Telegram Nota & Soalan

KONSEP PUISI MELAYU TRADISIONAL : ENDOI

Endoi adalah satu bentuk nyanyian yang akan dilagukan untuk mengiringi upacara naik buai. Upacara ini merupakan salah satu adat istiadat Melayu. Kata-kata dan ungkapan dalam nyanian tersebut dinamakan puisi endoi (Mutiara Sastera Melayu Tradisonal, 2010:235). Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang amat berpegang teguh kepada adat resam dan tradisi mereka. Dalam kehidupan seharian, ia banyak melibatkan norma-norma hidup, peraturan, tradisi dan pantang larang yang wajib dipatuhi. Pengabaian terhadap adat resam itu dianggap sebagai satu kesilapan yang besar sehingga boleh mengakibatkan jatuhnya status atau maruah si pelaku mahupun keluarganya.
Endoi berasal daripada perkataan endul yang bermaksud buaian. Endoi merupakan tradisi lisan yang berbentuk perbuatan yang di sambut oleh masyarakat Melayu dalam majlis keramaian seperti kenduri kahwin, mencukur rambut dan sebagai untuk memeriahkan suasana. Endoi juga dikenali sebagai bentuk puisi tumpang, menggunakan bentuk syair, nazam dan juga pantun sebagai wadah penyampaian. Puisi endoi menceritakan tentang salasilah dan riwayat hidup nabi-nabi. Selain itu, endoi menceritakan kisah-kisah nabi untuk dijadikan teladan. Endoi menyampaikan nasihat terutamanya kepada golongan kanak-kanak supaya berbuat baik, berbudi dan menghormati ibu bapa. Endoi juga berfungsi sebagai memberi pengajaran tentang Islam seperti rukun iman, dan kitab-kitab Islam. Endoi ditujukan terutamanya kepada anak-anak agar menjadi anak yang taat serta berbakti kepada ibu bapa. Endoi dimulai dengan menceritakan kisah rasul dan wajib beriman dengannya serta diikuti dengan nasihat kepada si anak (NorBaizura Bt Zakaria, 2008).
Fungsi endoi mengandungi unsur pengajaran dan nasihat serta hendaklah sentiasa berpegang kepada ajaran agama, mengabdikan hidup kepada Allah S.W.T untuk mendapatkan kebahagian di dunia dan akhirat. Endoi tidak semata-mata di anggap sebagai dunia hiburan malah turut di gunakan sebagai alat untuk menggerakkan dan menyedarkan masyarakat. Endoi membicarakan soal-soal ilmu pengetahuan, budi pekerti manusia yang disandarkan kepada ajaran agama Islam dengan tujuan untuk memupuk semangat keIslaman dan kesedaran dalam kalangan orang Melayu. Selain itu, berfungsi sebagai menyatakan rasa kesyukuran ibu bapa ke atas kelahiran anak sulung yang akan diadakan ketika upacara bercukur rambut anak yang berusia tujuh hari. Puisi ini juga bertujuan untuk memberikan panduan dan pengajaran kepada masyarakat (NorBaizura Bt Zakaria, 2008).
            Amalan mencukur rambut biasanya di lakukan olah masyarakat Melayu yang membuat kenduri kecil-kecilan iaitu dengan menyembelih haiwan (akikah) dan memberi nama pada hari ke tujuh kelahirannya, hukumnya dalah sunat. Hukum melakukan kenduri akikah bukan lagi dikatakan sebagai sunat bahkan sebaliknya bagi sesetengah masyarakat Melayu menganggap itu adalah adat dan warisan yang perlu dipelihara oleh generasi yang ada sekarang supaya ia tidak pupus begitu saja (NorBaizura Bt Zakaria, 2008).

            Secara keseluruhannya, yang dapat dirangkumkan di sini adalah endoi merupakan satu nyanyian yang dinyanyikan dalam upacara naik buai dalam kalangan masyarakat Melayu.

Related Posts

KONSEP PUISI MELAYU TRADISIONAL : ENDOI
4/ 5
Oleh