Telegram Nota & Soalan

DEFINISI PUISI

Secara umumnya, Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1241) memberikan maksud puisi sebagai satu karangan yang berbentuk sajak, syair, pantun dan lain-lain. Puisi ialah karangan berangkap. Ia terikat kepada bentuknya yang khusus dan tetap, sama ada pada jumlah perkataan dalam baris, jumlah baris dalam rangkap, rima dan irama dan jumlah suku kata. 
 Memetik pendapat Za’ba pula, puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa (A. Halim Ali, 2006:9).
 Puisi ialah karangan berangkap, dan mempunyai kalimat yang tidak bebas terutamanya dari segi pemilihan diksi, rima dan suku kata. Puisi biasanya memerlukan penggunaan bahasa yang terhad dan padat tetapi mempunyai makna yang dalam dan berkesan. Oleh itu, puisi menuntut pengkaryanya mempunyai pemikiran yang mendalam dan tinggi di samping keterlibatan perasaan yang sangat sensitif (Mutiara Sastera Melayu Tradisional 2010:227)
A. Halim Ali (2006:7) menjelaskan puisi ialah satu hasil kesenian, wadah pemeliharaan adat, menjangkau alam mistik, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmu pengasih, pertahanan, hiburan dan kepercayaan.            
Semual Taylor Coleridge (A. Halim Ali, 2009:10) pula menjelaskan puisi adalah kata-kata yang terbaik dalam susunan terbaik. Ini bermaksud puisi berada dalam bentuk yang cantik dan kata-kata yang dipilihnya pula menepati konteks.
Menurut pandangan Drs. Atmazaki dalam A. Halim Ali (2006:7), puisi pada dasarnya lebih merupakan sifat atau nilai keindahan dalam pengungkapan bahasa. Ungkapan atau penggunaan bahasa yang indah itulah yang menghasilkan unsur keindahan atau juga disebut puitis.
Menurut Wan Akmal Wan Semara (2005:11), puisi ialah bidang kesenian yang tergolong dalam genre kesusasteraan. Secara etimologinya, puisi berasal daripada bahasa Yunani iaitu poeima yang beerti membuat atau poesis yang beerti pembuatan. Puisi diertikan sembagai “membuat” dan “pembuatan” kerana puisi itu pada dasarnya merupakan suatu dunia tersendiri yang dicipta oleh pengarangnya bagi menggambarkan sesuatu pemikiran atau gagasan penciptanya. Puisi adalah salah satu cabang sastera yang menggunakan kata-kata sebagai wahana penyampaian bagi membuahkan ilusi dan imaginasi dalam menggambarkan gagasan pengarangnya.
Wan Akmal Wan Semara (2005:11) memetik pandangan Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) yang menjelaskan puisi adalah karangan berangkap sebagai khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukis kemanisan dan kecantikan bahasa.
Anis pula berpendapat bahawa puisi ialah cabang kesenian yang disebut sastera yang beerti bahasa indah, berirama dan mempunyai bentuk yang tertentu. Puisi biasanya lebih singkat dan dikongkong oleh bentuk, dan dalam setiap hal lebih padat, lebih ringkas dan lebih berkesan daripada prosa (Wan Akmal Wan Serama 2005:11).
Menurut pandangan Situmaorang pula, puisi ialah penghayatan kehidupan manuasia totalitas yang dipantulkan oleh penciptanya dari segi peribadinya, fikirannya, perasaannya, kemahuannya dan lain-lain (Wan Akmal Wan Serama 2005:11)
Hashim dalam Wan Akmal Wan Serama (2005:12) menjelaskan puisi ialah karangan berangkap yang ditulis dengan cara susunan kata-kata yang mementingkan irama, bunyi dan kiasan. Ia merupakan alat pengucapan fikiran yang terindah dan paling berkesan. Puisi mempunyai empat ciri utama iaitu tema (maksud), perasaan (emosi), nada dan tujuan.
Safian et.al berpendapat bahawa puisi ialah salah satu bentuk daripada pengucapan tradisional yang amat popular dan menyeluruh penggunaannya dalam kalangan setiap lapisan masyarakat, dan ia turut berkembang bersama-sama perkembangan sistem dan pemikiran masyarakat tersebut. Manakala Muhammad pula menyatakan puisi ialah suatu genre sastera atau bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta banyak menggunakan unsure bahasa seperti rima, irama, metafora dan seumpanya. (Wan Akmal Wan Serama 2005:12).
Mat Jani Hassan (1998:263) menjelaskan puisi merupakan karangan atau hasil sastera yang mempunyai rangkap. Manakala bunyinya pula lebih berirama, di mana kata-kata dan ungkapan di dalam rangkap itu sengaja dipilih begitu teliti supaya dapat menghasilkan bunyi iramanya dengan jelas. Irama itu mungkin terdiri daripada rimanya di bahagian hujung, atau di tengah-tengah, mahupun di pangkal kalimat-kalimatnya.
Salleh Haji Ahmad (1993:3) menjelaskan puisi ialah satu gubahan perkataan yang dapat melahirkan fikiran penciptanya, yang dibuat dalam bentuk berangkap-rangkap dan mementingkan unsur-unsur persajakan, irama, suku kata dan diksi.
Puisi merupakan karangan atau hasil sastera yang mempunyai rangkap. Manakala bunyinya pula lebih berirama, di mana kata-kata dan ungkapan di dalam rangkap itu sengaja dipilih begitu teliti supaya dapat menghasilkan bunyi iramanya dengan jelas. Irama itu mungkin terdiri daripada rimanya di bahagian hujung, atau di tengah-tengah, mahupun di pangkal kalimat-kalimatnya. (Muhd Mansur Abdullah 1988:235).

Harun Mat Piah (1989:2) memetik pandangan Frye menjelaskan puisi adalah suatu bentuk pengucapan dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan yang biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan hari-hari dan bahasa yang mementingkan kebenaran daya intelektual dan lojika yang khusus dalam bentuk prosa dan tidak berunsur sastera.

Related Posts

DEFINISI PUISI
4/ 5
Oleh