepas pembinaan sebuah masjid bernilai RM3.8 juta di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

Sehingga  kini, penduduk Felda berkenaan sudah menikmati kemudahan internet sesuai pembangunan dengan penubuhan Pusat Internet Desa (PID), sekali gus memberi pendedahan dunia teknologi maklumat (IT) kepada generasi kedua Felda.


KISAH BAUKSIT BERMULA

Felda Bukit Goh kini makin dikenali selepas penemuan bahan mineral bauksit yang dikatakan menjadi antara bahan penting untuk membuat badan kapal terbang.

Ada pihak mendakwa, hampir keseluruhan ladang peneroka Felda Bukit Goh dipenuhi bahan ini malah ramai dikatakan sudah menjadi jutawan segera walaupun ramai juga yang ‘tertipu’.

Penduduk di Taman PSJ serta Sungai Karang juga antara yang menghadapi penderitaan selepas beberapa kawasan di situ dikesan mempunyai bauksit.

Bagaimanapun, Sinar Harian sukar mendapat kerjasama penduduk kerana masing-masing mempunyai pendirian ‘bercakap di sebalik tabir’ atas alasan mahu menjaga keselamatan.


'Kami sudah cukup sengsara akibat bauksit'

KELUH-KESAH masyarakat akibat pencemaran daripada perlombongan bauksit semakin menular di daerah Kuantan.

Penduduk yang tinggal di sekitar Bukit Goh, Gebeng, Berserah, Taman Datuk Rashid, Kampung Padang Darat dan Pelabuhan Kuantan serta beberapa lagi kawasan mulai marah apabila debu merah meliputi jalan raya, sekali gus menyebabkan kesihatan terjejas.

Kerajaan negeri didakwa seolah-olah tidak mempedulikan kepentingan rakyat. Ini disuarakan sendiri penduduk setempat yang terjejas dan terkesan akibat pencemaran alam itu.

Penduduk Nawi Mat, 58, berkata, warga Kuantan sudah cukup sengsara dengan kesan perlombongan bahan mineral itu yang semakin berleluasa.

Katanya, sejak aktiviti ini bermula, kebanyakan harta benda awam seperti jalan raya semakin teruk dan membahayakan pengguna.

“Jalan raya rosak dan kotor, sungai tercemar, lori-lori bauksit dipandu dengan 'ganas' kerana hendak mengejar perjalanan, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Bagi Lee Pit Ngan, 68, penduduk di taman ini  benar-benar terhimpit dengan masalah pencemaran, debu, dan ancaman keselamatan akibat lori-lori pengangkut bauksit menjadikan kawasan ini sebagai tempat meletak kenderaan mereka.

Menurutnya, sejak wujudnya masalah ini, aktiviti luar penduduk perumahan terbatas kerana habuk berterbangan terutama pada waktu tengah hari hingga lewat petang.

“Kehidupan kami sangat susah. Memang kami ada beberapa kali jumpa dengan pihak pengusaha, tapi langsung tak membantu apa-apa, kami di sini semakin teruk.

“Saya harap pihak bertanggungjawab tampil selesaikan masalah ini,” katanya.

Debu ketika panas, selut bila hujan, derita kerana bauksit di Kuantan

Hanya kerana permintaan tinggi dari China terhadap bauksit, masyarakat setempat di sekitar daerah Kuantan menjadi mangsa kepada pencemaran udara dan kerosakan alam pada tahap yang kritikal.

