Telegram Nota & Soalan

DEFINISI PUISI MELAYU TRADISIONAL

DEFINISI PUISI MELAYU TRADISIONAL
DEFINISI PUISI MELAYU TRADISIONAL

DEFINISI PUISI MELAYU TRADISIONAL

Puisi Melayu tradisional ialah tradisi lisan yang sudah tetap bentuk dan kalimatnya. Biasanya, puisi Melayu tradisional terbentuk daripada beberapa baris kalimat, berangkap atau tidak berangkap; ada yang berasaskan matra, jumlah perkataan dan suku kata sebaris, persamaan dan pertentangan rima dan ritma antara baris. Puisi Melayu tradisional lahir bukan sekadar untuk hiburan, pengajaran dan alat komunikasi secara umum, malah diserapkan ke dalam kegiatan-kegiatan hidup bermasyarakat, dalam dalam ritual dan upacara, dalam adat dan peundangan, juga dalam kegiatan yang berunsur keagamaan (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2010:232).
Wan Akmal Wan Serama menjelaskan puisi Melayu tradisional adalah satu karya kesusasteraan yang dapat memenuhi cirri-ciri karya sastera iaitu ciptaan yang mempunyai nilai-nilai seni yang menggunakan bahasa sebagai media. Bahasanya tersusun indah dengan penggunaan kata yang terpilih dan berirama. Ia dibentuk bertujuan untuk menyampaikan sesuatu fikiran atau amanat untuk kebaikan umat manusia. Puisi Melayu tradisional penuh dengan nilai estetika dan dihiasi pula dengan pelbagai gaya yang berupa identiti budaya bahasa masyarakat Melayu lama. (2005:2)
A. Halim Ali menjelaskan puisi Melayu tradisional ialah satu kelompok puisi yang muncul dan terhasil dalam era tradisional sebelum berkembangnya tradisi tulisan atau zaman yang disebut sebagai moden. Puisi Melayu tradisional termasuk dalam golongan karya kesusasteraan bentuk bukan cerita (non-naratif) (2006:11-13).
Salleh Haji Ahmad (1993:3) menjelaskan puisi Melayu tradisional ialah puisi Melayu lama yang berbentuk non-naratif. Ia disebarkan melalui budaya lisan dalam masyarakat yang tertutup. Ia juga merupakan salah satu daripada unsure-unsur kebudayaan masyarakat Melayu lama. Oleh itu, ia memudahkan masyarakat untuk memahami keadaan masyarakat Melayu lama; bagaimana mereka berfikir, kepercayaan atau peri laku mereka.
Menurut Harun Mat Piah (1989:5), puisi Melayu tradisional ialah satu puisi yang bersifat lisan, diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan. Puisi lisan bersifat kolektif dan fungsional, iaitu tercipta oleh pengarang yang tidak bernama dan digunakan dalam kehidupan masyarakat. Sebahagian daripadanya merupakan hasil daripada kegiatan-kegiatan ritual atau masih mempunyai fungsi sedemikian. Puisi Melayu tradisional berbentuk terikat oleh konvensi-konvensi tertentu yang seterusnya memberikan bentuk dan struktur kepada puisinya. Bentuk dan ikatan yang berlainan ini menjadikan genre-genre yang berlainan pula. Sebuah genre mempunyai ciri-cirinya sendiri, berbeza daripada genre yang lain.
Kepelbagaian pengaruh yang ada telah menyebabkan betapa kayanya khazanah kesusasteraan Melayu. Pengungkapan dan penciptaan puisi Melayu tradisional adalah disebabkan oleh pengaruh warisan Melayu, warisan Islam, alam sekitar, animisme dan lain-lain.
Pada dasarnya, puisi Melayu tradisional terbahagi kepada dua kumpulan iaitu puisi warisan Melayu dan puisi warisan Arab-Parsi. Puisi warisan Melayu yang lahir daripada kreativiti masyarakat Melayu sendiri tanpa dipengaruhi oleh tradisi asing. Justeru, penghasilan puisi warisan Melayu adalah puisi asli yang diwarisi dari satu generasi kepada generasi yang lain.
Walaupun puisi warisan Melayu mempunyai serpihan pengaruh hindu, namun ia masih lagi diiktiraf hasil Melayu asli kerana puisi tersebut telah berlaku perubahan dan penyesuaian sehingga berbeza daripada bentuk asalnyaa seperti gurindam dan seloka. Puisi warisan Melayu terbahagi kepada dua kategori pula iaitu puisi terikat dan puisi bebas. Puisi terikat terdiri daripada pantun dan gurindam. Dalam pantun pula terdapat teka-teki, endoi, rejang dan dikir atau zikir. Manakala dalam puisi bebas pula terdiri daripada seloka, teromba, talibun, peribahasa berangkap dan mantera.

Puisi warisan Islam iaitu puisi warisan Arab-Parsi terhasil ekoran pengaruh puisi Arab dan puisi Parsi. Pengaruh puisi Arab dan Parsi terdiri daripada isi dan fungsinya. Puisi warisan Islam terdiri daripada puisi terikat. Dalam puisi terikat warisan Arab-Parsi terdiri daripada syair, masnawi, nazam, rubai, qit’ah, ghazal dan berzanji.

Related Posts

DEFINISI PUISI MELAYU TRADISIONAL
4/ 5
Oleh