Telegram Nota & Soalan

Apa itu KSSR ?

Apa itu KSSR

1.         Latar Belakang KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan kepada murid-murid Tahun 1 mulai Tahun 2011 selepas ucapan dasar Y.A.B Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang menuntut supaya sistem pendidikan Negara memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, penghasilan pelajar celik minda, Pembentukan warga yang menguasai ilmu, kemahiran dan maklumat, dan Program membangunkan akal manusia dalam melahirkan insan Ulul-Albab.

            Pelaksanaan KSSR ini berpegang kepada Teras Kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang secara dasarnya membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni. Ia bermatlamat memastikan anak bangsa Malaysia dipupuk semangat menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi serta menerapkan nilai. Justeru, Kurikulum Kebangsaan perlu dikaji semula bagi memastikan kurikulum yang holistik dan sentiasa relevan untuk melahirkan modal insan seimbang yang dapat menangani cabaran semasa dan masa depan.

            Pelaksanaan KKSR ini juga menunjukkan satu transformasi pendidikan Negara yang menjurus kepada proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.

            Transformasi kurikulum dalam pendidikan Negara melibatkan bahan, bentuk, organisasi, kandungan, pengurusan kurikulum, pentaksiran, pedagogi dan peruntukan masa. KSSR digubal masih berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Negara dan berasaskan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) iaitu pendekatan persepadu, pendidikan yang saksama untuk murid, perkembangan individu secara menyeluruh dan pendidikan seumur hidup.

            KSSR memfokuskan kepada tiga peringkat pendidikan Negara iaitu Prasekolah, Pendidikan Tahap 1 dan Pendidikan Tahap 2. Pendidikan Prasekolah menjurus kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan kemahiran 3M dan menaakul. Manakala, pendidikan Tahap 1 pula menumpukan kepada penguasaan kemahiran 3M dan menaakul, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Pendidikan Tahap 2 pula memberi penekanan kepada pengukuhan dan aplikasi 3M dan menaakul, kemahiran asas TMK, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

            KSSR digubal secara standard adalah untuk memastikan semua murid mencapai tahap yang ditetapkan dalam standard, membolehkan pengetahuan, kemahiran dan nilai diukur dengan jelas, memberi fokus terhadap keberkesanan pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdP).

2.         Dokumen Kurikulum KSSR

Dokumen Kurikulum KSSR amat penting dalam pelaksanaan KSSR di sekolah. Semasa kursusu orientasi KSSR dijalankan, semua peserta dikehendaki membawa dokumen kurikulum KSSR sepanjang kursus tersebut berlangsung. Dokumen Kurikulum KSSR adalah Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

            Selain DSKP, semua guru juga memiliki Rekod Perkembangan Pembelajaran Murid secara luar talian (offline) untuk melihat perkembangan pembelajaran murid selepas PdP dijalankan. Rekod pelaporan tersebut hendaklah disediakan oleh guru mata pelajaran dan perlu dihantar kepada penyelaras pentaksiran sekolah pada bulan Mac, Jun dan September.

3.         PdP dan Pentaksiran

PdP KSSR dijalankan serentak dengan pentaksiran. Pentaksiran dijalankan adalah untuk mengesan perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran dengan menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran seperti pemerhatian, temu bual lisan, penghasilan projek, bertulis dan sebagainya. Pentaksiran hendaklah dijalankan secara holistik dan autentik.

Related Posts

Apa itu KSSR ?
4/ 5
Oleh