Fenomena laut merah serta kawasan hijau serta air sungai bertukar menjadi merah dibimbangi mengandungi arsenik yang tinggi. Jalan raya di sekitar kawasan pelabuhan dan perindustrian Gebeng pula semakin teruk dicemari akibat aktiviti mengangkut bauksit.
Penduduk sekitar pula terpaksa berdepan ancaman debu merah yang berterbangan ketika cuaca kering manakala selut ketika musim tengkujuh mengotorkan kenderaan dan menyukarkan pergerakan penduduk.
Itu situasi kritikal dihadapi mangsa pencemaran akibat perlombongan mineral itu seperti disuarakan oleh Gabungan Badan Bertindak Hentikan Pencemaran Bauksit di bangunan Parlimen hari ini selepas usaha mengetengahkan ancaman tersebut di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang dilihat menemui jalan buntu.
Gabungan yang terdiri daripada komuniti setempat di kawasan terjejas menuntut supaya kerajaan mengambil tindakan serius ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab daripada terus mengaut keuntungan tanpa mempedulikan peraturan dan undang-undang sedia.
Kumpulan yang disokong oleh 22 NGO dan pertubuhan termasuk Pejabat Ahli Parlimen Kuantan serta Pejabat Adun Teruntum, Tanjung Lumpur, Semambu dan Beserah itu menggesa kerajaan membatalkan semua permit eksport bauksit yang telah dikeluarkan serta tidak lagi mengeluarkan permit baharu.
Selain itu, gabungan berkenaan menuntut supaya undang-undang dan garis panduan digubal melibatkan semua aktiviti daripada pengeluaran lesen melombong, pengangkutan, penyimpanan dan pemunggahan di pelabuhan.
Ini termasuklah mendesak kerajaan supaya melakukan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terhadap semua lombong bauksit tanpa mengira saiz lombong.
“Adakah hasil pendapatan yang diraih dari perlombongan bauksit ini setimpal dengan kerosakan jangka panjang terhadap rakyat dan negara?
“Adakah kos pemulihan alam sekitar yang terpaksa ditanggung kerajaan khususnya dalam jangka panjang jauh lebih rendah dari hasil yang diraih dari industri ini?
“Sehingga tuntutan kami ini dilaksanakan, kami minta semua aktiviti berkaitan bauksit diberhentikan serta-merta,” dipetik daripada memorandum Gabungan Badan Bertindak Hentikan Pencemaran Bauksit.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dilaporkan berkata, pendapatan royalti daripada lombong bauksit di negeri itu mencecah RM4 hingga RM5 juta setahun. Difahamkan terdapat 106 pengusaha bauksit di Pahang yang sebelum ini telah diingatkan supaya mematuhi peraturan berkaitan.
Adnan juga pada Februari lalu berkata, kerajaan negeri memberi tempoh selama dua bulan kepada  pengusaha bauksit untuk mengosongkan tujuh tempat simpanan mineral itu sebaliknya bauksit dan bijih besi terbabit disimpan di kawasan lain yang jauh dari kawasan penempatan dan di luar kawasan pelabuhan.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang turut menyertai himpunan di Parlimen hari ini berkata, perlombongan tanpa kawalan itu turut menyebabkan berlakunya kemalangan yang meragut nyawa, menjejaskan rezaki nelayan serta menimbulkan tekanan kepada penduduk termasuk sehingga membakar lori.
Adun Tanjung Lumpur itu turut kecewa dengan kegagalan kerajaan negeri apabila Menteri Besar sendiri sudah habis ikhtiar dalam menangani masalah perlombongan bauksit ini termasuk mendakwa tidak cukup kakitangan selain ancaman tonto.
Seramai 20 orang pengusaha bengkel dan peniaga kedai makan di sekitar kawasan Felda Bukit Goh di Kuantan berhimpun secara aman bagi menagih bayaran pampasan yang dijanjikan oleh 24 syarikat kontraktor bauksit kepada perniagaan yang terjejas akibat perlombongan bauksit.
Sementara itu, sumber air minuman dari Bukit Sagu dan Bukit Goh, Kuantan kemungkinan besar tercemar dengan logam berat akibat aktiviti industri bauksit yang tidak terbendung, kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
Fuziah yang juga pengerusi Gabungan Menentang Pencemaran Bauksit berkata pihaknya mendapati terdapat aktiviti mencuci tanah yang mengandungi bauksit di kawasan hulu sungai.
"Tinjauan saya semalam di Bukit Sagu dan Bukit Goh mendapati terdapat aktiviti mencuci tanah mengandungi bauksit di kawasan hulu sungai yang merupakan sumber air diambil untuk rawatan di loji air Bukit Sagu dan loji air Bukit Goh," katanya dalam satu kenyataannya sebelum ini.   Fuziah berkata, perlombongan bauksit di Pahang kini mencapai tahap membimbangkan dan menimbulkan kemarahan penduduk Kuantan khasnya kerana pencemaran.

Ancaman Bauksit Melampau: Air Minum Kuantan Berisiko Tercemar


Ancaman Bauksit Melampau: Air Minum Kuantan Berisiko Tercemar



Artikel asal ‘Bauxite Mining already Tainting Malaysia’s Water Supply?’ oleh Clean Malaysia di sini . Dapatkan lebih banyak berita independen tentang isu alam sekitar, bisnes, politik dan pembangunan mapan Malaysia di Clean Malaysia.
Perlombongan bauksit di Malaysia – dan pencemaran logam berat terhadap tanah, udara dan air yang berlaku kerana aktiviti tersebut – semakin mendapat perhatian kerana aktiviti perindustrian tersebut membawa semakin banyak masalah kesihatan awam dan juga alam sekitar.
Kekhuatiran terkini, selain yang telah dikenal pasti setakat ini iaitu risiko kanser, kelembapan ekonomi, kerosakan air bawah tanah dan pengotoran sungai, ialah kontaminasi sumber air minum untuk penduduk-penduduk di kawasan berdekatan operasi perlombongan bauksit.
Seorang ahli parlimen yang merupakan wakil bandar pelabuhan Kuantan – hab tumpuan untuk perlombongan dan penghantaran bauksit – telah meningkatkan perhatiannya kepada masalah ini, dengan harapan dapat mengurangkan beban yang menimpa penduduk bandarnya yang semakin tercemar. Namanya ialah Fuziah Salleh, dan siasatannya telah menunjukkan yang air minum di pekan-pekan berdekatan sudahpun menerima akibat dari aktiviti perlombongan.
“Saya telah meninjau kawasan di Bukit Sagu dan Bukit Goh yang menunjukkan kegiatan mencuci bauksit berlaku di hulu sungai-sungai yang membekalkan air ke loji rawatan dan Bukit Sagu dan Bukit Goh,” kata Fuziah. “Ini timbulkan kebimbangan tentang kemungkinan kontaminasi air minuman untuk penduduk di Bukit Sagu dan Bukit Goh. Kehadiran logam berat seperti aluminium boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.”
Kampung-kampung di Bukit Sagu dan Bukit Goh terletak di atas tanah yang mengandungi simpanan bauksit. Para kontraktor sedang berusaha sedaya upaya untuk melombong bahan mineral tersebut secepat mungkin, dan kegopohan ini menyebabkan habuk-habuk yang mengandungi arsenik, plumbum, aluminium dan toksin-toksin lain tersebar ke pekan-pekan, jalanraya dan kawasan kampung. Menurut Fuziah, bijih bauksit mentah kini rupa-rupanya dibasuh berdekatan dengan sungai-sungai, yang menyebabkan air basuhan mengalir terus kedalam bekalan air.
Apa yang mungkin lebih teruk dari aluminium yang terbebas ialah kehadiran raksa di dalam bijih bauksit. Kadar merkuri yang tinggi  – lebih tinggi dari kadar yang dibenarkan di dalam air pengairan – telah dikesan di sungai-sungai sekitar Kuantan dan kampung berdekatan sejak Ogos lalu. Kita tidak tahu hari ini setinggi mana kadarnya hari ini, tetapi risikonya terhadap kesihatan manusia sudah jelas buruk. Pengambilan merkuri di dalam jumlah yang sedikit boleh menyebabkan kecacatan bayi, dan pengambilan jumlah yang lebih besar di dalam tempoh yang lebih panjang boleh menyebabkan barah, masalah kulit, kemerosotan deria (penglihatan, pendengaran, pertuturan), gangguan deria dan kelembapan daya koordinasi.
Fuziah telah meminta Jambatan Kesihatan memeriksa kualiti air sungai berhampiran Bukit Sagu dan Bukit Goh. Tiada tindakan telah diambil setakat ini.

Bauksit 'popular' di media sosial

Bauksit 'popular' di media sosial



KUANTAN - Debu bauksit yang melekat pada kenderaan menjadi bahan gurauan di media sosial selepas beberapa usaha yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri didakwa tidak memberi perubahan.

Beberapa pengguna media sosial di sini memuat naik gambar yang mungkin serius kepada ‘mangsa’ bauksit tetapi dianggap lucu bagi sesetengah pihak lain.

Setiap hari, pemilik Facebook berkongsi berkongsi pelbagai jenis gambar membabitkan debu bauksit termasuk kenderaan kotor yang ditulis dengan beberapa perkataan bertujuan menarik perhatian pihak terbabit bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Pengguna Facebook, Mohd Azlan Mohd Nawi. 33, berkata, pada mulanya dia berkongsi gambar-gambar berkenaan untuk suka-suka sahaja tetapi mungkin boleh menyampaikan satu mesej kepada pihak berkaitan.
Katanya, dia mempunyai pengalaman seperti gambar kereta yang diviralkan di media sosial.

“Serius cakap, saya baru ke Melaka dan Kuala Lumpur, kereta saya ada kesan merah di  bahagian bawah pintu dan bonet belakang, orang yang baru saya kenal terus tegur dan kata saya dari Kuantan,” katanya.
Beliau juga kesal kerana masalah itu berterusan walaupun bantahan demi bantahan dilaksanakan namun gagal menghentikan perlombongan bauksit.

Mohd Azlan berkata, walaupun dia tinggal di Taman Tas yang agak jauh dari sekitar perlombongan bauksit tetapi ada ketikanya dia melalui kawasan berkenaan.

“Debu bauksit sangat sukar dibersihkan dan mengambil masa lama.” katanya.
Pegawai Pemasaran, Mohamed Zaki Zainal, 29, pula berpendapat, berkongsi gambar melalui aplikasi WhatsApp dapat memberi informasi kepada individu lain yang mungkin tidak mengetahui perkara itu.
Katanya, dia tidak suka berkongsi maklumat yang salah dan hanya memberi info kepada rakan-rakan di dalam kumpulannya sahaja.

“Semua orang sudah tahu keadaan kami di Kuantan yang terpaksa berdepan dengan keselamatan dan kesihatan. Jadi tidak salah saya berkongsi gambar berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia menganggap gambar yang diterima itu lucu tetapi ada boleh diterima akal kerana itu adalah hakikat sebenar yang berlaku.

Sumber :

  • http://www.ceritashark.com/2015/07/bauksit-bukit-goh-kuantan.html
  • http://www.ceritashark.com/2015/08/ikan-di-gebeng-kuantan-sudah-tercemar.html
  • http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/kisah-debu-merah-1.454296
  • http://malaysiadateline.com/index.php/berita-list/20-headline/390-debu-ketika-panas-selut-bila-hujan-derita-kerana-bauksit-di-kuantan
  • https://glombng.wordpress.com/2015/12/01/ancaman-bauksit-melampau-air-minum-kuantan-berisiko-tercemar/
  • http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/bauksit-popular-di-media-sosial-1.457102

Related Posts

KUANTAN DALAM BAHAYA! Ancaman Bauksit Bukit Goh Melampau
4/ 5
Oleh